Archive for February, 2008

‘Brad’ Pulang Ke Pangkuan Fasha


KUALA LUMPUR - Kucing kesayangan Fasha Sandha Hasan, 24, yang dicuri dari kediamannya di Ampang, Ahad lalu selamat dipulangkan ke pangkuannya malam tadi.

FASHA SANDHA

Menurut Fasha, ‘Brad’ nama kucing yang dibeli dengan harga RM2,000 tiga tahun lalu dihantar sendiri oleh empat lelaki yang mencuri kucing tersebut pada pukul 9.50 malam.

“Empat lelaki berumur 20 hingga 30 tahun memohon maaf dan memberitahu mereka telah insaf dengan apa yang dilakukan mereka,” kata Fasha.

Katanya, beliau ditemani ahli keluarganya telah meluangkan masa kira-kira sejam bersama empat lelaki terbabit bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Berikutan itu, Fasha memberitahu, beliau telah memaafkan keempat-empat lelaki itu yang juga merupakan jirannya.

“Saya maafkan kesemua mereka dengan ikhlas hati saya dan terima kasih juga kepada media yang menyiarkan kehilangan ‘Brad’,” katanya.

Ditanya niat empat lelaki itu mencuri ‘Brad’, Fasha memberitahu, mereka sebenar memang berniat mengambil kucing tersebut, tetapi tiba-tiba mereka merasa takut setelah berita kehilangan ‘Brad’ disiar secara meluas.

Selain itu, katanya, keempat-empat lelaki itu juga menjadi lebih takut apabila mengetahui rumah teres dua tingkat miliknya dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Akhbar semalam melaporkan, kucing Fasha hilang selepas rumahnya diceroboh empat lelaki menunggang motosikal Ahad lalu.

Powered by Kosmo

Penetuan Juara OIAM2 - Undi Bakat Atau Rupa?


Oleh HARYATI KARIM


LIGA tiga dara. Sarah, Shila dan Ayu memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara OIAM2, namun keputusannya terletak di tangan pengundi.

DEBARAN dan bahang program realiti One In A Million musim kedua (OIAM2) semakin terasa. Ini kerana malam ini bakal melakar satu lagi sejarah dalam dunia seni tempatan.

Seorang juara bakal dijulang. Dan bukan itu sahaja, sang juara nanti juga bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta sebagai habuannya.

Tiga peserta yang merebut juara OIAM2 tidak dinafikan kehebatannya mereka.

Sarah, Shila dan Ayu layak ke peringkat akhir tetapi salah seorang daripada mereka akan disingkirkan berdasarkan peratus undian penonton.

Ini bermakna hanya dua peserta yang bertuah masing-masing akan beraksi bersama empat buah lagu termasuk sebuah lagu baru sebelum salah seorang daripada mereka dijulang sebagai pemenang.

MUNGKINKAH pilihan majoriti pengundi OIAM2 nanti adalah buat pendatang baru, Ayu?

Ayu raih undi kasihan?

Jika diukur pada bakat, ketiga-tiga mereka nyata mempunyai perbezaan antara satu sama lain, khususnya dari segi vokal.

Tetapi jika dilihat pada sudut undian pula, mungkin nasib Ayu lebih cerah kerana gadis yang berasal daripada Sabah ini mempunyai gaya dan aura yang tersendiri.

Ayu yang sering merasakan personalitinya yang menjadi halangan untuknya bersaing dengan Sarah dan Shila mungkin boleh mengundang undi kasihan kepadanya.

Mungkin juga pengundi kini sudah semakin bijak, kerana mereka sudah bijak menilai bakat bukan bergantung kepada paras rupa semata-mata.

Tambahan, hanya Ayu seorang yang merupakan peserta yang tidak memiliki sebarang latar belakang dalam dunia seni ataupun memikul status artis seperti Sarah dan Shila.

Kesungguhannya untuk menjadi seorang penyanyi terserlah apabila dia tanpa segan menyertai program OIAM dua kali berturut-turut, walaupun sedar pada OIAM musim pertama dia hanya layak menduduki tangga Top 20 sahaja.

Ayu yang menyerlah secara perlahan-lahan sepanjang OIAM2 berlangsung membuktikan bahawa dia juga seorang penyanyi yang memiliki bakat yang berpotensi digilap.

Pakej lengkap Shila

ika mahu melihat kepada peserta dari segi pakej, perhatian seharusnya tertumpu buat Shila.

SHILA punya daya tarikan tersendiri.

Jelas sekali dia memiliki daya penarik yang tersendiri.

Kelincahannya di pentas, imej remaja yang dibawanya serta gaya vokal yang unik telah menjadikannya peserta yang mempunyai pakej yang cukup lengkap untuk diminati dan meraih undian terbanyak daripada penonton.

Shila memang sudah dikenali sebagai penyanyi sejak zaman kanak-kanaknya lagi dan perubahan drastik yang ditonjolkannya sepanjang program ini berlangsung mungkin akan membawanya ke tahap yang lebih tinggi dan bergelar juara. Siapa tahu?

Populariti Sarah diuji

Sarah pula, umum mengetahui betapa peserta ini sememangnya seorang penyanyi terkenal di negara ini.

Dan membuktikan gelaran yang diraihnya, Sarah telah memberikan persembahan yang memberangsangkan pada setiap minggu dalam OIAM2.

Peningkatannya agak ketara kerana pada minggu-minggu awal, dia nyaris-nyaris terkeluar. Justeru, ini membuktikan pengaruh Sarah masih kuat.

SARAH membuktikan popularitinya banyak membantu dirinya untuk kekal setakat ini dalam OIAM2. Namun apakah nasib Sarah pada malam ini?

Dan tidak dinafikan popularitinya sebagai penyanyi terkenal itulah antara faktor mengapa dia masih kekal dalam program ini.

Peminat setianya sudah semestinya akan mengundi penyanyi kesayangan mereka ini.

Namun, sebanyak mana undian yang diperolehi Sarah untuk bergelar juara, semuanya bergantung semula kepada peratus undian yang dikirim oleh peminatnya.

Pendek kata inilah saat dan ketika populariti Sarah yang diraihnya selama ini akan diuji.

Jac, Faizal pilih Ayu

Bagi menambahkan lagi getaran debaran siapakah juara OIAM2, KOSMO! telah menghubungi beberapa bekas peserta program realiti TV termasuk juara dan naib juara OIAM musim pertama siapa lagi kalau bukan Suki dan Faizal Tahir.

Melahirkan pandangannya selaku juara OIAM musim pertama, Suki melihat ketiga-tiga Ayu, Shila dan Sarah memiliki peluang yang sama.

“Sebenarnya saya juga tidak tahu siapa yang akan memenangi pertandingan kerana ketiga-tiga mereka merupakan peserta kegemaran saya.

“Mereka sama-sama tampil dengan gaya yang tersendiri dan mempunyai potensi yang sangat besar untuk bergelar juara.

“Apa yang saya boleh beritahu mereka memang layak untuk berada di Top 3 dan untuk persembahan pada final nanti, mereka harus lakukan dengan cara mereka sendiri,” jelasnya.

DUA peserta final bakal mengikuti jejak langkah Suki dan Faizal bergelar juara dan naib juara One In A Million.

Naib juara OIAM, Faizal Tahir juga menyifatkan mereka ketiga-tiga Ayu, Sarah dan Shila sebagai antara yang terbaik tetapi dia tanpa berselindung mengharapkan kemenangan akan berpihak pada Ayu.

“Siapa yang bakal juara itu saya susah nak cakap tetapi yang menjadi pilihan saya adalah Ayu. Ini kerana saya sudah kenal dia semasa OIAM musim pertama tetapi rezeki tidak berpihak padanya waktu itu dan kini dia antara yang terbaik.

“Saya berpendapat kita sepatutnya bagi peluang kepada muka-muka baru seperti Ayu kerana suaranya unik dan juga potensinya untuk pergi jauh sangat besar.

“Saya berkata begitu bukan bermakna Shila dan Sarah tidak bagus, tetapi mereka berdua sudah pun mempunyai karier dan album, menang atau kalah mereka tetap akan teruskan kerjaya seperti biasa.

“Namun, orang seperti Ayu kita harus sokong kerana dia mempunyai bakat tetapi belum mempunyai landasan yang tepat,”tegas Faizal.

Sementara juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor mempunyai pendapat yang serupa dengan Faizal.

“Saya tidak pasti siapa yang akan menang, ketiga-tiga mereka bagus tetapi saya lebih tertarik kepada Ayu, sebab dia memberikan soul pada lagu yang dinyanyikan.

“Sarah dan Shila sudah ada pengalaman dan latar belakang sebagai artis.

“Manakala, Ayu pula sangat baru dan masih muda, jadi apa salahnya beri dia peluang,” ujar Jac.

Dalam pada itu, Jac sempat memberi nasihat kepada Ayu, Shila dan Sarah supaya menjadi diri sendiri semasa di pentas final kerana menurut Jac, pengundi mengundi sebab mereka sukakan diri peserta yang sebenarnya bukannya orang lain.

Nampaknya, pelbagai pandangan telah diambil kira, jadi nantikan sahaja siapakah yang bakal menggenggam gelaran juara OIAM2.

Sama-sama nantikan siaran rakaman OIAM2 yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam. Siarannya akan ke udara tepat pukul 9.00 malam ini di 8TV iaitu lewat 30 minit daripada waktu rakamannya yang dimulakan pada pukul 8.30 malam.

Powered by Kosmo

Ketulusan Cinta Jay Jay, Zai


BERMULA sebagai artis dan peminat, Jay Jay dan Zaitoon menemui kebahagiaan yang diharapkan berkekalan ke akhir hayat.

SEKIAN lama, lagu-lagunya seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa, Hentikan Fitnahmu, Kini Baru Kau Sedar dan Cukuplah Sekali beraja di hati peminat.

Tetapi tahukah wahai pembaca semua, siapakah pula yang beraja di jiwa penyanyi si pemilik suara lunak yang mendendangkan lagu-lagu berhantu itu.

Jay Jay memang tidak pernah mempamerkan ratu hatinya kepada media melainkan pada tahun 2005, ketika satu acara hiburan memperkenalkan seorang artis baru, kelibat wanita bernama Zaitoon Wahib ini diperkenalkan Jay Jay sebagai isterinya.

Dan masuk tahun 2008 atau lebih tepat lagi pada 1 Mei depan, genaplah 26 tahun wanita ini dinikahinya dan sehingga kini penyanyi, pemuzik dan komposer terkenal, Jay Jay terus menjadi suami yang pengasih dan setia.

Lama sudah mahligai bahagia ini dibina oleh Jay dan Zaitoon tetapi ibarat mana-mana pasangan lain jua, Jay Jay mahu ikatan ini akan terus berkekalan ke akhir hayat.

Anak-anak juga sudah meningkat remaja bahkan ada yang sudah bekerja, ini yang memberi ruang yang lebih bermakna buat Jay Jay dan isteri mengecap semula kemanisan menikmati keindahan hidup berdua-duaan.

“Orang kata bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian,” ucap Jay Jay sambil menoleh kepada isteri tersayang, Zaitoon, 45.

Melamar Jay Jay dan isterinya yang senang membahasakan diri sebagai Kak Zai sebagai pengisi edisi Intuisi Cinta minggu ini, sebenarnya satu percubaan yang tidak disangka-sangka.

Kata Jay Jay, dia tidak pernah sesekali menerima kedatangan media ke rumahnya untuk sebarang sesi fotografi.

Dia bukan sombong tetapi baginya, lebih manis jika hal keluarga tidak mencampuri urusan kariernya sebagai hamba seni.

Entah kenapa, kali ini, hatinya terbuka untuk bercerita dan mengalu-alukan kedatangan KOSMO!.

Bermula dari kosong

Menyelak lembaran kisah Jay Jay dan Kak Zai, terlalu banyak kenangan pahit-manis yang telah mereka lalui. Terlalu banyak juga kesukaran yang datang tetapi itu semua berjaya ditelan sehingga cinta dua jiwa kini dikongsi pula bersama empat cahayamata bernama Nur Amalina, Nur Dahlia, Muhammad Nifail dan Nur Camelia.

Yang bernama cinta adalah rasa dua jiwa yang dianugerah oleh Ilahi. Percaya pada cinta maknanya percaya pada jodoh dan rezeki. Bersandarkan keyakinan itulah, ‘lelaki bertopi’ ini tekad mahu mengahwini Zaitoon, walaupun ketika itu dia tidak punya masa depan.

“Masa itu saya masih bersama Carefree, saya tiada aset lain melainkan muzik, tetapi dalam hati saya, saya percaya dialah jodoh saya,” kata Jay Jay yang pernah menyewa bilik ketika mula-mula hidup sebagai suami isteri.

Tambahnya lagi: “Kami berdua bermula dari ‘kosong’, tiada rumah dan tiada kereta. Perlahan-lahan kami bina tapak dan Alhamdulillah, sekarang kami boleh hidup dengan selesa, bukan kaya-raya tetapi cukuplah untuk bahagia bersama famili.”

Pernah juga Jay Jay hilang segala-galanya ketika baru sahaja bergelar suami. Masa depan menjadi gelap dan dia hilang semangat apabila Carefree mengambil keputusan untuk berpecah.

“Bukan setakat terduduk bahkan merasakan dunia gelap dan tiada hala tuju. Saya jadi lemah, nasib baik ada isteri yang memberi kekuatan untuk saya bermula semula,” beritahu Jay Jay tentang secebis daripada kesukaran yang pernah dirasainya.

SAAT bergelar pengantin baru, (gambar kiri) Allahyarham Sudirman turut hadir meraikan hari bahagia Jay Jay dan Zaitoon.

Seorang gadis di tepi pagar

Menceritakan detik manis perkenalan mereka, kata Jay Jay, semuanya bermula ketika satu konsert Carefree yang diadakan di Panggung Negara, Singapura.

“Dalam ramai-ramai penonton yang datang, dari jauh saya nampak ada seorang gadis yang berdiri di tepi pagar. Kulitnya putih, jadi saya ingat dia berketurunan Cina. Jadi saya terfikir buat apa gadis Cina itu datang ke konsert saya, tahukah dia dengan lagu-lagu Carefree,” cerita Jay Jay.

Tidak habis di tapak konsert, Kak Zai yang ketika itu berusia 19 tahun mengekori Carefree sehingga ke hotel.

“Bukan saya seorang tetapi semua peminat buat begitu. Peminat la katakan. Saya bukan pergi seorang tetapi dengan kawan-kawan. Saya memang nak jumpa dia. Siap hantar ke lapangan terbang lagi, bersalam dan sempat bertukar nombor telefon,” sampuk Kak Zai yang menemui Jay Jay sebagai cinta sejatinya.

SEPANJANG hampir 26 tahun bersama, makanan masakan isteri paling bermakna buat Jay Jay.

“Saya memang memuja Jay Jay, tampal gambar dan dengar semua lagunya terutamanya Rindu Bayangan. Mula-mula terbayang-bayang kemudiannya jadi milik saya,” ujarnya yang lebih banyak tersenyum di sisi Jay Jay.

Setahun putus hubungan

Bercinta pada zaman 80-an tidaklah sehebat sekarang, ketika itu tiada telefon bimbit. Jarak jauh dan sukar untuk bertemu menjadi penghalang, hanya surat cinta menjadi pengubat rindu.

Jay Jay dan Zaitoon pernah terputus hubungan selama hampir setahun.

“Apabila saya bekerja dengan Anita Sarawak dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang ketika itu berpusat di Singapura, barulah kami berjumpa semula,” jelas Jay Jay.

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Jay Jay percaya, berpisah dan bertemu semula itu sebagai petanda bahawa jodohnya susah sampai.

Selepas kembali semula ke KL, dia terus nekad untuk melamar Zaitoon.

“Saya seorang diri menaiki keretapi mail malam pergi ke Singapura untuk bertemu keluarga Zaitoon. Memudahkan urusan, mereka menerima saya tanpa banyak cerita. Begitu juga dengan keluarga saya.

“Kemudian saya hantar rombongan meminang dan beberapa bulan kemudian, kami berkahwin,” ucap Jay Jay sambil mengucapkan syukur dan terima kasih terhadap pengorbanan isterinya yang sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa dan sanggup meninggalkan kerja serta keluarga di Singapura semata-mata ingin bersamanya di KL.

“Tuhan sudah memberikan anugerah yang cukup bernilai buat saya”, hanya itu ungkapan yang mampu keluar dari mulut Jay Jay saat mendefinisikan siapa Zaitoon di sisinya.

Pernah dan sering bergaduh

Perkara paling manis yang pernah berlaku dalam hidupnya adalah saat kehadiran anak-anak yang menyerikan kehidupan.

“Saya rasa saat itulah yang paling manis, terutamanya ketika kelahiran anak sulung saya. Saya macam tidak percaya melihat anak sendiri di pangkuan. Betapa besarnya kurniaan Tuhan sehingga saya tidak mampu meluahkan dengan kata-kata,” kata Jay Jay dengan rasa terharu.

Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri. Sebesar mana sekalipun kuasa cinta mereka, tidak lengkap hubungan itu tanpa perselisihan pendapat.

“Kami pun pernah bergaduh, sering bergaduh sebenarnya. Tetapi satu sahaja yang saya mahu katakan, bergaduh macam mana sekalipun, dapur mesti berasap, itu wajib,” kata Jay Jay. Sambil mengiakan kata-kata Jay Jay, Zaitoon pula mencelah.

“Perut suami perlu diikat dengan masakan isteri, barulah dia tidak cari makanan di luar. Muka masam, bergaduh tetap bergaduh tetapi masak tetap masak. Nak makan, cedok sendiri,” kata Kak Zai yang diiktiraf sebagai tukang masak terbaik oleh Jay Jay.

Puji Jay Jay juga, masakan di tempat lain tidak boleh menandingi apa yang dimasak oleh isterinya.

“Saya hargai setiap apa yang dihidangkan, bukan sahaja kerana rasa yang sedap tetapi ia dimasak oleh isteri untuk saya. Saya kena hargainya. Anak-anak juga begitu, mereka sudah terbiasa dengan masakan di rumah, jadi tidak gemar makan di luar,” kata Jay Jay yang jarang membeli makanan walaupun ketika bulan Ramadan.

Powered by Kosmo