Malam Kenangan Bersama Alleycats


Oleh HARYATI KARIM


IRAMA yang masih segar dan segera membangkit nostalgia, Alleycats tiada dua.

BERBISA dan unggul, itulah yang dapat diungkapkan tatkala menyaksikan sendiri persembahan kumpulan Alleycats di Istana Budaya pada Konsert Senandung Semalam bersama Alleycats baru-baru ini.

Sungguhpun bukan lahir dan membesar dengan lagu kumpulan legenda ini, tetapi tiada alasan yang harus diberikan untuk tidak terhibur dengan persembahan yang berdurasi hampir dua jam itu.

Diakui, walaupun kumpulan ini sudah kehilangan salah seorang tunggak utamanya iaitu Loganathan Arumugam (Loga) yang meninggal dunia tahun lalu akibat kanser paru-paru, tetapi perjuangan kumpulan ini masih diteruskan.

Menurut abang Loga, David Arumugam, walaupun adiknya tiada lagi di sisinya sewaktu beraksi, semangat perjuangan seperti dulu masih menebal dalam dirinya.

Semangat itu jelas kelihatan dalam diri David yang masih tidak jemu-jemu menghiburkan peminat kumpulan ini, biarpun uban sudah memutih di kepala.

Dalam pada itu, selain persembahan bersahaja David selaku vokalis utama kumpulan Alleycats, pengganti mendiang Loga iaitu Gerard Abisheganadan juga tidak mengecewakan penonton.

Persembahan di Istana Budaya ini, sebenarnya umpama ujian pertama buat Gerard, kerana dia dilihat masih lagi malu-malu ketika diminta untuk menyanyi oleh David.

Sementelah, ramai juga penonton yang tidak mengetahui kewujudan Gerard selaku pengganti Loga terkejut dengan kelunakan suaranya saat dia mendendangkan lagu Only You dan Jika Kau Bercinta Lagi.

Kiranya memang tepatlah pilihan mediang Loga yang sebelum detik-detik kematiannya menyampaikan ‘wasiat’ supaya Alleycats mengambil Gerard sebagai anggota baru menggantikannya.

Walaupun Gerard tidak sesekali boleh memadam ingatan peminat Alleycats terhadap Loga, apa yang pasti kewujudannya sedikit sebanyak telah melengkapkan lagi perjalanan kumpulan ini.

HATTAN merasakan undangan buatnya muncul bersama Alleycats sebagai satu penghormatan.

Persembahan pada hari pertama memang hebat, segah nama mereka tetapi ia sedikit terjejas dengan gangguan sistem audio.

Namun, sebagai penghibur profesional, David bijak sekali mengawal tumpuan penonton malam itu.

Saat David melontarkan suaranya untuk lagu pertama iaitu Senandung Semalam, penonton yang memenuhi panggung Istana Budaya malam itu mula bersorak gembira, tanda lagu kegemaran mereka dinyanyikan.

Ada yang turut menyanyi bersama David, dan ada juga yang dilihat terdiam sambil tersenyum, mungkin alunan lagu itu telah membuatkan mereka mengimbau nostalgia lama waktu zaman muda-muda dulu.

Sesungguhnya, lagu-lagu mereka masih hidup dalam diri setiap mereka yang hadir malam itu.

Tidak cukup dengan lagu itu, didendangkan pula barisan lagu seperti, Layang-layang Terputus, Hingga Akhir Nanti, Luka Lama Terguris Kembali, Andai Aku Pergi Dulu, Seribu Bintang dan banyak lagi yang kesemuanya berjumlah hampir 20 buah lagu.

JACLYN VICTOR

Sesekali, David bercanda dengan penonton, dengan menceritakan sejarah penglibatan mereka dalam industri hiburan tanah air.

“Kami nyanyi di banyak tempat, termasuk di Hong Kong, Taiwan, Indonesia, dan kami masa kami bekerja di Hong Kong kami telah rakamkan album pertama (Terima Kasih) di sana.

“Ketika itu kami tidak tahu kami sangat popular di Malaysia. Bila pulang ke Malaysia baru tahu lagu kami sangat popular di radio, dan ya, saya sedar yang kami popular (ketawa),” ujar David saat berbicara dengan penonton.

Dalam bicaranya lagi, malah David turut berterima kasih, kerana menurutnya, sepanjang empat dekad bergelumang dalam dunia seni, inilah kali pertama dia dan rakan-rakannya diberi peluang untuk beraksi di pentas yang cukup berprestij itu.

Apabila melihat jarum jam yang ketika itu sudah pun menunjukkan pukul 10.30 malam, rasanya seperti terlalu cepat waktu berlalu. Belum cukup rasanya diri dihiburkan pada malam yang cukup bermakna itu.

Dalam tidak sedar, ramai yang turut bertepuk tangan dan menyanyi kecil mengiringi lagu terakhir yang di sampaikan David, sebuah lagu rancak yang pastinya sangat mesra dengan rakyat Malaysia, tidak lain dan tidak bukan Sampaikan Salam.

Nyata, tidak sia-sia menghadirkan diri dicelah ribuan peminat setia Alleycats dan melihat sendiri aksi kumpulan legenda yang tiada tolok bandingnya ini.

Mungkin di masa akan datang, harus dipanjangkan lagi konsert seumpama ini kerana khabarnya ramai juga yang kecewa kerana tidak sempat menonton konsert yang diadakan selama tiga hari ini.


BIAR Loga sudah tiada, vokal David masih berjaya menghilangkan kerinduan terhadap Alleycats.

Selain kumpulan Alleycats, malam itu diserikan dengan persembahan Jacyln Victor dan Hattan yang mengatakan pemilihan mereka dalam memeriahkan konsert ini merupakan satu penghormatan.

Bukan mereka berdua sahaja kerana pada malam berikutnya, penonton turut dihiburkan dengan kelunakan suara penyanyi Adibah Nor dan Liza Hanim.

Kosmo

Leave a Reply