Iffah Izzati, Mohamad Faizal Juara Bintang Klasik Zon Selatan


IFFAH IZZATI Baharudin dan Mohamad Faizal Abdul Rahim bersama hadiah masing-masing selepas menjuarai Pertandingan Bintang Klasik Zon Selatan di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 3 Julai - Pelajar Sekolah Menegah Teknik Melaka Tengah, Iffah Izzati Baharudin, 16, muncul juara Bintang Klasik Zon Selatan kategori wanita yang dianjurkan stesen radio Klasik Nasional.

Dengan kemenangan itu, Iffah dan pemenang kategori lelaki, Mohamad Faizal Abdul Rahim, 23, dari Johor Bahru akan mewakili Zon Selatan ke peringkat akhir pertandingan Bintang Klasik tidak lama lagi.

Iffah, adik Ayu iaitu peserta program realiti televisyen Mentor musim kedua, menyanyikan lagu Hidup Ibarat Mimpi berjaya menyingkirkan enam peserta lain dalam pertandingan yang diadakan di Auditorium Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, di sini, baru-baru ini.

Iffah ketika ditemui, mengakui sokongan keluarga merupakan pendorong utama kejayaannya.

“Seluruh keluarga banyak membantu terutamanya kakak (Ayu Mentor) yang banyak mengajar serta memberi tips.

“Saya hanya berlatih seminggu sebelum pertandingan ini,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Habsah Ali, 47 berkata, Iffah bijak membahagi masa antara pelajaran dan nyanyian.

“Setakat ini pelajaran Iffah bagus dan memberansangkan. Sebenarnya saya terkejut dengan kemenangannya kerana di rumah kami dia tidak gemar menyanyi karaoke,” katanya.

Pertandingan akhir Bintang Klasik Zon Selatan disertai masing-masing enam peserta lelaki dan wanita dari Johor dan Melaka.

Penyertaan yang diterima tahun ini meningkat kepada 70 peserta berbanding 36 pada tahun lalu.

Turut hadir pada acara itu ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid dan dua artis veteran Hail Amir dan Rahayudean Rahmat.

Utusan Malaysia

Leave a Reply