Sentuhan Sepi Dalam Lagu
CINTA tak datang hanya sekali. Itu ungkapan magik filem Sepi yang kini menjadi bualan khalayak penggemar seni tempatan. Kini muncul album runut bunyi filem arahan Khabir Bhatia yang dilakonkan Afdlin Shauki, Vanidah Imran. Nasha Aziz, Baizura Kahar, Tony Eusoff dan Eja.
Lapan belas lagu dimuatkan masing-masing merujuk kepada tiga segmen Sepi yang diangkat daripada situasi Adam, Sufi dan Imaan dendangan penyanyi pilihan tempatan dan luar negara umpamanya Anuar Zain, Gita Gutawa dan Yuni Shara.
Album ini merangkumi lagu-lagu antaranya Diari Seorang Lelaki nyanyian Pretty Ugly, Sepi (Yuni Shara), Mungkin (Anuar Zain) dan Aku Bukan Untukmu (Zah & Lah).
Juga ditampilkan lagu-lagu yang diinspirasikan menerusi jalan cerita filem Sepi iaitu Sayang Sayang (Versi 2008) oleh penyanyi Aliff Aziz, Rindu (Saiful), Hilang (Diddy) dan Seribu Tahun (Imran Ajmain).
Menariknya album ini menghimpunkan enam lagu baru yang dinyanyikan oleh Pacai, Nora, CRUSH! dan Neiyl (Mentor) selain susunan semula lagu popular Rossa, Aku Bukan Untukmu oleh Lah & Zaf V.E.
Gita Gutawa yang turut mewarnai album ini menampilkan dua lagu iaitu Vocalizing dan Kembang Perawan yang juga merupakan ciptaan Melly Goeslow selain Baizura Kahar yang menyampaikan puisi berjudul Puisi Sepi yang pasti menyentuh hati.
Album: Album Runut Bunyi - Sepi
Edaran: SonyBMG Music Entertainment
Utusan Malaysia