Kompilasi Terbaik Lagu-Lagu Alleycats
KOMEN: Sebelum ini memang terdapat banyak lagu popular Alleycats yang telah diterbitkan semula dalam pelbagai album kompilasi.
Bagaimanapun, album kompilasi ini yang mengandungi tiga buah cakera padat (CD) dan sebuah cakera padat video (VCD) merupakan yang terbaik pernah diedarkan di pasaran.
Ini kerana, boleh dikatakan 99 peratus lagu-lagu popular Alleycats sejak album kedua mereka pada 1978 berjudul Terima Kasih sehinggalah album Rasa (2006) dimuatkan dalam album ini.
Album pertama Alleycats merupakan satunya-satunya album yang dirakamkan dalam bahasa Inggeris tetapi kurang mendapat sambutan para peminat mereka.
Lagu-lagu wajib yang tidak dapat dipisahkan daripada Alleycats antaranya berjudul Sampaikan Salam Cintaku, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Kerana, Senyumlah Kuala Lumpur, Berita Dari Rantau dan Hingga Akhir Nanti.
Turut ditampilkan ialah lagu-lagu yang jarang diperdengarkan, misalnya lagu Sindrom Kotaraya, Mewangi, Rasa, Berjuta Batu, Angan-Anganku, Suratan dan Setelah Bertahun.
Album ini juga menampilkan tiga buah lagu yang dirakamkan semula dengan diberi nafas baru iaitu lagu Senandung Semalam, Hanya Kita Yang Tahu dan Suara Kekasih.
Menerusi lagu Senandung Semalam, David Arumugam telah berduet dengan kumpulan Kristal di mana lagu ini kedengaran lebih rock terutamanya daripada segi bunyi yang lebih berat dan alunan suara Lan yang lantang.
Namun, melalui Suara Kekasih, David yang berduet dengan Saleem, Ezad dan Zamani pula telah menjadikan lagu ini menjadi lebih ballad berbanding versi asalnya.
Jay Jay yang turut dijemput berduet dengan David menerusi lagu Hanya Kita Yang Tahu pula hanya meneruskan kesinambungan lagu asalnya yang masih tebal dengan elemen pop dan ballad.
Sementara itu, versi VCD pula menampilkan empat buah lagu popular Alleycats dalam bentuk muzik video serta sebuah petikan rockumentari yang mengisahkan perjalanan seni mereka.
Judul Album: Ulang Tahun Ke-40 1968 - 2008
Artis: Alleycats
Konsep Muzik: Pop dan Pop Rock
Terbitan: Universal Music Sdn. Bhd.
Utusan Malaysia