Kesinambungan Akhil Hayy
ALBUM terbaru ini merupakan album ketiga Akhil Hayy selepas muncul semula di persada seni dengan genre nasyid dan mendapat sambutan peminat. Menjayakan album Nasyid Legenda dan Di Bawah Satu Cahaya sebelum ini, album ini merupakan kesinambungan daripada album perdananya menggunakan judul yang sama.
Album ini mengandungi lagu-lagu keagamaan yang pernah popular satu ketika dahulu yang dinyanyikan oleh kumpulan seperti Al-Jawaher, El-Suraya, Orkes Sinar Murni dan Sweet Charity.
Menampilkan 10 buah lagu, kesemua lagu pilihan diberi sentuhan baru daripada segi susunan muzik dan vokal namun tidak menjejaskan keaslian melodinya.
Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah Berita Gembira yang pernah didendangkan oleh Al-Jawaher, Anak Derhaka (El-Suraya), Adam dan Hawa (Al-Jawaher), Dikit Sedikit (Al-Jawaher), Warna Alam (Al-Jawaher), Haji (Sweet Charity), Hidup Yang Hampa (El-Suraya), Pohon dan Pinta (El-Suraya), Hawa Nafsu (El-Suraya) dan Syuhada (Sinar Murni).
Telah pun berada di pasaran sejak 23 Mei lalu, album terbitan Inteam Records dengan kerjasama Islamic Media Entertainment, setiap cakera padat (CD) akan disertakan dengan cakera padat video (VCD) Akhil Hayy sebagai bonus. VCD yang berjudul Akhilnya Kembali itu pernah ditayangkan di TV3 pada Maal Hijrah lalu.
Album: Nasyid Legenda 2 - Akhil Hayy
Edaran: EMI (Malaysia) Sdn. Bhd.
Powered by Utusan Malaysia