Respirasi Muzik: Tidak Sebaik Penyanyi Asal
Album: Nasyid Lagenda II
Artis: Akhil Hayy
SELEPAS album Nasyid Lagenda berjaya di pasaran dengan jualan mencecah 40,000 unit, pendakwah dan juga bekas penyanyi kumpulan rock Burnmark, Akhil Hayy, meneruskan usahanya menghasilkan Nasyid Lagenda siri kedua.
Kali ini Akhil yang dibantu penyelaras rakaman, Ito Lara, cuba mengembalikan ingatan peminat terhadap lagu nasyid tempatan popular sekitar 70-an dan 80-an. Untuk me milihnya, tentu tidak sukar memandangkan kebanyakannya masih diminati hingga kini dan malar segar.
Namun cabaran dihadapi Akhil apabila harus memberi susunan lagu baru dan menyanyikannya kembali. Lagu dipilih Akhil yang turut bertindak sebagai penerbit Nasyid Lagenda siri kedua, seperti Berita Gembira nyanyian asal kumpulan Al-Jawaher, Anak Derhaka (El-Suraya), Adam dan Hawa (Al-Jawaher), Dikit Sedikit (Al-Jawaher), Warna Alam (Al-Ja waher), Haji (Sweet Charity), Hidup Yang Hampa (El-Suraya) Pohon dan Pinta (El-Suraya), Hawa Nafsu (El-Suraya) dan Syuhada (Sinar Murni).
Bagi mengekalkan melodi asal tidak banyak perubahan dilakukan Akhil dalam album ini. Ia jelas kedengaran pada hampir keseluruhan lagu dimuatkan, apabila susunan muzik asal dan baru tidak banyak beza.
Malah sekilas dengar, album Nasyid Lagenda siri kedua seperti menceduk saja muzik asal. Penyampaian Akhil pula boleh dikatakan biasa saja. Tidak terlalu mengagumkan dan tidak juga terlalu buruk.
Malah ada antara lagu didendangkan semula tidak sebaik penyanyi asal. Terutama apabila ia berkonsepkan etnik kreatif dan kontemporari irama Malaysia. Ternyata sebagai penyanyi rock, vokal Akhil tidak mempunyai ‘air lagu’ untuk mengalun melodi yang mempunyai pengaruh muzik tradisi.
Powered by Harian Metro