Rezeki Faizal Makin Berganda


Oleh MOHAMAD KHAIRUL AZWAN MOHD TAJUDIN (Pelatih UiTM)

TONGGAK utama Casa Impian musim ke-2, (dari kiri) Faizal Ismail dan Ben Firdaus.

PENYAMPAI radio lelaki popular Faizal Ismail kini merupakan personaliti yang bertuah khususnya selepas perpindahannya dari stesen radio nombor satu negara, Era ke Hot.Fm.

Penghijrahan itu telah membuka ruang untuk dirinya meneroka setiap benda yang baru.

Setelah diberi peranan bergandingan dengan Cherryl Samad menerusi rancangan Muzik-Muzik ternyata bakatnya bukan sahaja di belakang tabir sebagai penyampai sebaliknya pemilik nama Faizal Ismail atau FBI ini turut di terima di hadapan kaca televisyen.

Terbaru, Faizal yang juga anak kelahiran Pulau Pinang bergelar pengacara rancangan dekorasi rumah popular Casa Impian musim kedua dan bergandingan bersama Ben Ismail yang juga pereka hiasan.

Menurut Faizal, hatinya terdetik untuk menerima rancangan dekorasi hiasan ini kerana berpendapat, ia sebuah rancangan yang kreatif selain menimba pengalaman baru.

“Saya suka mencuba setiap benda baru dalam hidup saya dan mengendalikan Casa Impian satu cabaran baru buat saya.

“Ini kerana saya perlu menjadi diri sendiri di hadapan kamera,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran rancangan berkenaan di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Istilah baru

Cabaran lain yang perlu dihadapi Faizal ialah memperbaiki persepsi penonton terhadap kemampuan seorang lelaki mengendalikan program dekorasi yang sebelum ini diterajui oleh pengacara wanita, Amy Mastura.

“Itu juga cabaran yang perlu saya hadapi. Jiwa lelaki saya mungkin tidak sama dengan jiwa wanita. Namun, saya bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada Ben, penerbit dan tenaga krew yang lain mereka memudahkan kerja saya di set.

“Seperkara lagi, janganlah bandingkan saya dengan Amy Mastura. Yang pastinya Casa Impian pada kali ini mempunyai kelainan yang tersendiri,” jelasnya tersenyum tanda puas sepanjang bersama tenaga kerja Casa Impian.

Casa Impian musim baru ini merupakan kesinambungan daripada musim lalu yang menyaksikan Bill Keith, Amy Mastura dan Ben Firdaus.

Namun musim pada kedua ini, pihak produksi hanya mengekalkan Ben.

Dan sepanjang pengalaman bersama krew Casa Impian banyak sekali lagi ilmu diraih oleh Faizal.

“Banyak istilah baru dekorasi yang saya belajar yang selama ini tidak pernah saya dengar. Sejak bersama Casa Impian ia telah memberi satu perspektif yang positif untuk saya mengenai hiasan dalaman rumah dan kesesuaian memilih perabot.

” Kini saya sudah mampu hias rumah,” katanya yang terharu dan berpuas hati kerana dapat menggembirakan hati responden setelah kediaman mereka siap dihias.

Sementara itu, Ben Firdaus, 23, pula berpendapat, dia sangat bertuah kerana dikekalkan dalam musim terbaru Casa Impian.

Lebih disenangi dengan panggilan Ben, penglibatan jurusan hiasan dalaman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bermula apabila dia selesai menyiapkan projek semester akhir subjeknya.

“Hasil projek itu juga saya perlihatkan pada TV3 pada satu uji bakat yang mereka adakan dan mereka berminat untuk mengambil saya menyertai Casa Impian,” jelas Ben yang juga salah seorang kakitangan Casa Impian Holdings.

Ben berpendapat, tawaran yang diterima adalah kerana tuah dan kerana minat yang amat mendalam dalam bidang hiasan ini maka kerja yang dilakukannya lebih mudah dan dihargai.

Sebagai orang penting dalam program Casa Impian, Ben berpendapat, Casa Impian musim pertama dan kedua, masing-masing ada perubahan.

“Casa Impian musim kedua lebih kepada gimik, santai dan penuh kejutan. Sementara pada musim lalu pula, ada pejabat dan kedai.

“Untuk musim baru ini, tumpuan lebih kepada hiasan rumah dengan nilai hiasan yang diperuntukkan sekitar RM40,000 mengikut gaya yang diingini mereka,” jelas Ben sambil memberitahu dapur merupakan bahagian paling sukar untuk diubah memandangkan aspek keselamatan perlu dititik beratkan.

Bagi penerbit Casa Impian, Wahyu N.S, 32, pula, menerbitkan program dekorasi itu suatu pengalaman baru buatnya.

Sebelum ini, Wahyu berpengalaman luas dalam bidang penerbitan antaranya Malaysian Idol dan Superdeal (program Indonesia).

“Banyak elemen yang perlu saya gabungkan dalam Casa Impian seperti kejutan, humor dan lain-lain lagi berbanding program-program lain yang saya terbitkan sebelum ini,” jelasnya.

Casa Impian musim kedua akan disiarkan sebanyak 13 episod dan menemui penonton pada setiap hari Ahad pukul 12 tengah hari di TV3.

Utusan Malaysia

Leave a Reply