Archive for September, 2007

Azwan Ali Dan Sheila Berperang?


Satu lagi kisah gempar yang membisik di telinga Joyah perihal pengacara Azwan Ali dan Sheila Rusly. Joyah terkejut beruk mendengar cerita gempar ini kerana ia berlaku di dalam bulan Ramadan yang mulia.

Joyah pun macam tak percaya macam mana peristiwa seperti ini boleh berlaku. Memang tak sangka.

Hari Sabtu minggu lepas Sheila Rusly mengundang beberapa rakan artis dan wartawan hiburan terdekat ke rumahnya di Gombak, Selangor.

Selain majlis berbuka puasa, majlis sembahyang tarawih turut diadakan di rumah Sheila itu. Banyaklah makanan dan lauk-pauk yang dimasak Sheila termasuklah puding yang ‘dispedo’ (dibuat) oleh seorang wartawan bertubuh tegap untuk sheila.

Yang Joyah nak cerita ni bukan resipi puding tu tapi khabarnya Azwan Ali dah lancarkan perang untuk Sheila gara-gara majlis itu. Khabarnya juga Sheila turut menjemput Azwan untuk menghadiri majlis berkenaan.

Disebabkan Azwan Ali ada hal, dia tepaksa datang lambat dan telah memaklumkan perkara itu kepada Sheila.

“Tapi Joyah, Sheila kata pada Azwan lambat macam mana pun datang juga kerana pintu rumahnya terbuka untuk Azwan,” kata sumber Joyah.

Malangnya apabila Azwan tiba di depan pintu rumah Sheila itu, khabarnya Sheila kata tak payah datang kerana lauk dah habis dan orang semua dah balik.

Kerana mulut Sheila yang laser itu Azwan sudah sentap dan dia sudah nak berperang dengan Sheila. Pada Joyah, kalau orang yang tak kenal dengan Sheila mesti akan kecil hati kerana mulut dia dah memang tak boleh nak buat apa-apa lagi.

Mungkin Sheila saja bergurau dengan Azwan tetapi Azwan pula yang tersalah petik gurauan Sheila itu.

Ataupun memang lauk sudah habis, Joyah tak tahulah sebab Joyah tak hadir pada majlis itu kerana berbuka puasa dengan kekasih tersayang.

Apa-apa pun Joyah rasa sedih kerana perkara itu menjadi semakin besar. Azwan mungkin tak mahu tegur Sheila kerana berkecil hati dengan peristiwa itu.

Hai… kenapalah jadi macam ni. Bulan Ramadan ni kalau boleh janganlah asyik nak sentap. Bawa-bawalah banyak bersabar.

Kalau betul Azwan terasa hati dengan kata-kata Sheila itu, sudah tibalah masanya Shiela ambil insurans mulut. Tapi Joyah pelik pula sejak bila Azwan pandai nak sentap sebab dia pun laser juga orangnya. Relaks la bro!

Powered by Utusan Malaysia

Amy Mastura Dapat Raya Bersama Suami


Oleh: WANDA IDRIS

KIRA-KIRA dua minggu lagi, kita akan menyambut kehadiran Syawal dan ketika ini tentunya kaum Muslimin dan Muslimat sedang sibuk membuat persiapan menanti hari mulia itu.

Ibu bapa pasti sibuk menyiapkan kelengkapan rumah tangga serta membeli-belah pakaian dan barangan keperluan anak-anak.

Anak-anak pula pastinya tidak sabar untuk menyambut lebaran dan pulang ke kampung bertemu datuk dan nenek.

Namun bagi penyanyi genit lagi ceria, Amy Mastura, kehadiran suaminya Alvin Tham Suffian di sisi merupakan berita paling gembira yang diterimanya bagi sambutan Syawal tahun ini.

Masakan tidak, sepatutnya suaminya itu terpaksa pergi ke Kazakhstan untuk memulakan tugas di sana semasa lebaran ini namun di saat-saat akhir mendapat pelepasan.

“Kita dapat tahu suami kita dapat cuti raya. Seronoknya,” ujar Amy sambil memberitahu bahawa suaminya kini berada di kawasan perairan Vietnam berikutan tugasnya sebagai jurutera minyak bebas.

Sebaik tugasnya di sana selesai, Alvin, kata Amy, harus terbang ke Kazakhstan untuk memulakan tugas baru di negara itu.

“Memang pada awalnya kami merancang, jika Alvin tidak mendapat cuti raya, Amy dan anak-anak, Adriana dan Adalia akan mengikut Alvin ke ke Kazakhstan untuk meraikan Syawal di sana. Alhamdulillah, nampaknya tak perlulah kami beraya di negara orang.

“Bukannya apa, memanglah seronok melawat negeri orang. Tapi suasana lebarannya tentulah tidak sama dengan tempat kita. Saya sendiri dah lama tidak berhari raya di luar negara selepas meninggalkan kerjaya pramugari.

“Kalau boleh memang saya tak mahu berhari raya di luar negara lagi. Bagi saya lebih seronok berkumpul dengan kaum keluarga di kampung,” ujar Amy.

Menurut Amy, berikutan kerja suaminya di pelantar minyak di tengah lautan maka sehingga hari ini dia dan anak-anak juga masih belum berkesempatan menyambut Ramadan bersama.

“Bukan tidak sedih dan rindu tapi dia kan bekerja. Kerjanya pula jauh nun di tengah lautan. Bukan boleh pulang selalu.

“Ramadan ini pun saya masih belum berkesempatan menyambutnya dengan Alvin. Jadi tak sabar rasanya menunggu kepulangannya. Bukan Amy sahaja. Anak-anak juga begitu,” kata penyanyi dan pelakon itu lagi.

Sepanjang Ramadan ini juga kata Amy, dia turut mengurangkan aktiviti seninya kecuali menghadiri majlis berbuka puasa kerana mahu meluangkan masa bersama anak-anak.

Menyepikan diri bukan menghilangkan diri! Memang sudah lama tidak mendengar khabar berita si genit ini. Tidak banyak muncul di program TV, hanya baru-baru ini, dia muncul semula mengacara rancangan mengenai dekorasi dan hiasan dalaman Casa Impian yang ditayangkan di TV3.

Bukan tidak ada aktiviti seni hanya kerana lambakan artis realiti, seperti yang disoalkan kepadanya baru-baru ini oleh program Melodi, cuma kata Amy, pendedahan mengenai dirinya sahaja yang agak berkurangan di media massa.

“Kalau ikutkan aktiviti seni masih berjalan seperti biasa. Undangan masih ada cuma mungkin saya kurang muncul di akhbar mahupun majalah atau majlis hiburan.

“Malah sebelum puasa baru-baru ini, saya sempat berlakon dalam sebuah telefilem komedi berjudul Bawang Besar Bawang Putih bergandingan dengan Syanie.

“Sebenarnya kalau ikutkan undangan hari minggu masih lebat. Sementara hari-hari biasa pula saya lebih banyak melibatkan diri dalam program promosi produk untuk Quaker Oat, Safi Rania dan Slim World kerana saya merupakan jurucakap dan duta mereka.

“Cuma sepanjang Ramadan, seperti tahun-tahun sebelum ini, saya tidak aktif kerana lebih senang menguruskan rumah tangga dan anak-anak,” jelasnya.

Berhasrat untuk menghasilkan album penuh tahun depan, kata Amy, tahun ini perancangan seninya lebih terarah kepada dunia lakonan dan pengacaraan.

Mengikut perancangan, Amy sepatutnya terlibat dengan pembikinan drama Kirana untuk tayangan di RTM namun kerana masalah dalaman maka projek itu tergendala di tengah jalan.

“Oleh kerana perancangan itu tidak dapat diteruskan, jadi saya hanya meneruskan aktiviti persembahan. Namun kemudian saya mendapat tawaran mengacara program Casa Impian.

“Jadi dalam waktu-waktu yang terluang sekarang ini, saya kini sedang mengumpulkan lagu-lagu untuk dipilih bagi dimuatkan dalam album baru itu nanti.

“Konsepnya, konsep Amy Mastura,” kata Amy yang masih bernaung di bawah syarikat rakaman SonyBMG dan terikat dengan dua album lagi.

Ditanya mengenai kisahnya ‘menyembur’ wartawan Melodi terhadap soalan provokatif yang dilontarkan sehingga dia meminta wartawan itu ‘membersihkan hati’, kata Amy dengan selamba:

“Kita gurau saja.”

Powered by Utusan Malaysia

Serina Ajak Rakan Artis Lelong Baju

Nampaknya ramai juga artis yang mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini untuk melakukan kerja-kerja amal. Mereka juga tidak mengenakan sebarang bayaran untuk bersama menghiburkan anak-anak yatim. Malah ada juga yang sanggup keluarkan duit poket sendiri untuk memberi sumbangan.

Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank yang dilancarkan baru-baru ini pun turut mendapat kerjasama artis apabila mereka mahu memberikan sumbangan.

Antara yang sudah membantu seperti Datuk Siti Nurhaliza, Fara Fauzana, Danny X-Factor, Kuza dan juga Azli Senario. Mudah-mudahan lepas ni ramai lagi di kalangan kita yang sudi membantu mengurangkan beban insan yang mengalami gempa bumi di Indonesia.

Minggu lepas semasa Niezam ke rumah selebriti Chef Wan, anak tukang masak terkenal itu - Serina bercerita dia cukup gembira apabila pakaian-pakaian terpakai miliknya yang dilelong mendapat sambutan orang ramai.

Aktiviti itu Serina adakan di pusat membeli-belah Ampang Point, Selangor bersama adiknya Chef Nazri sempena program Lebaran Aidilfitri anjuran pusat membeli belah itu.

Acara melelong pakaian diadakan daripada pukul 11.30 pagi sehinggalah 5 petang pada setiap hari Jumaat sehingga Ahad.

Sejak awal Ramadan lalu, sudah berpuluh-puluh pakaian lamanya yang berjenama habis dilelong dengan harga serendah dari RM5 hingga RM200. Kata Serina, kutipan daripada wang tersebut akan disumbangkan untuk rumah anak-anak yatim.

Pakaian yang dilelong itu bukannya pakaian buruk yang tak laku di kedai sebaliknya masih lagi baru.

Paling penting peminat yang menghulurkan sumbangan itu dapat juga membawa pulang pakaiannya sebagai kenang- kenangan.

“Jangan pula anggap Serina bagi pakaian yang tak elok untuk orang pakai tetapi matlamat utama untuk kumpul duit membantu mereka yang kurang bernasib baik. Pakaian itu hanya syaratnya saja,” katanya.

Sehubungan itu Serina meminta para artis yang mempunyai pakaian-pakaian atau apa saja barang simpanan lama tetapi masih sempurna bolehlah memberikan kepadanya untuk dilelong.

Kalau ada juga rakan-rakan artis yang ingin menyumbangkan tenaga mereka untuk sama-sama berada di atas pentas bagi melelong pakaian tersebut, mereka turut dijemput.

Selain aktiviti melelong, turut diadakan persembahan para artis. Malah pada 7 Oktober ini, Chef Wan pun akan membuat demonstrasi masakan kepada pengunjung pusat membeli-belah itu.

Jadi, kepada para artis yang mempunyai pakaian ataupun beg yang sudah tidak digunakan lagi, bolehlah diserahkan kepada Serina.

Cuma Niezam nak ingatkan kalau nak melelong barang pun biarlah barangan yang masih sempurna. Jangan dilelong kain buruk pula.

NIEZAM: Meriah majlis berbuka puasa bekas pelajar Sek. Men. Dato’ Hj. Hussein, Selama, Perak di Restoran Nelayan, KL, semalam.

Powered by Utusan Malaysia