Jom Sambut 2008 Di Dataran Merdeka!


KUALA LUMPUR, 31 DIS 2008: Konsert Sinaran 2008 yang bakal dianjurkan Bank Ambank Group dengan kerjasama pihak Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka, bermula jam 8.30 malam ini diharap dapat memupuk kembali semangat perpaduan dan muhibah di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Ia bukan saja akan menampilkan barisan penyanyi hebat tanah air seperti Mawi, M Nasir, Datuk M Daud Kilau, Wings serta juara Akademi Fantasia 5, Mila tetapi juga akan turut dijayakan dengan persembahan daripada beberapa artis tempatan India dan Cina yang sedang mencipta nama.

Dalam konsert ini, penonton akan berpeluang menyaksikan penyatuan negara menerusi persembahan tarian daripada beberapa badan kebudayaan tempatan iaitu tarian Melayu daripada Artis Budaya DBKL dan Artis Cilik DBKL, Tarian Naga Cina (kumpulan Kun Seng Keng) serta tarian warna-warni (Indian Dance Group).

Selain itu, beberapa kumpulan penari budaya daripada luar negara seperti Singapura, Thailand dan Vietnam pula akan memeriahkan suasana dengan persembahan tarian kebudayaan negara masing-masing. Kemuncak kepada Konsert Sinaran 2008 itu ialah persembahan bunga api paling besar dan meriah di tapak padang yang cukup bersejarah itu.

Pengerusi AmBank Group, Tan Sri Datuk Azman Hashim, berkata sebagai sebuah syarikat korporat yang terkemuka di negara ini, pihaknya mempunyai peranan serta tanggung jawab yang besar untuk menyatukan masyarakat.

“Dengan penganjuran konsert ini, kami berharap ia akan dapat dijadikan landasan untuk masyarakat yang pelbagai bangsa dan agama di Malaysia serta menguatkan lagi semangat muhibah sesama kita.

“Malah, ia juga satu cara untuk kami mengucapkan terima kasih kepada warga Kuala Lumpur khususnya yang selama ini banyak memberikan sokongan apabila berurusan dengan Bank Ambank Group,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Mawi pula berkata, dia akan cuba memberikan persembahan yang terbaik pada malam ini.

“Saya sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dalam Konsert Sinaran 2008. Fokus saya hanyalah untuk konsert ini saja, sebab itu saya tidak membuat kemunculan di tempat-tempat lain malam ini. Saya juga akan menyanyikan 5 lagu dan membuat gimik. Kalau nak tahu, anda semua kenalah datang nanti,” katanya.


Murai

Leave a Reply