Enggan Tumpang Glamor Bapa
Oleh FAIZAL SAHARUNI

ALBUM sulungnya menjadi tiket buat Gita mencipta nama dalam industri muzik.
WAJAHNYA manis sekali. Gita Gutawa. Sebaris nama ini segera mengingatkan kepada nama Erwin Gutawa. Siapakah gerangannya Gita?
Tidak lain dan tidak bukan, pemilik tubuh cilik yang baru berusia 14 tahun ini sebenarnya adalah anak karyawan seni tersohor Indonesia itu.
Mengikuti jejak langkah bapanya dalm bidang seni, Gita pantas sahaja bergelar penyanyi.
Berbekalkan bakat, pemilik nama penuh Aluna Sagita Gutawa yang memegang status artis sejak tiga tahun lalu ini memperlihatkan kesungguhan dan bakat yang dimilikinya tanpa menjadikan kesuksesan Erwin sebagai batu loncatan.
Umum mengetahui, figura Erwin amat disegani disebabkan pemuzik terulung Indonesia itu sudah merekod deretan kejayaan gemilang dalam direktori seninya.
Lalu, tidak mengejutkan apabila Gita meluahkan pendiriannya yang mahu mencipta nama kukuh sebagai penyanyi tanpa dikaitkan dengan populariti Erwin.
“Lebih senang rasanya khalayak menilai saya sebagai orang baru. Saya mahu capai impian bergelar penyanyi yang berjaya suatu hari kelak.
“Tidak enak kalau ada yang terus buat tanggapan saya mengecapi kejayaan atas nama orang lain,” tuturnya saat membuat kemunculan pada sidang media Wall’s Cornetto di Planet Hollywood, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Begitu tertib menyusun setiap butir bicara, anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini berkata, dia harus berusaha lebih keras demi mengukuhkan kedudukan dalam bidang yang telah diceburinya itu.
“Saya masih baru. Banyak lagi yang perlu dipelajari untuk memantapkan diri. Justeru, saya berazam untuk melakukan yang terbaik dalam melaksanakan apa jua tugas yang diberikan.
“Minta-minta lepas ini tiada lagi sebarang persepsi mengaitkan Gita menumpang glamor Erwin,” pinta Gita mohon dimengertikan.
Raih kemenangan di MesirBaru muncul dengan album sulungnya, Gita Gutawa, pada tahun lalu, remaja berprofil tinggi ini telah terpilih menyertai 6th International Nile Song Festival di Cairo, Mesir baru-baru ini.
Paling membanggakan, Gita memenangi Grand Prize dan membolot hampir kesemua kategori yang diperkenalkan dalam pertandingan itu.
“Saya baru saja pulang dari Mesir dua minggu lalu kerana menyertai pertandingan nyanyian yang dihadiri oleh 35 peserta dari seluruh negara.
“Alhamdulillah, saya memenangi hadiah utama dalam festival yang gilang-gemilang itu.
“Saya perolehi banyak pengalaman kerana setiap peserta datang dari budaya dan latar belakang berbeza.
“Sempat juga bertukar-tukar idea dan pendapat tentang perkembangan muzik yang berlaku di tempat masing-masing.
“Saya juga berpeluang menambah kenalan rakyat luar meliputi pelbagai peringkat umur,” ujar Gita penuh teruja.
Menyediakan tiga kategori iaitu enam hingga sepuluh tahun, 11 hingga 13 tahun dan 14 hingga 17 tahun, pertandingan itu menjadi platform khas buat pendatang baru yang ingin mengasah bakat mereka.
Lebih seminggu berada di sana, pelajar Sekolah Al-Izhar Pondok Labu ini mendendangkan lagu dari albumnya, berjudul To Be One, ciptaan Budi Bachtiar.
“Banyak kenangan manis terjadi kepada saya sepanjang berada di sana.
“Salah seorang juri dari Itali turut mempelawa saya untuk menjayakan undangan nyanyian dalam sebuah majlis berprestij di negaranya.
“Cuma perkara tersebut masih belum disahkan apatah lagi tiada sebarang perjanjian ditetapkan.
“Begitu pun, perbincangan sedang dilakukan kerana saya harus berhadapan dengan beberapa prosedur lain terlebih dahulu,” sahut Gita bangga.
Bapa sumber inspirasiMeskipun enggan mengaitkan dirinya dengan Erwin, Gita tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana lahir dalam keluarga berjiwa seni.
“Walaupun dia (Erwin) tidak mengajar tentang muzik, namun bapa tetap memberi kemudahan secukupnya dalam proses merealisasikan hasrat saya bergelar penyanyi.
“Rasa bertuah sangat kerana bapa mendekatkan diri saya dalam bidang ini.
“Masakan tidak, sejak kecil saya selalu ikut bapa yang bertugas sebagai konduktor muzik menjalani raptai penuh nyanyian.
“Saya juga berpeluang menghadiri beberapa konsert kendaliannya di sekitar Indonesia dan negara luar.
“Dari situlah saya pelajari selok-belok muzik,” akui Gita yang berkebolehan bermain piano dan gitar akustik.
Menyentuh tengang nasihat atau kata-kata hikmat dari bapanya, Gita spontan berkata: “Banyak benda yang bapa cakap kepada saya.
“Dia sentiasa mengingatkan saya berkelakuan baik dan menonjolkan bakat dengan ikhlas,” tuturnya.
Cinta Gita, DafiSiapa sangka, populariti yang dikecapi Gita melayakkannya dilantik sebagai duta terbaru Wall’s Cornetto bersama bekas pelajar Akademi Fantasia 5 (AF5), Dafi.
Menariknya, mereka telah diterbangkan ke Bangkok, Thailand selama lima hari bagi menjayakan iklan komersial kempen itu yang bakal bersiaran di beberapa negara Asia.
Ditemukan dalam suasana romantis di kota Bangkok, tiga bulan lalu, Gita mengakui seronok bertentangan mata dengan jejaka yang menjadi pujaan ramai di Malaysia.
Tanpa berselindung, Gita menjelaskan, dia gembira apabila ‘disatukan’ dengan Dafi yang dilabelkannya sebagai kacak dan peramah.

GITA dengan tulus mengakui gembira dapat bergandingan dengan Dafi.
Cinta lokasi pasti menjadi lumrah buat pasangan yang ditemukan dalam sesebuah iklan, drama atau filem apatah lagi jika kedua-duanya masih solo dan belum berpunya.
“Perkenalan kami terlalu baru. Terus-terang tiada sebarang perasaan cinta timbul antara saya dan Dafi.
“Saya juga kurang arif terhadap keperibadian sebenar Dafi, tapi menerusi pemerhatian saya, Dafi baik orangnya dan sangat menyenangkan.
“Tidak sukar bekerja dengan Dafi. Dia mudah diajak berbual dan membuatkan saya selesa dengannya walaupun baru bertemu,” lembut bicara Gita sambil menjeling ke arah Dafi.
Powered by Kosmo