Hero Pelapis
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
RAMAI mengatakan kita kekurangan pelakon hebat yang boleh diangkat sebagai hero.
Malah, dalam drama dan juga filem, balik-balik muka sama dipaparkan hingga penonton naik muak.
Timbul persoalan apakah kita tiada pelakon pelapis yang boleh diketengah?
Sebenarnya kita ramai pelakon pelapis, tetapi kehadiran mereka kurang disedari.
Antaranya Ryzal Jaafar, 26, menjadi sebutan ramai apabila memegang watak Salman yang suka memberontak dalam drama bersiri Jelatang.
Drama yang disiarkan di TV3 itu berjaya membuka mata produser dan pengarah mengenai kehadirannya.
Dalam merendah diri, Ryzal yang kini bernaung di bawah KRU Talents & Management mengatakan dirinya tidaklah popular, tetapi sekurang-kurangnya orang kenal dia sebagai pelakon.
“Sebenarnya sudah banyak juga drama yang saya jayakan, tetapi selepas siri Jelatang barulah orang mula nampak bakat lakonan saya. Contohnya ketika menyertai Pesta Buku Ke lantan baru-baru ini, saya juga tidak sangka mempunyai ramai peminat di sana.
“Malah ada peminat di sana yang mencadangkan supaya saya menubuhkan kelab peminat. Justeru, selepas berbincang dengan pengurusan, akhirnya kelab peminat saya, Ryzal Fanclub ditubuhkan dengan nama Dlor (Da Love of Ryzal).
“Bagi peminat yang ingin mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan kerjaya seni saya boleh melayari laman web saya (http://www.myspace.com/ryzalfc),” kata nya.
Sejak tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Ryzal sudah beraksi dalam pelbagai drama dan telefilem seperti Dunia Baru, Cinta, Bulan dan Mentari, Yasin Untuk Bonda, Kemboja Senja, Fitrah Salmah (13 episod) dan Virus.
Bagaimanapun, kini kata Ryzal, dia ingin mencuba watak yang lebih mencabar kredibilitinya sebagai pelakon seperti orang gila dan psiko.
“Sebenarnya saya ingin mencuba pelbagai watak dan pada masa sama, bekerja dengan pelakon terkenal seperti Rosyam Nor, Fauziah Nawi dan Wan Maimunah.
“Peluang itu saya terima apabila ditawarkan berlakon te lefilem Taj Mahal Untuk Mama untuk siaran RTM. Dalam cerita ini, saya bawa watak Farid, anak lelaki yang tidak peduli pada ibunya (Rosnah Mat Aris). Selama ini, Farid hanya menyerahkan tanggungjawab itu pada kakaknya untuk men jaga ibu mereka (lakonan Irma Hasmie).
“Apabila kakaknya meninggal dunia, Farid terpaksa me ngambil alih tanggungjawab berat menjaga ibunya yang sakit dan menghidap penyakit buah pinggang. Saya juga banyak menangis dalam cerita ini.
“Dua projek drama baru saya ialah drama bersiri, 13 episod, Mega Sekeping Hati yang masih dalam proses penggambaran dan saya juga dapat tawaran berlakon projek drama bersiri sempena Ramadan nanti,” katanya.
Finalis Hero Remaja 2004 yang pernah bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Promosi KRU Records selama enam tahun ini juga mengakui pada peringkat awal, dia juga tidak pernah bermimpi untuk menjadi pelakon.
“Ketika kecil dulu, saya bercita-cita nak jadi penyanyi, tetapi tak sangka pula rezeki dalam bidang lakonan pula. Bidang ini juga sudah mula serasi dengan diri saya,” katanya.
Selain menjadi artis KRU Talents & Management, Ryzal juga bertugas sebagai eksekutif di bawah pengurusan berkenaan.
Antara artis yang bernaung di bawah pengurusan itu, Adam dan Dafi (AF) dan pelakon dan pengacara, Aznil Nawawi.
“Saya sudah serasi bersama KRU dan mereka juga banyak memberi peluang pada saya untuk mencari tapak dalam bidang lakonan.
“Pada masa sama, pihak pengurusan juga banyak bertolak ansur dengan saya dari segi kerjaya lakonan yang tidak tentu masa ini. Kalau saya terikat dengan penggambaran drama, saya tidak perlu datang pejabat,” katanya.
Pada sesi fotografi yang diatur Rap itu, Ryzal digandingkan dengan seorang lagi pelakon baru, Rizal Mohd Ashreff di lokasi penggambaran drama bersiri Mega Sekeping Hati terbitan ZDel Sdn Bhd di Kajang Plaza Medical Centre, baru-baru ini.
Jika Ryzal popular dengan siri Jelatang, Rizal pula banyak berlakon dalam produksi Skop Productions Sdn Bhd milik bapa saudaranya, Datuk Yusof Haslam.
Antaranya Air Mata Maria, Janji Diana dan filem KL Drift arahan Shamsul Yusof.
Rizal, 25, berkata, pembabitannya dalam bidang lakonan bermula sejak bekerja dengan produksi Skop Productions selama tiga tahun.
“Dalam tempoh tiga tahun, saya banyak buat kerja belakang tabir dan sempat berlakonn dua episod drama bersiri Gerak Khas sebelum diberi peluang buat drama dan filem.
“Saya juga banyak membantu Shamsul dalam pembikinan filem KL Drift. Saya dan Shamsul memang ’satu kepala’. Ketika KL Drift dulu, kami bersengkang mata tiga hari tiga malam dan tidur di pejabat untuk merealisasikannya.
“Justeru, bila dapat tahu kutipan filem itu bagus, saya tumpang bangga dengan kejayaan Shamsul. Saya juga mem bantu Shamsul menjadi penolong pengarah filem terbarunya, Bohsia yang dibintangi Diana Danielle, Salina Saibi dan Nabila Huda.
“Kami juga akan ke Bangkok untuk memasukkan kesan bunyi dalam filem Bohsia tidak lama lagi,” katanya.
Selepas sekian lama bekerja dengan produksi bapa saudara, kini Rizal mula memberanikan diri bekerja dengan produksi orang lain.
Katanya, bapa saudaranya banyak memberi galakan ke padanya untuk mencari pengalaman dengan produksi lain. Malah Shamsul pernah berkata, sampai bila hendak berkepit dengannya saja.
“Pada mulanya saya berasa takut bekerja dengan produksi lain kerana saya sudah biasa dengan cara kerja di Skop Produstions. Tapi sampai bila saya ingin bekerja dengan keluarga sendiri saja? Sudah sampai masanya saya belajar berdikari dan melihat cara orang lain pula bekerja,” ka tanya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, drama Mega Sekeping Hati terbitan ZDel Sdn Bhd adalah lakonan per tamanya dengan produksi lain.
“Saya terima tawaran ini kerana diberi watak antagonis dan belum pernah dilakonkan sebelum ini. Pengarah drama ini, Kalam banyak memberi kebebasan pada saya untuk menjiwai watak itu. Dia pengarah yang cepat menyiapkan kerjanya dan saya senang bekerja dengannya,” katanya.
Dalam pada itu, kata Rizal, dia kini menaruh harapan memegang watak hero pula pada masa depan.
Katanya, selepas sering diberi watak pembantu dalam drama dia berharap diberi peluang watak hero atau ketua gengster pula.
“Saya akan terus berlakon selagi ada tawaran kerana saya buat semua ini untuk mencari ilmu dan pengalaman sebelum saya cukup ilmu untuk menjadi pengarah pula pada masa depan.
“Pada masa sama, saya berminat untuk buat bisnes berkaitan kesan khas untuk filem. Namun, buat masa ini saya masih kumpul modal maklumlah, projek seperti itu membabitkan bajet besar,” katanya.
>Profil
NAMA PENUH: Mohd Shahrizal Jaafar
PANGGILAN: Ryzal
TARIKH LAHIR: 2 Januari 1982
ASAL: Alor Star, Kedah
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Visual, Malaysian Institute of Integratif Media (MIIM)
KERJAYA: Pelakon dan Eksekutif KRU Talents & Ma nagement
DRAMA: Siri Dunia Baru musim 1,2 dan 3, Jelatang, Cinta Bulan dan
Matahari, Yassin Untuk Bonda
FILEM: Dunia Baru The Movie dan Sayang U Can Dance
>Profil
NAMA PENUH: Rizal Mohd Ashref
PANGGILAN: Rizal
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
KERJAYA: Pelakon dan penolong pengarah
DRAMA: Gerak Khas, Air Mata Maria, Janji Diana
FILEM: KL Drift
Harian Metro