KMA 2008 Penuh Kenangan Manis
Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my
SEKADAR mengambil beberapa komen: “Kembara Metro Ahad (KMA) 2008 menarik dan menyeronokkan,” “Pelbagaikan cabaran” serta “Adakan aktiviti bersama kakitangan Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA).”
Selain itu ada yang meluahkan kata-kata berikut: “Banyakkan aktiviti untuk kanak-kanak dan dewasa,” “Terima lebih banyak penyertaan dan hadiah” dan “Tambah masa atau hari untuk kembara.”
Itu antara pandangan peserta KMA 2008 yang berlangsung akhir minggu lalu bermula dari Balai Berita, Bangsar dan berakhir di Cinta Sayang Golf & Country Resort (CSGCR), Sungai Petani, Kedah.
Apapun pandangan atau luahan yang akan diberi perhatian, KMA 2008 melabuhkan tirainya dengan 1,001 kenangan dan pengalaman kepada 400 peserta dari seluruh negara.
Penganjuran kali kedua tahun ini dilihat berjaya mendekatkan pembaca dengan Metro Ahad (MA); mengeratkan hubungan silaturahim sesama peserta dan ahli keluarga serta memberi peluang bercuti dalam negara sambil menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).
Dengan semangat berkobar-kobar, seawal jam 6.30 pagi lagi ada yang ‘terpacak’ di pekarangan Balai Berita untuk menunggu masa pendaftaran yang hanya dibuka jam 7 pagi. Berbanding tahun lalu dengan 50 kenderaan, KMA kali ini menerima 89 kumpulan atau kenderaan yang tiba dari pelbagai pelusuk tanah air.
Kenderaan dengan nombor pendaftaran 10 dari Kerteh, Terengganu yang diketuai Ahmad Faizul Hamid, 28, tidak mahu ketinggalan mengikuti program yang menawarkan hadiah lumayan serta aktiviti menarik.
Dia sanggup berulang-alik dari Kerteh ke Bangsar bagi memastikan kumpulannya tidak kecewa untuk menyertai KMA kali ini selepas gagal berbuat demikian tahun lalu.
“Apabila keluar saja iklan hari kedua di akhbar ini, saya terus ke Kuala Lumpur dari Kerteh untuk membuat pembayaran dengan mendapat nombor 10,” katanya.
Sejurus dilepaskan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail, jam 8.30 pagi Sabtu lalu, deretan kenderaan peserta yang lengkap dengan pelekat program berlepas bagaikan ‘peluru’ menuju sasaran, meskipun masa ketibaan ditetapkan sebelum jam 5 petang.
Di sepanjang lebuh raya, peserta dikehendaki berhenti di tiga lokasi utama, iaitu Kawasan Rehat dan Rawat Tapah, Sungai Perak dan Hentian Bukit Gantang. Dalam perjalanan, mereka dikehendaki menjawab soalan mengenai HM/MA; Plus; CSGCR dan Kedah sebelum diserahkan kepada petugas di lokasi berkenaan.
Suhaili Shamsudin, 35, dari Rawang, Selangor yang sarat mengandung dan dijangka bersalin 1 Julai ini, ada cerita menarik untuk dikongsi bersama.
Seperti peserta lain, ibu dua cahaya mata itu bersemangat melakukan aktiviti, antaranya membeli barangan berharga RM5 di kedai mesra Petronas di Tapah, selain mencari jawapan untuk soalan diberi.
Namun, antara cabaran getir yang ditempuhi keluarganya ialah mengalami kebocoran tayar di Ipoh akibat terlanggar besi di tengah lebuh raya.
“Dalam perjalanan, tayar depan kereta kami meletup kerana terlanggar besi yang jatuh dari sebuah lori, namun saya bersyukur tiada kejadian buruk berlaku.
“Saya menyertai KMA pertama tahun lalu dan kali ini program lebih tersusun dan teratur. Ia sangat menarik,” katanya.
Satu-satunya peserta bukan Melayu, V Umatharan, 32, boleh dikatakan peserta bertuah kerana selain berjaya menduduki tempat kesembilan, peserta dari Pulau Pinang itu juga penerima cabutan bertuah.
Kejayaan itu berbaloi bagi kumpulannya yang sanggup bertolak dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sehari sebelum cabaran bermula dan bertolak semula ke Sungai Petani.
Selain itu, kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Kenyah and The Gang’ dari Klang juga sentiasa mencuri tumpuan bukan saja peserta tetapi orang ramai dek kerana berambut afro.
‘Penyeri’ dimaksudkan, Mohd Fairuz Abd Aziz, 22, sentiasa mengundang senyuman dan gelak tawa orang ramai, termasuk petugas, dengan sikapnya yang ’selamba’ dan lucu.
“Sebenarnya saya meneruskan kesinambungan berambut afro ini untuk rakan kami, Hafizal (Baharuddin) yang kini terlantar akibat kemalangan. Jika kaki dia tak patah, dia pasti ikut KMA kerana ini kali kedua kami sertai selepas Johor tahun lalu,” katanya.
Mohd Radzi Ibrahim, 65, dari Seremban Jaya yang menyertai KMA bersama 15 ahli keluarga pula menyuarakan supaya pelbagaikan aktiviti dan cabaran untuk peserta dan kanak-kanak.
KMA 2008 turut melakar sejarah tersendiri apabila penganjur menerima pendaftaran untuk tujuh kereta sekali gus daripada Kelab Citra Malaysia membabitkan 35 peserta.
Presidennya, Abdul Khalil Muhammad, berkata program itu sangat menarik kerana menyediakan pelbagai hadiah selain konsep pengembaraan yang digabungkan dengan ciri-ciri pencarian harta karun.
“Ini kali pertama kami sertai KMA dan nampaknya perjalanan program kemas serta lancar. Ia sangat menarik, malah merapatkan hubungan sesama ahli kelab. Akan datang, kami pasti masuk lagi, mungkin lebih ramai,” katanya yang mempunyai 780 ahli dari seluruh negara.
Bagi peserta dari Kelantan, Suriani Eh Chan, 25, yang berbangsa Siam, meskipun tidak berjaya, dia bersama tiga rakan lain seronok mengikuti perjalanan KMA 2008.
“Ini kali pertama saya ikut serta, seronok dan menarik, tahun depan jika dianjurkan lagi saya bersama tiga rakan lain sepakat nak sertai lagi,” katanya.
Peserta dari Rawang, Mohd Hafiz Mohd, 37, seharusnya tersenyum bangga selepas dinobatkan juara, sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000. Tempat kedua dimenangi Ahmad Faizul Hamid, 28, dari Kerteh yang menerima RM1,000, manakala tempat ketiga pegawai kerajaan dari Putrajaya, Mohd Noor Harun, 55, yang membawa pulang RM700.
Corat-coret KMA 2008
1) Peserta paling ramai penyertaan didaftarkan ialah daripada Kelab Citra Malaysia dengan jumlah kenderaan tujuh bersama 35 orang.
2) Mohd Radzi Ibrahim, 65, antara peserta warga emas yang turut serta dalam KMA kali ini. Beliau bersama 15 anggota keluarga, termasuk cucu, datang dari Seremban, Negeri Sembilan bersama tiga kereta.
3) KMA 2008 mencatat sejarah apabila sekurang-kurangnya tiga wanita hamil turut serta, antaranya Suhaili Shamsudin, 35, yang sarat mengandung sembilan bulan, malah ada yang masih berpantang tidak ketinggalan sama.
4) Peserta dari Klang yang menggelar diri mereka Kenyah and The Gang mencuri perhatian ramai dengan gaya rambut afro seorang daripada mereka sepanjang masa.
5) Setiap kali berhenti di tiga kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya, tauke restoran pasti tersenyum lebar kerana di samping menjawab soalan, peserta yang berpakaian rasmi KMA menyerbu gerai mereka sehingga ada yang tidak menang tangan melayan kerenah peserta, selain mengambil gambar.
6) Suasana di kedai mesra Petronas di Tapah, bagaikan pasar apabila peserta dikehendaki membeli barangan berharga RM5 dalam satu resit. Malah ada yang memberi resit minyak RM30 untuk memenuhi syarat.
7) Ada peserta yang tidak pernah sampai ke Sungai Petani, Kedah mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana melalui KMA dia berjaya menjejakkan kaki buat pertama kali.
Info KMA 2008
1) Peserta membabitkan 400 orang dengan 89 kenderaan bertolak dari Balai Berita, Bangsar jam 8.30 pagi melalui lebuh raya Plus dan tiba di Cinta Sayang Golf & Country Resort (CSGCR), Sungai Petani, Kedah seawal jam 4 petang.
2) Sepanjang melalui lebuh raya, peserta perlu berhenti di tiga kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, Sungai Perak dan Bukit Gantang. Sepanjang perjalanan, peserta diberi tugasan menjawab soalan mengenai Harian Metro/Metro Ahad; Plus; CSGCR dan Kedah.
3) Di CSGCR, peserta dikehendaki melakukan aktiviti memanah (archery) dan ‘driving range’.
4) Pada jam 5 petang, peserta diraikan dengan persembahan percuma artis, antaranya Haiza, Que Haidar, Sherry Ibrahim, Lisa Surihani, 6ixth Sense, Nubhan (AF6), Aizat, Ezlynn, Farid Kamil dan Ainul Aishah.
5) Pada sebelah malam pula, peserta diraikan dalam majlis makan malam di taman tema The Carnivall. Pelbagai acara disediakan sebelum penyampaian hadiah antaranya persembahan permainan api daripada kakitangan CSGCR, silap mata dan nyanyian. Ganjaran wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM5,000 diberi kepada pemenang pertama hingga ketujuh, manakala tempat kelapan hingga 10 menerima hamper.
6) Sumbangan atau tajaan turut meningkat, terutama penaja seperti Plus; Petronas; Proton; Honda; CSGCC; Gardenia; Bernas dan FG Group.
Harian Metro