Ziela Jalil Tunai Hajat


OLEH: KHADIJAH IBRAHIM

ZIELA JALIL (tiga dari kiri di depan) bersama pelakon-pelakon veteran yang turut menjayakan drama terbitannya, Teratak Kasih Mahanis 2.

HAJAT untuk mengadakan majlis makan bersama anak-anak yatim sudah lama terpahat di hati Ziela Jalil. Namun kesuntukan masa membuat Ziela, terpaksa menangguh hasrat tersebut.

Bagaimanapun pada Sabtu lalu, niat murni Ziela, 37, terlaksana juga. Pada satu majlis sederhana, jamuan itu diadakan di Rumah Bakti Hulu Klang, Selangor, serentak dengan penggambaran terakhir drama bersiri terbitannya, Teratak Kasih Mahanis musim kedua.

“Sebenarnya sejak Disember tahun lalu, masa majlis Anugerah Skrin Ke-8 (AS8) lagi saya sudah ada niat itu. Kebetulan drama terbitan saya, Lebih Bisa Dari Jelatang menang empat kategori pada anugerah itu,” kata Ziela yang ditemui pada majlis jamuan tersebut.

Kemenangan yang diraih oleh drama terbitan syarikatnya, Pena Creative itu ialah bagi kategori Drama Terbaik, Pengarah Terbaik (Kabir Bhatia), Lakon TV Terbaik (Mazlan Abdul Manan) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Elza Irdalynna).

Bercerita tentang Teratak Kasih Mahanis musim kedua, kata Ziela, drama terbaru 13 episodnya itu diarahkan oleh Murali dan telah pun menjalani penggambaran selama 40 hari di Janda Baik.

“Masa musim pertama saya selalu berdoa, kalau Teratak Kasih Mahanis mendapat sambutan, akan ada sambungannya. Alhamdulillah, Allah makbulkan dan sebab itulah ada Teratak Mahanis 2,” kata Ziela yang memegang watak Mahanis.

Jelas Ziela, dia cukup teruja berlakon dengan pelakon-pelakon veteran dalam drama itu yang banyak memberinya ruang menimba ilmu.

Powered by Utusan Malaysia

One Response to “Ziela Jalil Tunai Hajat”

  1. CHUBBY Says:

    AKU SUKA ZIELA JALIL DARI DULU SAMPAI SKRG,,WALAUPUN MCM2 GOSSIP LIAR TTG DIRI NYA..AKU BANGGA DIA SEORANG YG BAIK HATI N BERJAYA.

Leave a Reply