Baru Pandai Berenang


Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Selepas mendapat tunjuk ajar daripada penyampai HOT FM, Fara Fauzana, Farah AF2, kini sudah mahir berenang.

SEJAK menyertai program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim kedua, nama Farah AF2 atau popular dengan gelaran Farah Breep! Breep!, semakin meningkat naik.

Meninggalkan pentas AF pada tahun 2004, Farah, 23, terus mengorak langkah di persada seni. Lagu-lagunya seperti Tangisan Dalam Kerinduan, Antara Dua, Jalan Terakhir, Gembira Hidup Ini, Perang cinta (duet bersama Ella), Tak Tahu Antara Dua (duet bersama Adam AF2), sentiasa bermain di corong-corong radio.

Berkat kesungguhan dan bakat yang dianugerahkan Tuhan, Farah dinobatkan sebagai Artis Harapan Terbaik AIM 2005, Artis Baru Wanita Popular ABP 2005 dan Top 10 Anugerah Penyanyi Baru yang berlangsung di Shanghai, China.

Selain berkebolehan menyanyi, artis remaja yang memiliki koleksi minyak wangi sebanyak 30 botol itu turut melebarkan sayap dalam bidang lakonan dan pengacaraan (Durian Runtuh, Rasa Halal Orien).

Drama bersiri, Akademi yang ditayangkan di saluran Astro Ria, merupakan titik permulaan lakonan. Seterusnya, dia dilamar pula membintangi filem Man Laksa sebagai penampilan istimewa.

“Saya amat bersyukur kerana masih diminati dan mendapat sokongan daripada peminat. Meskipun AF kini telah memasuki musim keenam tetapi saya masih bertahan dalam bidang ini,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi penyampai radio.

BERSAMA koleksi minyak wangi pemberian peminat.

Walaupun fokus utamanya adalah bidang nyanyian tetapi Farah berpendapat tidak salah sekiranya dia mencuba setiap bidang yang berkaitan dengan seni seperti pengacara, pelakon atau penyampai radio.

Berbekalkan sifatnya yang ceria, gembira, berkeyakinan dan bersih daripada segala gosip, penyanyi yang meminati warna merah jambu ini turut dilantik sebagai duta untuk beberapa produk tempatan. Antaranya produk kecantikan Syahirah, minuman Power Root dan penjagaan wanita, Intimate.

SANTAI: Sukarkah menjadi duta produk?

Ramai yang berpendapat bahawa menjadi duta produk suatu tugas yang mudah. Tetapi, ia tidak semudah yang disangkakan.

Maksud Farah?

Sebagai duta, saya perlu mengenal pasti khasiat, keistimewaan dan mencuba produk tersebut terlebih dahulu sebelum menyarankan kepada pengguna.

Mengapa?

Tanpa pengetahuan yang mendalam, sukar bagi saya menyakinkan pengguna supaya membeli produk, sekiranya saya sendiri tidak mengetahui hasilnya.

Komen sedikit sebagai duta produk-produk terbabit.

Bagi produk Shahira, tekstur dan ramuan yang terkandung sungguh memuaskan. Kulit saya menjadi lembut dan halus. Minuman Power Root pula, mengekalkan tenaga kepada saya manakala Intimate memberi keselesaan yang memuaskan.

Selain minuman tersebut, apa yang membuatkan tubuh anda terasa segar dan sihat?

Semestinya dengan bersenam. Saya banyak bersenam di pusat kecergasan Fitness First. Di sana, terdapat seorang jurulatih yang bertugas bagi memantau cara-cara senaman yang dipraktikkan. Jika dahulu, berat badan saya 53 kilogram tetapi selepas keluar AF, berat saya kini kembali pada 45 kilogram.

Bagaimana pula dengan waktu santai anda?

Saya suka melakukan aktiviti berenang. Biasanya, jika tidak sempat ke gim, saya lebih suka berenang di kolam renang kediaman. Berenang baik untuk kecantikan dan membantu meningkatkan stamina nyanyian.

Sejak bila mahir berenang?

Baru sahaja. Itupun setelah mendapat tunjuk ajar daripada penyampai radio HOT FM, Fara Fauzana ketika mengadakan persembahan di Brunei. Sewaktu di kolam renang, Fara menjelaskan bahawa berenang bukan perkara yang sukar.

Dalam keluarga, ibu yang paling handal berenang dan mudah mengimbangkan badan dalam air.

Powered by Kosmo

Leave a Reply