Sultan Sedia Terima Pemimpin Dewan Pemuda Pas Menghadap
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersedia menerima menghadap pemimpin Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) Selangor yang membantah persembahan penyanyi terkenal, Ella dan Mas Idayu, yang dijadualkan berlangsung sebelum perlawanan Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam pada 6 Julai ini.
Kesediaan Sultan menerima pemimpin Pemuda PAS menghadap bagi menyelesaikan isu bantahan itu dinyatakan dalam pertemuannya dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ekoran kejadian itu, kerajaan negeri akan mengatur pertemuan berkenaan selewatlewatnya akhir bulan ini.
Tan Sri Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri tidak mahu menghentikan perlawanan persahabatan itu dan percaya ia boleh diselesaikan dengan mudah dan tidak lagi menjadi isu.
‘Saya percaya PAS bukannya mahu menghentikan hiburan tetapi mereka mahu budaya Melayu dan nilai-nilai Islam dipelihara,’ katanya di sini kelmarin.
Isnin lalu, Dewan Pemuda PAS Selangor menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar setelah tidak bersetuju dengan pemilihan Ella dan Mas Idayu yang bakal mengadakan persembahan sebelum perlawanan antara Selangor dengan Singapura bagi merebut Piala Sultan Selangor pada 6 Julai ini.
Dewan Pemuda PAS Selangor mendakwa kedua-dua penyanyi itu tidak sesuai membuat persembahan kerana mempunyai imej mencemarkan Islam dan sering berpakaian seksi serta perlu digantikan dengan artis lain yang menyanyikan lagu berunsur ketuhanan dan nasihat seperti Mawi atau Akhil Hayy.
Tan Sri Abdul Khalid berkata pakatan pembangkang sentiasa menerima pandangan ramai dan mengambil tanggungjawab bersama terhadap apa yang kerajaan negeri lakukan. — Utusan Malaysia.
Powered by Cyberita