‘Isu Sudah Lapuk’


Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

TERTEKAN dengan ‘rating’ pendengar kian berkurangan dikatakan punca persengketaan dua penyampai radio popular Era, Rozlindah Onn, 31 atau Linda Onn dan Nurul Hana Che Mahazan (Nana), 24.

Melalui Kajian Media Nielsen (NMR) pada 2 Jun lalu jumlah pendengar radio Era jelas berkurangan 4.7 juta berbanding 5.1 juta tahun lalu, namun ia masih kekal sebagai stesen nombor satu.

Sengketa Linda dan Nana bermula apabila Linda mendakwa Nana menjadi penyebab kepada berkurangnya jumlah pendengar segmen dikendalikan. Apabila siaran awal pagi tidak mendapat sambutan, rancangan dikendalikan Linda bermula jam 4 petang hingga 8 malam turut menerima tempiasnya.

Ketika ditemui melalui sesi fotografi khas, Linda mahupun Nana menafikan kenyataan itu. Bagi kedua-duanya isu cakap belakang sudah lapuk dan dianggap perkara biasa di kalangan penyampai Era.

Tegas Nana, dia mahupun Linda sendiri biasa menegur sesama sendiri demi membaiki corak persembahan untuk kebaikan stesen radio dikendalikan.

“Saya tidak pernah terasa kalau ada antara penyampai senior bercakap mengenai saya dengan niat menegur untuk kebaikan. Setakat kata belakang itu adalah biasa dan tidaklah sampai bergaduh seperti diperkatakan,” katanya yang sesekali menatap wajah Linda.

Kata Nana lagi, sebagai penyampai yang sentiasa ingin memastikan Era terus berada di hadapan, dia mahupun Linda tidak pernah ambil hati apabila ditegur walaupun ada ketika ia pahit untuk ditelan.

“Seperti organisasi lain, rasanya bertikam lidah dalam mesyuarat demi mendapatkan idea terbaik bukan perkara asing. Namun kita bergaduh waktu itu saja.

“Apabila keluar pintu bilik mesyuarat masing-masing akan melaksanakan tugas diberikan. Lebih utama perkara penting dibincangkan sebelum itu harus diambil dari sudut positif demi kebaikan semua pihak,” tambahnya.

Kenyataan mengatakan Linda mempertikaikan kredibiliti Nana sebagai penyampai sewaktu menghadiri majlis hari keluarga radio Era baru-baru ini, kata gadis berasal dari Muar, Johor itu dia tidak mahu ambil pusing perkara yang belum ada kesahihannya.

“Saya terkejut apabila perkara itu diberitakan. Apa yang lebih melucukan apabila Linda menghubungi saya awal pagi. Waktu itu saya sedang memandu dari Muar untuk pulang bertugas ke Kuala Lumpur.

“Linda meluahkan perasaan kecewanya mengenai berita ditulis sebaik kereta saya bergerak keluar dari Muar sehingga ke Batu Pahat. Itupun saya suruh dia berhenti bercakap kalau tidak mahu sampai ke Kuala Lumpur dia membebel,” katanya.

Menerangkan mengenai kredibilitinya sebagai penyampai sering menjadi pertikaian sebelum ini, jelas Nana, rancangan Pagi di Era kini kendalikan kumpulan baru.

“Hanya Kieran saja orang lama sementara saya baru saja ditukarkan untuk mengendalikan segmen pagi bersama Adi Fashla. Sebagai orang baru kami perlu mencari keserasian terlebih dulu. Pendengar seharusnya memberikan kami masa untuk membaiki corak persembahan,” katanya

Linda sendiri ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila banyak cerita kurang enak membabitkan dirinya hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Bermula dengan isu pergaduhan, dia ditukarkan waktu bekerja kononnya kerana jumlah pendengar segmen dikendalikan sebelum ini semakin berkurangan, sehinggalah isu putus cintanya dengan Fahrin.

Bagaimanapun Linda menerima semua ini dengan tenang dan ketika ditemui dia sekali lagi menegaskan adalah tidak adil jika peminat mahupun pendengar menjadikan isu peribadi sebagai penilaian terhadap kerjaya seninya.

“Pada saya mereka seharusnya melihat hasil kerja saya dan jangan membiarkan isu peribadi berkaitan diri saya mempengaruhi mereka.

“Setakat ini saya berusaha untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang bertugas sebagai penyampai di Era,” katanya tanpa mahu mengulas panjang mengenai cerita putus cintanya dengan Fahrin.

Linda turut menafikan hubungan baik dengan Nana keruh gara-gara isu ‘rating’ yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Sebagai seorang penggiat industri radio tempatan yang semakin berkembang pesat sudah tentu persaingannya agak sengit dalam mencuba menarik perhatian pendengar. Perkara ini saya ambil dari sudut positif dengan cuba bekerja lebih keras dan kreatif.

“Pertukaran waktu kerja dari jam 4 petang hingga 8 malam kepada 1 tengah hari hingga 4 petang juga sesuatu yang baik buat saya. Sepanjang menjadi penyampai radio saya sudah rasai tugas di semua segmen dari petang hingga ke malam. Jadi apabila ditukarkan sekali lagi ia bukan satu masalah.

“Cuma segmen Pagi Di Era saja saya belum cuba. Bukan tidak mahu tetapi saya tahu kelemahan dan kelebihan saya.

“Pertukaran syif kepada 1 tengah hari hingga 4 petang juga saya ambil positif kerana terlalu lama bekerja waktu sama ada ketika akan membuatkan kita terasa terlalu senggang.

“Tambahan waktu itu pendengar sudah biasa dengan saya jadi apabila ada topik mahu dibualkan, saya berasa mudah dan tahu macam mana hendak mengendalikannya. Apabila sudah terlalu lama dalam situasi itu saya memerlukan cabaran baru dan itulah yang diberikan Era kepada saya.

“Biarlah waktu perdana seperti rancangan awal pagi dan petang dikendalikan orang baru supaya mereka boleh belajar membaiki corak persembahan. Syif saya sekarang ini dikendalikan Reza bersama penyampai baru Natasha Aimy,” katanya mengakhiri perbualan.

>Profil Linda

Nama penuh: Rozlindah Onn

Tarikh lahir: 26 Nov 1977

Usia: 31 tahun

Tinggi: 170 sm

Berat: 53 kg

Asal: Taman Kosas, Johor Bahru

Pendidikan: Sijil Pengurusan Perniagaan Kolej Rima

Hobi: Menonton wayang, membeli-belah

Anugerah: Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular-Berita Harian (ABP-BH) 2001 hingga 2006, Pelakon Baru Sensasi Anugerah Sensasi Pilihan Pembaca Media Hiburan, Pengacara dan Penyampai Radio Anugerah Media Hiburan 2004

Filem: Soal Hati, Soalnya Siapa dan Gila Bola

Program: Malam Ini Linda Onn, Olay Total White Aspirasiku, Salam, Sinaran, Maggi Bersama Bintang dan Sehati Berdansa.

>Profil Nana

Nama Penuh: Nurul Hana Che Mahazan

Panggilan: Nana

Tarikh Lahir: 1 Julai 1983

Umur: 25 tahun

Asal: Muar, Johor

Zodiak: Leo

Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik

Pendidikan: Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat, Cosmopoint

Profesion: Penyampai Era dan pengacara Brek! di Astro Ria, Galaksi

(TV9) dan pelakon.

Filem FILEM: Malaikat Maut dan Gangster.

Harian Metro

Leave a Reply