Archive for May, 2007

Temasya Suknes 2007 Penuh Gemilang


Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

Mohamad Hasan (kanan) meletakkan obor sambil diperhatikan oleh Ir. Jamlus Aziz pada perasmian Sukan Negeri Sembilan 2007 di Seremban, malam tadi. - Gambar ABDUL RAZAK AID.

SEREMBAN - Temasya Sukan Negeri Sembilan (Suknes) 2007 yang julung kalinya diadakan di negeri ini dan merupakan medan mencungkil bakat muda dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban di sini, semalam.

Suknes 2007 yang menghimpunkan 4,000 atlet dan pegawai dari seluruh negeri termasuk dari negeri jiran serta bertarung dalam 19 acara itu dirasmikan dalam suasana meriah walaupun hujan renyai.

Perbarisan masuk dimulakan dengan sembilan pembawa bendera kejohanan sebelum diikuti dengan 20 kontinjen yang mengambil bahagian dengan diiringi oleh tambo Markas 1 Briged Kem Rasah.

Pada perasmian itu Mohamad berkata, Suknes 2007 merupakan usaha kerajaan untuk melihat atlet menajamkan skil supaya atlet sentiasa bersedia dan kompetitif untuk bertanding di peringkat nasional.

”Kita berharap Negeri Sembilan akan dapat mencipta nama pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang dan percaya atlet negeri ini mampu mengukir nama di persada saingan,” katanya sewaktu merasmikan Suknes 2007 di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri, Datuk Ir. Jamlus Aziz.

Perasmian temasya itu turut memperlihatan Olahragawati Sukma Kedah, Lew Yih Wei yang merupakan pemenang sembilan pingat emas dan atlet veteran, J. Vijayan membawa obor temasya untuk diserahkan kepada Mohamad sebagai tanda simbolik bermulanya persaingan pencipta juara.

Temasya yang mencipta sejarah negeri ini juga melaungkan ikrar taat setia yang diketuai oleh atlet boling padang, Muhammad Hizleey Abdul Rais sebagai tanda atlet negeri ini akan terus komited untuk mengharumkan nama Negeri Sembilan pada saingan temasya dwitahunan Sukma 2008 di Terengganu.

Acara yang disaksikan kira-kira 5,000 orang penonton turut dimeriahkan tarian endang oleh 500 orang pelajar sekolah serta persembahan artis, Hattan, Jefrydin, Ramli Sarip dan Ebby Yus, yang diakhiri pertunjukkan bunga api.

”Saya berharap bakat baru ini dapat diketengahkan secepat mungkin untuk membawa cabaran negeri pada masa akan datang,” katanya.

Persaingan Suknes 2007 telah bermula semalam melalui acara saringan dan akan berakhir pada 4 Jun ini membabitkan beberapa gelanggang di sekitar bandar ini. Orang ramai dijemput hadir dan kemasukan untuk menyaksikan acara adalah percuma.

Powered by Utusan Malaysia

10,000 Terpukau


RAMAI peminat naik ke atas pentas untuk menari bersama Ramlah Ram.

MEMANG meriah! Dua perkataan tepat menggambarkan Konsert Pancaindera Mingguan Malaysia yang diadakan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Perak, malam Sabtu lalu.

Buktinya, kira-kira 10,000 penonton menyerbu kawasan lapang taman tema popular itu sejak awal petang lagi walaupun hujan lebat turun sebelum itu.

Tepat pukul 9 malam, konsert berkenaan memulakan tirai dengan persembahan pasangan hos, Roslan Shah dan Haiza menerusi himpunan lagu-lagu Allahyarham Sudirman dan gelek dangdut.

Seterusnya, acara memotong kek meraikan sambutan ulang tahun ke-10 BMLR oleh Pengurus Besar BMLR, Jasmi Osman, Pengurus Kumpulan Hotel dan Resort MK Land, Anuar Yang Ghazali bersama kakitangan BMLR serta artis-artis popular yang menjayakan konsert berkenaan.

Dan konsert yang ditunggu-tunggu akhirnya terlaksana apabila artis-artis popular tanah air antaranya Ella, Dayang Nurfaizah, Elyana, Ramlah Ram, Diana Naim, Faizal AF4, Rosma AF1, Bob AF2 dan Fiq (Mentor) membuat persembahan mereka.

Corat-coret

*Rombongan bas yang membawa artis dari Kuala Lumpur ke BMLR hanya melibatkan Fiq dan Ina Naim kerana selebihnya lebih selesa berkereta sendiri.

*Ratu rock, Ella memaklumkan dia akan sampai sekitar pukul 8 malam kerana menghadiri konvokesyen anak buahnya di UiTM, Shah Alam.

*Hujan lebat sekitar pukul 2 petang mengundang rasa bimbang kepada penganjur. Namun cuaca kembali panas dan baik sejam kemudian sehinggalah konsert berakhir.

*Sesi artis bertemu peminat pada pukul 5 petang sesak dengan orang ramai sehingga menyaksikan adegan tolak-menolak dan tidak terkawal.

*Pentas konsert menjadi bahan usikan kerana dihiasi dengan segala jenis pokok dan daun serta kelihatan seperti khemah askar. Siap ada jaring di atas bumbung konsert itu.

*Ramai artis yang pulang selepas konsert berakhir kerana mempunyai aktiviti pada pagi Ahad. Lalu, kes tumpang kereta berlaku di kalangan mereka. Antaranya Ina Naim yang menumpang kereta Rosma.

*Ina kelihatan sibuk bergayut di telefon bimbitnya sebelum konsert bermula. Apabila ditanya, katanya, ada masalah keluarga. Namun yang musykil, raut wajah kelihatan berseri-seri ketika bergayut.

*Malam malang Haiza. Pertama dia hampir tersungkur kerana tersalah pijak tangga pentas. Kedua, jaring di atas pentas terputus lalu jatuh ke atasnya. Ketiga, ada serangga yang suka menghinggap di badannya.

*Fiq bertuah apabila seorang peminat menyanyikan hampir keseluruhan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang yang dipersembahkannya. Namun awas Fiq, vokal peminat tersebut mendapat pujian ramai.

*Seorang peminat lelaki terlampau seronok dapat berjumpa dengan Ramlah Ram. Ceritanya, sudah bertahun hendak jumpa Kak Ramlah.

*Ella memang menjadi tumpuan penonton malam itu. Tindakan beraninya yang turun di celah-celah penonton menyebabkan dia diserbu. Akibatnya, pasukan Rela bekerja keras mengawal keadaan.

Powered by Utusan Malaysia

Emil Emilda Bukan Drama Ciplak

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

DRAMA bersiri Emil Emilda yang sedang hangat ditayangkan di TV3 pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis menerusi slot Samarinda pada pukul 10.30 malam, sebenarnya tidak diciplak daripada telenovela Yo Soy Betty La Fea seperti yang heboh diperkatakan.

Sebaliknya drama 25 episod yang diarah oleh Shahrul Ezad Mohameddin dan diterbitkan oleh Radius One Sdn. Bhd. itu hanya menjadikan telenovela popular lakonan Ana Mar‭a Orozco itu sebagai inspirasi sahaja.

Kata Ezad, idea untuk menghasilkan drama sebegitu telah difikirkannya sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak tiru Yo Soy Betty La Fea, cuma telenovela itu menjadi inspirasi untuk saya menghasilkan Emil Emilda. Sebenarnya cerita ala Cinderella mudah diterima oleh penonton.

“Sesekali merealisasikan fantasi manusia memang seronok. Bayangkan dari buruk jadi cantik. Sekali lagi saya tegaskan Emil Emilda bukan tiru telenovela lain cuma saya mengulangi semula formula yang sama,” katanya kepada pihak media pada majlis beramah mesra dengan para pelakon Emil Emilda di TV3, baru-baru ini.

Drama bersiri yang menelan belanja sebanyak RM400,000 dan menjalani penggambaran sekitar ibu kota selama 50 hari itu mula ditayang sejak 2 Mei lalu dan akan berakhir pada 27 Jun depan.

Antara pelakon yang menjayakan Emil Emilda ialah Aaron Aziz (Emil), Zizie Ezette (Darleena), Hamidah Wahab (Darweena), Jalaluddin Hassan (Tan Sri Baseera), Fahrin Ahmad (Lutfi), Roy Azman (Nazeem), Roslan Salleh (Darus), Aju (Borhan), Isma Yusof (Mac), Nadia Aqilah (Shasha), Wan Sharmila (Nisa) dan Sharifah Mariam (Basariah).

Bercerita mengenai pemilihan Sharifah Amani atau Nani sebagai Emilda, kata Ezad, dia tidak pernah terfikir pelakon itu akan berlakon drama arahannya.

“Pengarah Produksi, Reza cadangkan saya ambil Amani. Sekadar memenuhi kehendaknya, saya pun cuba.

“Mulanya ibu Nani, kak Fatimah Abu Bakar kata Nani sibuk berlakon filem 1957 dan berlatih filem Mualaf. Tapi kemudian dia telefon balik, minta nak tengok skrip. Selepas itu dia kata, Amani boleh berlakon. Bila sudah confirm barulah saya buat skrip berdasarkan perwatakan Nani,” cerita Ezad.

*Nani sukar menangis

Sementara Nani pula memberitahu dia tertarik untuk berlakon sebagai Emil Emilda kerana pengarah, skrip dan karakternya.

“Saya dibentuk oleh pengarah Yasmin Ahmad yang sentiasa berkompromi dengan pelakon dan berfikiran terbuka. Faktor itu perlu kerana ia membantu lakonan saya. Begitu juga dengan watak, kerana saya suka yang mencabar dan skrip yang menarik.

“Tidak dinafikan pada awalnya saya panik apabila mendapati cara berlakon dan bekerja antara filem dan drama tidak sama.

“Dengan Yasmin, saya didedahkan dengan latihan tapi dalam drama ini tidak ada masa untuk berlatih, itu yang membuatkan saya sedikit panik,” ceritanya.

Kata Nani, kerana tidak ada latihan, dia berasa sukar untuk melakonkan babak menangis. Pun begitu akui Nani, dia amat seronok berlakon dengan para pelakon Emil Emilda kerana semuanya seperti keluarga.

*Noorkhiriah jadi tomboy

Bagi Noorkhiriah yang berlakon sebagai tomboy bernama EJ, drama Emil Emilda menjadi landasan untuknya menunjukkan bakat.

Katanya Ezad telah memberi kepercayaan penuh padanya untuk berlakon sebanyak 80 adegan dalam drama tersebut.

“Watak EJ berbeza dengan karakter yang pernah dibawa sebelum ini. Sejak drama itu disiarkan, Noor dapat reaksi baik daripada penonton, seolah-olah mereka baru nampak siapa Noorkhiriah. Terima kasih banyak pada Ezad yang percaya pada bakat Noor,” katanya yang sanggup memotong rambut pendek demi watak EJ.

Powered by Utusan Malaysia