Linda Onn Merajuk Kerana Kebaya
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
KUALA LUMPUR 27 Feb. - Rekaan pereka luar dikatakan menjadi punca kontroversi ‘kehilangan’ Linda Onn pada acara karpet merah Anugerah Akademi di Kodak Theater, Hollywood, Amerika Syarikat, semalam.
Untuk acara karpet merah itu, Linda sepatutnya menjadi pengacara bersama pengacara Channel V, Dominic Lau.
Linda telah membawa sepasang kebaya rekaan pereka muda kelahiran Indonesia, Jovian Mandagie untuk dipakai pada acara itu.
Bagaimanapun menurut sumber, ada pihak yang kurang senang dengan keputusan Linda untuk menggunakan baju itu hanya kerana ia direka oleh pereka luar.
Gara-gara itu, seorang wakil Star TV terbang ke Los Angeles (LA) membawa sepasang pakaian rekaan pereka tempatan, Radzuan Radziwill untuk dipakai Linda beberapa hari sebelum acara berlangsung.
Namun, kata sumber itu lagi, Linda enggan mengenakan baju rekaan pereka tempatan dan dikatakan begitu kecewa kerana tidak berpeluang menggayakan kebaya yang direkanya bersama Jovian lalu menarik diri menjadi pengacara karpet merah itu.
Utusan Malaysia telah cuba menghubungi Linda di LA hari ini namun panggilan tidak dijawab.
Dalam pada itu, Jovian yang dihubungi berkata, dia terkilan kerana Linda tidak dapat menggayakan rekaannya pada anugerah berprestij itu.
”Memang Linda terlibat sama dalam proses rekaan kebaya Malaysia tersebut dan saya mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkannya.
“Linda begitu gembira dengan hasilnya. Tanpa berfikir panjang, dia terus membelinya,” kata pereka berusia 21 tahun itu yang enggan mendedahkan harga dan lakaran kebaya itu.
Linda Onn merupakan artis Malaysia keempat yang menggunakan khidmatnya selepas Kudsia Kahar, Ning Baizura, Nikki dan Yanie.
Sebelum ini, rekaan pereka yang mula menetap di sini sejak berusia lima tahun itu sering digayakan oleh artis-artis terkenal Indonesia seperti Krisdayanti, Rossa dan kumpulan Ratu.
Sementara itu, menurut sumber, Radzuan telah menerima arahan daripada pihak tertentu pada saat akhir untuk menyiapkan sehelai pakaian baru untuk Linda Onn.
Justeru, kebaya moden khusus untuk Linda disiapkan dalam tempoh sehari semalam sahaja.
Radzuan dikatakan berasa kecewa dengan tindakan penyampai radio popular itu yang enggan menggayakan rekaannya.
Dominic ketika dihubungi pula enggan memberikan sebarang komen mengenai ‘kehilangan’ Linda itu.
Beliau hanya menjelaskan: “Adalah menjadi satu kerugian besar bagi sesiapa yang menolak peluang keemasan menjadi pengacara karpet merah pada Anugerah Akademi.
“Bukan senang untuk mendapat peluang menemu bual bintang-bintang besar Hollywood pada majlis itu.”
Powered by Utusan Malaysia