Mariah Carey Masih Bertenaga
LABEL: The Island Def Jam Music Group
JUDUL: E=M2
ARTIS: Mariah Carey
GENRE: Pop, R & B
Kesian Mariah Carey, kebelakangan ini terlalu banyak kritikan dilemparkan terhadap penyanyi seksi ini. Semuanya gara-gara kerana dia gagal menghasilkan penerbitan album studio yang solid serta mampu memberikan impak yang kukuh.
Bagaimana dengan album terbarunya, E=M2? Ia sebenarnya macam Mariah Carey yang dulu-dulu. Ramai menyifatkan bahawa penghasilan album E=M2 adalah lebih kurang sama saja dengan apa yang pernah dilakukannya dalam album terdahulunya, Emancipation For Mimi (2004).
Namun, percayalah. Mariah tidak mungkin akan gagal lagi pada kali ini. Walaupun albumnya masih lagi tidak boleh dianggap sebagai terlalu compact dan pada masa yang sama dia lebih banyak bermain dengan tahap vokal yang ringan, namun ia antara yang terbaik.
Ekspresi serta semangat baru Mariah itu nampaknya lebih banyak bergantung kepada lagu yang boleh dikategorikan sebagai easy listening tetapi catchy, sultry, sensual, seksi serta groovy, namun pada masa yang sama memiliki kekuatan lirik yang tidak kurang hebatnya.
Misalnya lagu Side Effects yang menampilkan Young Jeezy sebagai rapper. Lagu ini menceritakan mengenai luahan Mariah terhadap seorang lelaki yang amat dipercayainya tetapi lelaki itu akhirnya menikamnya dari belakang.
Jelaslah ia benar-benar ditujukan buat bekas suaminya, Tommy Mottola dan ia cukup tergambar menerusi bait-bait yang terdapat dalam lirik lagu tersebut: “I was a girl/ You were the man/ I was too young to understand/ I was naive/ Believing everything you told me/ Said you were strong/ protecting me/ then I found out that you were weak/ keeping me there under your thumb.”
Selain itu, anda mungkin akan tertarik dengan lagu I Stay In love. Secara peribadi saya rasa ini adalah lagu ballad yang paling mantap dalam album ini. Melodinya dan liriknya saling melengkapi antara satu sama lain.
Kalau anda suka dengan lagu duet Mariah Carey, One Sweet Day bersama Boyz II Men, hayatilah lagu Bye Bye. Liriknya nampak ringkas tetapi cukup bermakna terutama apabial ia memperkatakan soal kehilangan orang-orang yang terdekat atau pun yang kita sayangi selama ini.
Kalau anda mahu melihat Mariah bermain dengan range vokalnya di tahap terbaik, anda harus putarkan lagu Wish U Well. Ia mempunyai irama blues yang disampaikan secara gospel bersama melodi yang cukup mengesankan.
Mungkin bagi yang lebih menyukai Mariah dengan lagu-lagu ballad yang tipikal mungkin akan berasa bahawa mereka langsung tidak dapat menerima perubahan muzik Mariah akhir-akhir ini. Namun, sebagai penyanyi yang sudah sekian lama established, Mariah ternyata memerlukan energy serta spirit menerusi nuansa lagu yang lebih pelbagai.
Murai