Tampil Lebih Banyak Gimik
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
BAGI memastikan rancangan bercorak dekorasi, Casa Impian musim kedua tampil lebih menarik, beberapa perubahan dilakukan pihak produksi termasuk pengisian dan pengacaranya.
Jika dulu ia dikendalikan penyanyi dan pelakon Amy Mastura bersama pereka fesyen dan hiasan dalaman, Bill Keith dan Ben Firdauz, kali ini hanya dua pengacara ditampilkan.
Pereka hiasan dalaman Ben Firdauz masih dikekalkan untuk musim kedua, tetapi kali ini bergandingan dengan penyampai radio Hot.FM, Faizal Ismail.
Bukan itu saja, Casa Impian musim kedua yang diterbitkan 13 episod dan disiarkan di TV3 setiap Ahad, jam 12 tengah hari, turut menggunakan khidmat penerbit seberang, Wahyu Nursubikyo.
Sebelum bertugas di TV3, Wahyu terlebih dulu menimba pengalaman di Astro Indonesia dan pernah menerbitkan beberapa rancangan realiti antaranya Indonesian Idol, The Apprentice versi Indonesia dan Super Deal.
Katanya, sebelum mengambil alih tugas penerbit Casa Impian, Ismadi Ismail, dia terlebih dulu meneliti program yang sudah dihasilkan.
“Untuk musim kedua ini saya membawakan konsep pendidikan menerusi hiburan, iaitu lebih banyak gimik dilakukan bagi memberi kejutan kepada peserta.
“Corak persembahan turut dilakukan lebih santai dan ada elemen melucukan. Rakaman dibuat secara spontan agar rancangan nampak lebih hidup. Mengambil contoh kami berikan kejutan kepada penonton bertuah yang rumahnya kami hias kembali.
“Mereka tidak tahu rumah sedang dihias, sebaik pulang tiba-tiba melihat rumah sudah berubah cantik. Pastinya ia satu kejutan cukup menyenangkan.
“Penonton sendiri dapat merasakan keseronokan dan kegembiraan dirasai mereka yang bertuah apabila menyaksikan rancangan ini apabila disiarkan nanti,” katanya ketika ditemui di majlis pelancarannya baru-baru ini.
Mengenai gandingan pengacara barunya, Faizal dan Ben, Wahyu mengatakan walaupun pertama kali disatukan dalam rancangan televisyen tetapi mereka berdua nampak serasi.
“Ben dan Faizal begitu bersahaja. Mereka mampu menimbulkan suasana lucu menyebabkan rancangan ini cukup menghiburkan,” katanya.
Faizal pula berkata, cabaran dihadapi sepanjang membabitkan diri dalam Casa Impian cukup besar memandangkan ini kali pertama dia mengendalikan rancangan bukan berbentuk hiburan.
“Pertamanya kerana saya tidak ada pengalaman atau pengetahuan dalam bidang hiasan dalaman. Kedua bukan mudah untuk menghidupkan suasana ceria dan kejutan kepada peserta.
“Sepanjang tempoh penggambaran rancangan ini dijalankan, saya banyak belajar daripada Ben. Serba sedikit ilmu hiasan dalaman ini dapat saya perolehi,” katanya.
Penggambaran Casa Impian musim kedua turut dilakukan di dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Antara penaja untuk musim ini ialah Nippon Paint (Malaysia) Sdn Bhd, Casa Impian Holdings Sdn Bhd, Floor Depot, Harvey Norman, Homelightings, Macy dan Barang-Barang.
Turut hadir di majlis pelancaran Casa Impian musim kedua Pengurus Besar Mass Market TV3, Sherina Mohamed Nordin, Pengarah Urusan Casa Impian Holdings Sdn Bhd, Datin Noorlinda Abdul Talib dan Penolong Pengurus Besar Pemasaran Nippon Paint (Malaysia) Sdn Bhd, Glady Goh.
Harian Metro