Tak Sabar Gegar Medan


“BEEP, beep, beep.” Itu antara kata-kata yang kerap diucapkan oleh Din, Hanafi dan Andy sepanjang temu ramah dengan Rich.

Mereka mengusik nakal kerana sang vokalis gemar berada dalam khayalannya sendiri - dunia alien yang Rich percaya ia wujud. Inilah gambaran kemesraan anggota Estranged yang sedang mencipta nama.

Kehadiran anak muda berempat ini semakin dirasai setelah memenangi beberapa anugerah yang merupakan tangga kepada peningkatan populariti nama dan bakat mereka.

Rich, Andy, Din dan Hanafi juga berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai band indie pertama yang memenangi Anugerah Juara Lagu tahun lalu.

Terbang ke seberang

Anak muda berempat ini bakal membawa nama Malaysia di sebuah pentas konsert tahunan berskala besar di Indonesia. A Mild Soundrenaline 08, pentas yang menghimpunkan band-band rock Indonesia, kini telah menyelitkan sebuah nama band Malaysia - Estranged.

Kota Pekan Baru pada tanggal 13 Julai dan Medan pada 20 Julai bakal menyaksikan lagu-lagu Malaysia bergema. Estranged sendiri tidak pernah menonton atau merasa kehangatan pentas Soundrenaline, namun mereka membuat kerja rumah dengan belajar mengenai penonton yang bakal mereka hadapi.

Yang pasti mereka datang sebagai anak muda dari Malaysia, membawa jiwa dan lagu Malaysia serta bahasa Melayu walau mungkin lenggok muzik berbeza rasa.

“Kami sedang melalui proses jamming yang ketat di samping menjadikan pentas show sebagai salah satu latihan kami. Estranged akan memperdengarkan muzik Malaysia yang mempunyai identiti kita.

“Kami campurkan lagu bahasa Inggeris dan Melayu. Tetapi apa yang penting kami mahu sesiapa yang menonton nanti dapat mengaitkan band ini dengan Malaysia,” Din bersuara mewakili yang lain.

Bagi Estranged, kemenangan pada Anugerah Planet Muzik baru-baru ini banyak memberi ruang dalam memperkenalkan mereka ke negara luar.

Bakal berkongsi pentas dengan band besar Indonesia seperti Nidji, Ungu dan Andra and The Backbone, mereka menganggap inilah peluang keemasan untuk memanjangkan langkah.

Andy pula menganggapnya sebagai langkah awal untuk memecah pasaran Indonesia. Untuk proses pengenalan, lagu mereka sudah diputarkan di radio di Medan.

“Kami mahu menggunakan ruang ini untuk berkenalan dengan pemuzik dan syarikat rakaman di sana untuk meluaskan lagi kenalan kami,” tambah Andy.

Dibayar RM10 untuk persembahan

Seperti sudah tersurat, setiap band pasti melalui pahit getir perjalanan termasuk berdepan masalah kewangan.

“Kami pernah dibayar dengan harga RM10 untuk sebuah persembahan, namun itu tidak mematahkan semangat. Wang yang kecil ini dikumpulkan untuk merakamkan lagu-lagu kami,” ujar Hanafi.

Nah, melihatkan kejayaan yang mereka kecapi kini dengan satu demi satu trofi dan penganugerahan berada dalam genggaman mereka, pasti titik peluh dan kesabaran lalu terbayar jua. Ditambah pula dengan penerimaan peminat terhadap material yang mereka hidangkan dalam album pertama.

Namun sebenarnya, masalah kewangan masih lagi menguasai grup yang dibina pada sekitar tahun 2001 ini. Tidak semua penganugerahan berhujung dengan bahagia berterusan.

Perjalanan mereka ke Indonesia belum mendapat sebarang tajaan. Segalanya masih ditanggung sendiri. Pun begitu ini bukanlah satu keluhan besar buat mereka. Ini semua masih dianggap proses pembelajaran dalam meniti hidup sebagai anak seni di bumi Malaysia.

Yang penting buat mereka kini ialah melakukan yang terbaik untuk mengukir nama Estranged pada permukaan dunia nyanyian Indonesia yang masih dianggap sukar menerima individu atau grup luar, Malaysia khususnya.

Isu sekeliling lebih penting dari cinta

Persiapan album kedua mereka ini memanglah lebih baik berbanding album debut In Hating Memory.

Ujar mereka, masa bukanlah yang mereka kejar-kejarkan untuk menyiapkannya. Jauh sekali merasa tekanan atas meledaknya lagu Itu Kamu.

“In Hating Memory mempersembahkan identiti muzik kami. Dan album kedua adalah sesuatu yang lebih mendalam daripada itu,” ujar sang vokalis.

Kalau dalam album pertama banyak ditumpahkan rasa benci dan amarah terhadap apa yang pernah dilalui, berbeza dengan persembahan kedua ini pula.

Album yang bakal diedarkan dengan judul Remain Unknown adalah lebih selesa. Mereka tidak mahu terperap dengan formula rasa lirik yang itu-itu dalam bermuzik.

Setidak-tidaknya harus ada pembaharuan dalam karya-karya berikutnya.

Mereka melihat mesej yang memupuk kesedaran terhadap masalah kehidupan, persekitaran dan isu di sekeliling lebih penting daripada sesuatu yang dinamakan cinta.

Ujar mereka lagi, Remain Unknown berisi 13 buah lagu yang dibuat dengan sepenuh hati oleh segerombolan sahabat yang melalui liku-liku hidup yang bukan sedikit.

Dan persembahan lagu Yang Pernah sebagai single pertama mereka merujuk kepada arah tuju album ini dari segi muzik. Dan mereka bercerita tentang perkara yang pernah dilalui dan mahu diperbetulkan.

Sudah berputaran di corong radio dan pembikinan klip video lagu ini juga telah mereka tempuhi, penghasilan album kedua ini sedang berada dalam tahap peratusan terakhir.

Kosmo

Leave a Reply