Karnival Amal Berjaya Kumpul $150,000


SEKITAR $150,000 berjaya dikumpulkan sejauh ini menerusi Karnival Amal Jamiyah 2008 bagi dana operasi rumah kebajikan kanak-kanak kendalian badan kebajikan itu iaitu Darul Ma’wa.

Jumlah yang disasarkan tahun ini ialah $200,000.

Menyokong acara amal tahunan kali ini ialah barisan penaja-penaja dan badan-badan kebajikan, baik Islam mahupun bukan Islam.

Antaranya ialah pertubuhan Singapore Buddhist Lodge, Kelab Masyarakat Hougang dan syarikat Sanden.

Tidak ketinggalan, di antara sekitar 60 gerai yang ada ialah sebuah yang dikendalikan oleh bekas penghuni Darul Ma’wa yang sudah pun mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Salah seorang daripada mereka yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Mohammad Azhar, 26 tahun, kini mahasiswa tahun keempat Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Nasional Singapura.

‘Saya terhutang budi kepada Darul Ma’wa kerana menyediakan tempat berteduh yang selamat kepada saya. Saya ingin berjaya dalam kerjaya agar dapat menyumbang kembali kepadanya,’ jelas Encik Azhar yang menjadi penghuni antara 1993 dengan 2001 selepas ibu bapanya berpisah.

Tetamu terhormat, Menteri Negara (Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Cik Yu-Foo Yee Shoon, telah merasmikan karnival semalam yang diadakan buat kali ke-15 itu.

Beliau sempat beramah mesra dengan para pegerai dan pengunjung.

Selain gerai-gerai makanan dan barangan, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan dan luar negara seperti Hadi Mirza, Ahli Fiqir dan Dayang Nurfaizah pada sebelah petang.

Cyberita

Leave a Reply