Azharina Akui Sudah Bercerai
AZHARINA Azhar, 23 tahun, penyanyi yang menghebohkan dunia seni Melayu Malaysia kerana berkahwin dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua daripadanya, mengakui baru-baru ini telah bercerai.
Juara Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2001 itu telah bernikah pada 2006 dengan Datuk Shukri Haji Mohamed, 51 tahun. Bekas suaminya ialah seorang peguam dan bekas Anggota Parlimen di Kelantan.
‘Sebelum ini banyak cerita tentang Rina hidup bermadu. Baiklah, terus-terang Rina katakan di sini, Rina adalah isteri ketiga Datuk Shukri!
‘Bukan niat Rina untuk merahsiakan perkahwinan ini daripada pengetahuan media dan peminat, tetapi ia semata-mata mengikut kehendak suami. Justeru, Rina perlu akur dengan kemahuannya yang meminta perkahwinan kami tidak dihebohkan,’ kata Rina kepada wartawan akhbar Berita Harian Malaysia.
Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Elergi Sepi itu tidak dapat berselindung lagi apabila beliau mengakui bahawa perkahwinannya dengan Datuk Shukri hanya mampu bertahan selama kira-kira dua tahun saja.
Mereka bercerai pada awal Februari lalu.
‘Benar, Rina sudah bercerai. Kini, tempoh edah Rina baru saja tamat. Rina yang meminta perceraian ini daripada Datuk. Antara kami sudah tidak ada jodoh. Tapi, percayalah, sampai ke saat ini, saya masih menyayangi Datuk,’ akuinya dengan air mata berlinangan.
Powered by Cyberita