Lantunan Pesona Syafinaz
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
KECINTAAN penyanyi bersuara soprano ini terhadap lagu-lagu berunsur klasikal tidak pernah hilang. Lama menyepi tanpa album baru kecuali menjadi pengkritik tetap untuk program One In A Million juga bukan petanda bahawa wanita berusia 34 tahun ini sudah menutup pintu hatinya untuk memiliki sebuah lagi album barunya.
Namun tanpa disangka, kemunculannya pada Konsert Suara Emas yang bergema di Panggung Sari, Istana Budaya sempena Festival Muzik KL 2008, baru-baru ini melampiaskan sesuatu yang agak pasti.
Kali ini, Syafinaz Selamat bukan lagi bercakap tentang kerinduannya untuk muncul dengan album baru tetapi dia sebenarnya sudah ada satu ‘azimat’ yang sempurna untuk membakar semula namanya menjadi penyanyi pujaan ramai.
Bahkan satu bonus buat yang hadir pada konsert ini kerana mereka menjadi khalayak pertama yang menikmati dendangan penuh pesona Syafinaz menerusi lagu terbarunya, Kasihku Selamanya.

SYAFINAZ bersama barisan artis yang membuat persembahan di Istana Budaya baru-baru ini.
“Sebenarnya, ini merupakan lagu terbaru saya yang akan saya usahakan untuk dimasukkan ke dalam album terbaru saya kelak.
“Mula-mula saya rancang untuk menjadikan lagu ini sebagai single dan edarkan ke stesen-stesen radio terlebih dahulu tetapi saya bimbang, takut-takut tak ada kesinambungan,” katanya yang ditemui selepas konsert.
Lagu Kasihku Selamanya, ada kemanisan yang semerbak wanginya tatkala dilagukan penuh emosi oleh Syafinaz.
Walaupun bukan arif tentang muzik dan lagu, bahkan kali pertama gegendang telinga disajikan dengan bentuk lagu sebegitu, Kasihku Selamanya mudah meresap ke sanubari.
Bersulam pop tetapi masih mengekalkan identiti si penyanyinya yang semahu-mahunya ingin mengangkat lagu-lagu berjiwa klasikal, tidak mustahil lagu terbaru Syafinaz ini mampu melonjak jika dipromosikan kena pada masa dan caranya.
Walaupun belum dirakamkan di studio, penyampaian yang yang boleh disifatkan sebagai eksperimental di pentas IB ini, ternyata satu permulaaan yang sempurna.
APABILA Syafinaz menggoda penonton.
“Memang begitupun hajat saya. Saya tahu lagu-lagu klasikal payah untuk diterima sebab itulah saya hanya masukkan sentuhan klasikal itu ke dalam lagu berkenaan. Ia sebuah lagu pop klasikal sebenarnya,” ujar Syafinaz tersenyum teruja dek pujian teman-teman media.
Tidak dapat menyembunyikan apa lagi yang sedang diusahakannya ketika ini, wanita ini membuka rahsianya.
“Berat saya dah naik tahu tak, jadi sudah dua bulan saya tak makan nasi,” ujarnya sambil ketawa dan beralih ke topik lain.
Sebagai penyanyi yang juga merupakan antara guru vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, untuk album terbarunya kelak, dia mahu memastikan kandungan buah tangan terbarunya itu benar-benar sempurna untuk menggambarkan siapa dirinya kepada peminat dan semua pemerhati muzik.
Dia juga penyanyi berilmu dan memiliki pendidikan formal dalam bidang muzik, pastinya Syafinaz sangat mementingkan teknik pengawalan vokalnya agar tidak diperkecilkan mana-mana pihak.
BIJAK mengendalikan persembahan dan kerenah peminatnya di pentas.
Mungkin kerana itulah, Syafinaz memerlukan tempoh yang agak lama untuk tampil dengan sesebuah album atau lagu baru.
Tambahnya lagi: “Terima kasih juga kepada komposer lagu ini, Hafiz Hazkiah, (iaitu salah seorang tenaga pengajar jurusan teater di UiTM) kerana telah mencipta sebuah lagu yang indah untuk saya.”
Sebagai info, Syafinaz sebelum ini pernah muncul dengan album Syafinaz pada tahun 1989, Ingin Bersamamu (1999) dan terakhir, Syyy… (2002).
Sepanjang penglibatan sejak di awal usia 16 tahun dalam bidang muzik, Syafinaz pernah merangkul Pingat Emas dalam kategori R&B/Pop/Rock/Kontemporari di World Championships of Performing Arts di Los Angeles dan pernah dicalonkan dalam Anugerah Sri Angkasa, Anugerah Industri Muzik 2002 dan Anugerah Era 2002.
Di peringkat universiti juga, Syafinaz pernah merangkul banyak pengiktirafan antaranya Anugerah Dekan, Anugerah Sudirman, Anugerah Pelajar Terbaik peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Muncul persis sang puteri, pada konsert yang memberi penghargaan kepada antara pemilik vokal emas di persada muzik tanah air ini, Syafinaz turut menyampaikan dua buah lagu lain iaitu, Naturaleza Muerta (sebuah lagu Sepanyol) dan Kemesraan, sebuah lagu gubahan komposer terkenal, Datuk Ahmad Nawab.
Selain Syafinaz, Konsert Suara Emas ini turut dijayakan oleh nama-nama popular yang tidak kurang hebatnya dalam memeriahkan persada industri muzik tanah air. Mereka adalah Adibah Noor yang menyampaikan dua buah lagu, Cahaya dan Terlalu Istimewa, Karen Kong (Ku Tak Upaya, Tai Sha dan Agar), Dhilip Varman (Kanavellam, Kathal Enbathe dan Nyireh Thulaithe) dan Den Bisa, penyanyi dari Sabah dengan tiga buah lagu Siksa, Cinta SMS dan Lampu-Lampu Pisang.
Penyanyi popular yang tidak asing, Misha Omar juga turut menyerikan konsert berdurasi satu jam setengah ini. Misha tampil dengan tiga buah lagu, Nafas Cahaya, Bahasa Kalbu dan single terbarunya, Jawapanmu.
Kosmo