Selamat Tinggal ‘Mama’


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Persembahannya penuh energi dan gaya ‘nenek rock’ sentiasa menjadi perhatian ramai. Namun sudah ditakdirkan, Mama Rina atau Hairina Abdul Halim, 44, terpaksa akur dengan kehendak pengundi yang tidak mahu melihat dirinya beraksi lagi di pentas Akademi Fantasia 6 (AF6).

Dia yang sentiasa menjadi penyeri dan ‘mama’ kepada pelajar-pelajar lain, tersingkir pada konsert minggu keenam, Sabtu lalu. Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi saksi Rina disingkirkan selepas seorang lagi pelajar berstatus ibu, Saida menjadi mangsa minggu lalu.

Walaupun mempamerkan persembahan yang menghiburkan dan mengagumkan, Mama Rina terpaksa akur dengan keputusan bahawa dia merupakan pelajar seterusnya yang akan memenuhi tempat duduk di bawah pentas.

Tetapi Mama Rina kelihatan tenang di saat namanya diumumkan terkeluar oleh pengacara AC Mizal walaupun ralat kerana terpaksa melupakan perjuangannya untuk ke final.

Dia masih mampu melemparkan senyuman kepada pelajar lain dan juga penonton sedangkan pelajar yang tinggal seolah tidak mahu melepaskan ‘mama’ kesayangan mereka.

Menyampaikan lagu Ular yang pernah dipopularkan oleh Anita Sarawak, kebolehan Mama Rina sebagai penghibur terserlah. Namun keputusan yang pahit itu harus ditelan jua.

Melihatkan persembahannya malam Sabtu lalu, Mama Rina kurang memberikan impak kepada audiens yang menonton meskipun Ular ditangani dengan gaya yang penuh energetik.

Malah pesonanya dilihat masih sama dengan persembahannya yang lain sebelum ini ditambah pula dirinya terkucil sedikit tatkala ingin mengakhiri lagu yang dibawa.

Ia turut diakui sendiri oleh pengkritik tetap, Ogy Ahmad Daud yang mengatakan pengisian lagu Ular yang dibawakan Rina kosong. Tidak ada jiwa.

OGY cukup berpuas hati dengan persembahan Nadia yang disifatkan antara pelajar yang layak untuk ke peringkat final.

Kemudian, Adnan Abu Hassan pula menganggap Rina tidak mahu keluar dari gaya persembahan seperti penyanyi di kelab hiburan biarpun nyanyiannya tiada masalah.

Seorang lagi pengkritik, Adlin Aman Ramli juga memuji persembahan Rina yang dikatakan mempunyai karektor, tetapi kelihatan penat di pertengahan jalan.

Nadia, Stacy dan Riz ke final? Seperti biasa, Nadia sentiasa mendapat pujian daripada pengkritik dan minggu demi minggu dengan persembahan yang semakin mantap.

Suara serak-serak basah yang mengalunkan lagu Rama-rama nyanyian Ella itu, membuatkan para pengkritik lebih-lebih lagi, Ogy, terkesima dengan nyanyiannya.

“Bagus Nadia. Kamu sangat bagus. Saya suka dengan pakaian, wajah dan original kamu. Saya mahu melihat kamu ke final,” itulah pujian yang diberikan oleh Ogy kepada Nadia sehingga membuatkan pelajar itu tersenyum gembira.

Begitu juga dengan Stacy dan Riz, Ogy awal-awal lagi sudah mencanangkan dia ‘merestui’ tiga nama pelajar ini mewarnai pentas final AF6.

Stacy mendapat tepukan yang paling gemuruh pada konsert itu apabila berjaya mencuit hati para audiens serta tiga orang pengkritik itu dengan membawakan lagu Don’t Speak.

Persembahannya begitu mantap dengan gayanya yang bersahaja. Nampak benar Stacy terus meningkat dan bergaya ala penyanyi profesional sehinggakan pengkritik kedua, Adnan mengatakan Stacy merupakan pelajar pertama yang dilihatnya mempunyai dinamika nyanyian yang cukup tersusun.

Biarpun Riz merupakan pelajar kegemaran pengkritik, dia yang membawakan lagu Seribu Tahun, masih lagi memerlukan pembaharuan dalam nyanyiannya. Adlin berpendapat Riz seorang yang hebat dan berbakat, tetapi dia tidak memberikan sesuatu yang lebih baik daripada minggu-minggu sebelumnya. Senang cerita, Riz statik dengan persembahannya dan tidak banyak peningkatan.

Selain itu, Toi yang membawakan lagu Tak Bisakah, nyanyian Peterpan, cuma ala kadar sahaja. Toi tidak menunjukkan banyak peningkatan. Tatkala dia terlupa lirik, fokusnya hilang dan ia turut diakui oleh pengkritik sebagai kelemahannya.

Apa pun, melihatkan persembahannya sebelum ini, konsert ini merupakan persembahan terbaiknya biarpun beberapa kesilapan berlaku.

Stanly, Alif dan Nubhan masing-masing membawakan lagu Kata (Hazami), Ketahuan (Matta) dan Generasiku (OAG) sekadar cukup makan sahaja.

AC Mizal mengusik Alif (tengah) yang menerima kehadiran tetamu istimewanya, Farah AF2.

Mungkin kerana lagu-lagu yang dibawakan mereka bersesuaian dan mesra di telinga audiens, ketiga-tiga pelajar ini masih disimpan oleh pengundi di rumah AF6.

Kejutan kahwinSatu kejutan yang menarik dan memberi sedikit warna kepada konsert minggu lepas apabila adegan persandingan dijadikan intro persembahan. Pasangan pengantin baru pertama daripada AF1, Rosma dan Khai diraikan di AF6 disandingkan di pentas. Persandingan itu diiringi dengan pukulan kompang daripada kumpulan Kompang Gema Serantau.

Persandingan itu membuatkan memori pelajar-pelajar AF kembali di ingatan para penonton apabila menyaksikan, Nija, Zarina, Azza dan beberapa lagi peserta AF lain berada di sisi pasangan pengantin itu. Lebih-lebih syahdu lagi, apabila sedutan video cinta antara Khai dan Rosma ketika di AF1 dipaparkan semula dan khalayak kembali kepada nostalgia detik-detik awal percintaan mereka.

Juara AF5, Mila turut hadir sambil mendendangkan lagu Selamat Pengantin Baru kepada pasangan dua sejoli itu dan acara menepung tawar diadakan untuk beberapa minit sebelum konsert bermula.

Konsert di Istana BudayaJika selama ini para penonton menyaksikan para pelajar AF mengadakan persembahan diiringi oleh band yang disediakan, sedikit kelainan yang akan ditonjolkan oleh tujuh pelajar yang tinggal ini pada konsert 1 Mei depan.

Buat kali pertama dalam sejarah AF, pelajar-pelajar ini akan menyanyi diiringi dengan muzik orkestra di Istana Budaya.

Sengaja mahu mendedahkan pelajar, kata pengetuanya, Ramli MS, dia mahukan sedikit pembaharuan di dalam pengisian pembelajaran mereka.

“Mereka perlu diberi pendedahan sebegini kerana apabila keluar nanti, tidaklah terkapai-kapai apabila diiringi dengan muzik orkestra.

“Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada pelajar-pelajar ini beraksi di pentas bertaraf dunia,” ujarnya.

Tidak mahu pelajar-pelajar kehilangan fokus itu lari, pengetua itu mahu kelas tarian dikurangkan dan melebihkan latihan nyanyian bersama kumpulan orkestra.

Nampaknya, para pelajar kenalah bersedia dan tidak boleh banyak bermain lagi untuk konsert yang akan datang ini.

Mana tidaknya, mereka juga perlu bersedia dengan dua lagu bonus untuk dinyanyikan pada konsert seterusnya yang mungkin akan diambil daripada soundtrack filem-filem popular.

Powered by Kosmo

Leave a Reply