Mewah & Gah
Produksi penuh tenaga dan kreatif yang mampu tingkat taraf seni pentas Melayu
ke tahap lebih tinggi
OlehHanim Mohd Saleh
KALAU jiwa ‘P.Ramlee’ yang dicari dalam musim kedua pementasan Muzikal P.Ramlee yang pertama kali dipentaskan di Singapura hujung minggu lalu, jelas, misi dan hasrat seluruh tenaga muzikal tersebut tercapai.
Jiwa P.Ramlee ada pada pemegang wataknya, Musly Ramli.
Pelakon asal negeri Perak berusia akhir 30-an tahun ini cukup meyakinkan, daripada setiap aspek. Lenggoknya persis P.Ramlee yang kita kenal menerusi filem-filem seperti Penarik Beca dan Seniman Bujang Lapok. Suaranya salin tak tumpah nyanyian P.Ramlee zaman awal penceburannya sebagai hero filem Malay Film Productions (MFP).
Apatah lagi Musly mendapat sokongan kuat daripada Liza Hanim yang membawa watak Saloma. Liza cukup mempesonakan penonton dengan lenggok manja dan suara gemersiknya, hampir setara dengan nyanyian asal biduanita pujaan ramai itu.
Tidak dapat bayangkankan bagaimana keadaannya jika muzikal itu tanpa Liza dan Musly… apakah hanya menjadi sebuah muzikal yang cantik dan gah, tetapi mudah dilupakan kerana tak banyak adegan, dialog atau lakonan yang meninggalkan kesan.
Secara jujur, muzikal yang dipentaskan selama tiga hari di Dewan Teater Esplanade itu merupakan antara pementasan Melayu yang boleh dianggap begitu mewah dan gah selepas Muzikal Puteri Gunung Ledang, terbitan syarikat yang sama, Enfiniti Productions, milik Tiara Jacquelina.
Pujian harus diberikan kepada Tiara kerana kesungguhannya menghasilkan produksi yang memerlukan segenap tenaga dan kreativiti serta bajet yang besar (kos tidak dinyatakan tetapi dipercayai menelan jutaan dolar) dalam usaha meningkatkan taraf seni pementasan Melayu ke tahap lebih tinggi.
Tidak ramai yang mampu menghasilkan produksi sebesar begitu tanpa kekuatan kewangan dan kemahuan yang begitu tinggi.
Memang nampak kesungguhan dalam pementasan itu dan usaha memperbaiki kelemahan berbanding dengan pementasan musim pertama di Kuala Lumpur tahun lalu. Kehadiran Musly sebagai P.Ramlee adalah antara kemajuan yang sangat besar dan pilihan bijak.
Namun beberapa perkara perlu disentuh yang dirasakan antara punca mengapa saya keluar daripada dewan tanpa rasa kepuasan yang diharapkan.
Dari segi muzik, gubahan asli muzikal tersebut (gubahan asal Dick Lee dan diberi sentuhan kemelayuan oleh Roslan Aziz), secara keseluruhannya sukar diingati atau langsung tidak meninggalkan kesan.
Muzikal itu amat bergantung kepada lagu-lagu ciptaan P.Ramlee sendiri untuk meningkatkan emosi yang menyelubungi sesebuah adegan. Sebab itu, antara adegan yang menjadi kegemaran saya ialah ketika P.Ramlee dan rakan-rakan muziknya berlatih di studio Jalan Ampas bersama Saloma, menyanyikan lagu Senandung Kasih - adegan yang romantis dan mencuit hati, diserikan dengan nyanyian yang cukup menghiburkan.
Jalan cerita yang memberi tumpuan kepada kisah cinta P.Ramlee dengan empat wanita termasuk dengan kekasih pertama, Azizah, walaupun tampak menarik dan tersendiri, ia kurang kuat untuk dijadikan pasak muzikal ini keseluruhannya.
Berdasarkan kisah cinta yang dipaparkan, nampaknya kisah percintaan P.Ramlee dengan Azizah, Junaidah, Norizan dan Saloma tiada yang luar biasa.
Perceraian akibat cemburu tanpa kesan tragik agak membosankan untuk dijadikan bahan hidangan. Bahkan, sebagai peminat P.Ramlee, apa yang ingin lebih dilihat ialah bagaimana seniman itu membina namanya sebagai seniman besar, hubungannya dengan kawan- kawan dan pesaingnya, kebimbangannya serta perasaan dalamannya apabila meninggalkan Singapura apabila MFP ditutup. Emosi P.Ramlee kurang diselami dan hanya disentuh bagai angin lalu saja.
Dari segi set, ada yang mengagumkan, antaranya munculnya kepala kereta api ke tengah pentas, siap dengan asap yang keluar daripada serombongnya dan suasana stesen Tanjong Pagar selain set studio Jalan Ampas.
Namun pertukaran set dan antara adegan dilakukan terlalu tergesa-gesa dan agak kasar pergerakannya. Ini mengakibatkan antara adegan penting seperti pernikahan antara P.Ramlee dan Junaidah D. Harris kelihatan begitu lucu seperti persandingan olok-olok.
Pelakon Emelda Rosmila pula tampak belum cukup bersedia membawakan watak Azizah, terutama dari segi nyanyian. Rasanya, satu- satunya lagu ciptaan asli muzikal itu yang boleh dianggap sedap melodinya, bertajuk Mulanya Cinta. Sayang sekali persembahan lagu itu tidak kesampaian.
Koreografi atau penataan tari muzikal yang diterajui Pat Ibrahim memang ligat dan lincah dan ia berjaya menyuntik semangat terhadap muzikal itu keseluruhannya.
Powered by Cyberita