Lagu The Beatles Satukan Warga
Didendang 15 artis setempat di konsert Hari Kebangsaan
OlehNurraihan Abdul Hamid
BUAT julung-julung kalinya, pentas terapung Marina Bay akan digegarkan dengan konsert rok sempena sambutan Hari Kebangsaan. Penonton akan dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu kumpulan The Beatles oleh lebih 15 artis terkemuka tanah air, termasuk Anita Sarawak.
Konsert Heart Rock pada 16 Ogos itu mengajak warga Singapura bersatu sambil berhibur. Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan Pejuang Kehidupan Berkeluarga (FLC) sempena ulang tahun ke-12 badan kebajikan itu.
Dengan iringan orkestra akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), dan sistem bunyian serupa dengan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), konsert itu menjanjikan satu pengalaman menarik.
Pengarah Eksekutif FLC, Encik David Kan, berkata konsert itu bermatlamat menyatukan anggota keluarga dalam satu acara hiburan, selaras dengan misi FLC menggalakkan hubungan akrab keluarga.
Dalam satu sidang media Khamis lalu, pengerusi jawatankuasa konsert itu, Encik Henry Foo, berkata lagu-lagu The Beatles menjadi pilihan kerana ia diminati semua lapisan umur.
Antara artis yang akan membuat persembahan ialah penyanyi yang dicalonkan sebagai Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik (APM) tahun ini, Azyza.
‘Saya amat berbesar hati kerana dijemput membuat persembahan. Lagu berjudul Something yang saya akan dendangkan dengan iringan orkestra Nafa menjanjikan satu kelainan,’ katanya.
Turut berkongsi pentas ialah kugiran CatsinECradle, yang telah mengukir nama dalam rancangan pencarian bakat Live The Dream.
Vokalis kumpulan itu, Jeff Catz, berkata: ‘Pihak penganjur menganggarkan lebih 25, 000 penonton. Kami sememangnya ghairah untuk menghiburkan mereka. Dengan bakat yang dikurniakan, kami ingin merebut peluang untuk menyumbang kepada masyarakat.’
Konsert itu akan dihoskan oleh Suhaimi Yusof dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Cik Eunice Olsen.
Ia bermula 5.30 petang. Sebelum itu, diadakan persembahan kugirankugiran belia berbakat. Tiket berharga $5 bagi kanak-kanak dan $10 untuk dewasa boleh ditempah melalui talian 6846-2068.
Cyberita