Winnie Berani Hadapi Risiko
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
PENYANYI tempatan yang sudah ada nama pun, sukar menembusi pasaran muzik Indonesia. Kalau ada pun, memang boleh dikira dengan jari seperti penyanyi nombor satu tanah air, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Ratu Jazz, Sheila Majid.
Namun pendatang baru dalam industri muzik Melayu, Winnie Kok atau kini ingin dikenali sebagai Winnie K, 27, berani mengambil risiko berkenaan. Semuanya demi menjayakan impiannya melebarkan sayap ke negara seberang itu.
Demi album solo Melayunya juga, Winnie atau nama sebenarnya Kok Mui Kuan sanggup berulang-alik selama tiga bulan termasuk menguasai bahasa Indonesia sekali gus mencuri perhatian penggemar muzik di sana.
“Sejak awal lagi, semua orang sudah bertanya kenapa saya melancarkan album di Indonesia lebih awal dan selepas itu baru di tanah air sendiri?
“Maklumlah, bukan sedikit cabaran untuk saya menjual album di sana. Selain tidak fasih berbahasa Indonesia, pasaran album di Indonesia juga jauh lebih besar daripada di sini. Malah, sepanjang mempromosikan album di sana, rata-rata orang sana hanya kenal Siti dan Sheila.
“Apatah lagi, dalam kegawatan pasaran album ketika ini, ramai artis kita putus asa untuk bikin album. Tapi saya pula semakin bersemangat dan berusaha sedaya upaya untuk menyahut cabaran dalam bidang muzik sekarang.
“Apapun pandangan orang, saya lebih suka melihat dari sudut positif kerana saya juga tampilkan lagu dan muzik segar.
“Saya sedar artis baru seperti saya mengambil masa yang panjang untuk mendapat tempat di Indonesia. Saya anggap diri masih baru dalam industri muzik Melayu dan lebih suka bersaing dengan cara yang sihat dengan mereka,” katanya.
Kehadiran Winnie yang mendapat jolokan ‘Siti Nurhaliza versi Mandarin’ di Indonesia pada Mac lalu bukan dengan tangan kosong sebaliknya penyanyi jelita ini mempertaruhkan album solo Melayunya, Kau Ada Di Mana yang dilancarkan di sana.
Selepas Indonesia, album solo Winnie menjengah pasaran Malaysia pada 26 Jun lalu. Jika diikutkan, kata Winnie, dia sudah lama memasang impian untuk mempunyai album solo Melayu sejak dulu lagi.
Sejak berkecimpung sebagai penyanyi sejak 1999 sampai sekarang, Winnie sudah mempunyai tiga album solo berbahasa Cina dan album terakhirnya pula diterbitkan pada 2003.
“Saya sudah lama berhasrat merakamkan album Melayu tapi tidak ada peluang. Semangat saya semakin membara untuk buat album Melayu kerana sambutan lagu Kau dan Aku, ciptaan Ajai yang juga percubaan pertama untuk menembusi industri muzik Melayu tidak lama dulu.
“Akhirnya, impian itu terlaksana juga apabila syarikat rakaman Warner Music menawarkan peluang itu. Apapun, saya bersyukur dengan pencapaian setakat ini kerana perjalanan kerjaya seni saya juga sukar dan tidak mudah seperti disangka,” katanya.
Winnie yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music berkata, dia mengakui tidak kisah mengambil masa yang lama (dua tahun) untuk buat album solo Melayu itu.
“Saya difahamkan penerbit mengambil masa lama untuk buat album ini kerana mereka susah cari lagu sesuai untuk saya. Saya sabar menanti sekian lama kerana ingin hasilkan yang terbaik buat peminat,” katanya.
“Apa yang menariknya, album ini mendapat sentuhan komposer Malaysia dan Indonesia. Bagi versi Indonesia, lima lagu dirakamkan semula untuk pasaran Indonesia seperti Kau Ada Di Mana, Kekasih Gelapmu dan Tak Bisa Memilih. Antara komposer Indonesia terbabit dalam pembikinan album ini ialah Dewiq dan Yudis Dwikorana.
“Komposer tempatan pula Ramli MS, Ajai, Cat Farish, Audi Mok, Tam Spider dan Siew. Versi Indonesia mengandungi 10 lagu dan pasaran Malaysia pula ada 11 lagu,” katanya.
Katanya, dia juga menimba pengalaman berharga bekerja dengan komposer dari seberang. Bagi Winnie, cara kerja mereka sama saja dengan komposer kita.
“Kalau boleh, mereka ingin saya menyanyi seperti artis mereka (Indonesia) tetapi pada masa sama, mereka juga beri kebebasan pada saya juga,” katanya.
Sekalipun menghasilkan album Melayu, Winnie tidak melupakan perancangannya untuk menghasilkan album Cina. Katanya, selepas ini dia akan buat album bahasa Cina dan bahasa Melayu lagi.
Selain kerjaya nyanyian, Winnie yang juga jurucakap pusat pelangsingan badan Cenosis dan pernah beraksi dalam filem Potret Mistik pada 2004 juga berhasrat mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan dan lakonan pada masa depan.
“Saya banyak dapat tawaran buat drama tapi terpaksa menolaknya kerana penggambarannya membabitkan masa yang panjang. Maklumlah, ketika itu saya sibuk buat album dan memenuhi undangan persembahan.
“Jika ada tawaran berlakon selepas ini, saya ingin beraksi dalam filem komedi dan romantik pula,” katanya.
Mengenai gosip hangat hubungannya dengan gitaris kumpulan Ungu, Oncy, Winnie berkata, mereka memang berkawan rapat dan tidak lebih daripada itu.
“Secara kebetulan, saya dan Oncy bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama di Indonesia, Trinity Optima Production yang mengedarkan album saya di sana.
“Hubungan kami rapat kerana sepanjang tiga bulan di sana, kami sering buat persembahan dan menghabiskan masa bersama. Apapun, saya belum mempunyai teman istimewa selepas putus cinta lebih setahun lalu.
“Bukan saya tidak mahu mencari pengganti tapi kerana komitmen pada kerja menyebabkan saya tidak ada masa untuk semua itu,” katanya.
>Profil
NAMA SEBENAR: Kok Mui Kuan
TARIKH LAHIR: 16 Mac 1982
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Diploma Lanjutan dalam jurusan Pengurusan Perniagaan
STATUS: Bujang
PROFESION: Penyanyi dan model
ALBUM: Lian Ai Kuai Le (Mandarin-1999), Change (Mandarin-2001) dan Chang (Mandarin bersama satu lagu Melayu berjudul Kau Dan Aku-2003)
PENCAPAIAN: Juara Asia Bagus di Singapura (1993), Top Ten Artis Cina Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2001 dan Anugerah Best Artist dan Malaysia Most Highly Supported Best Artis Global Chinese Golden Art Award (2005)
IKLAN KOMERSIAL: Model Duta Pepsi (2001), Coklat Cadbury (2002) dan
produk kesihatan di China (2003). Lain-lain Cool Fever, Follow Me, Yoko
Yoko dan Gardenia
Harian Metro