Ari Jamin Bebas Dari Belenggu Dadah
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my
ARI menunjukkan album terbarunya, The Best Of Ari Lasso yang memuatkan lagu hit iaitu duet bersama Bunga Citra Lestari, Aku Dan Dirimu.
PERISTIWA disingkirkan daripada kumpulan Dewa gara-gara penyalahgunaan dadah, bekas vokalis kumpulan itu, Ari Lasso pasti tidak akan melupakan detik hitam tersebut.
Tatkala itu, Dewa berada di kemuncaknya dan merupakan antara kumpulan muzik paling berpengaruh serta popular di Indonesia.
Diganti dengan vokalis baru bernama Ellfonda Mekel atau Once, Ari membawa dirinya dan memperjuangkan nasib sebagai penyanyi solo.
Menghasilkan album solo berjudul Sendiri Dulu pada 2001, lagu hitsnya ketika itu, Misteri Illahi umpama menceritakan perjalanan hidupnya.
Dadah menjadi punca segalanya yang menyebabkan Ari terpaksa keluar masuk ke pusat pemulihan sebanyak 13 kali.
“Ya memang benar. Sebanyak 13
kali saya menjalani pemulihan kerana dadah. Masa itu, memang sukar hendak berhenti,” kata Ari ketika ditemui
Hits pada majlis promosi album terbarunya berjudul The Best Of Ari Lasso di Planet Hollywood, Kuala Lumpur baru-baru ini.
The Best Of Ari Lasso menghimpunkan sembilan lagu lamanya iaitu Badai Pasti Berlalu, Misteri Illahi, Perbedaan, Cinta Terakhir, Rahasia Perempuan, Mengejar Matahari, Penjaga Hati, Hampa dan Patah Hati.
Turut dimuatkan tiga lagu baru iaitu Aku Dan Dirimu, sebuah lagu duet dengan Bunga Citra Lestari, Mana Kutahu dan Sehidup Semati.
Menyambung perbicaraan, Ari yang dilahirkan pada 17 Januari 1973 kini memberi jaminan bahawa dia sudah bebas sepenuhnya daripada najis dadah.
Semuanya berlaku tanggal 1 Mei 2001 lantaran pemergian ibu kesayangan, Sri Noerhida buat selama-lamanya.
“Ketika itu, saya sendiri melihat penderitaan ibu dan saya terus memikirkan soal kematian. Apa yang saya fikirkan, jika saya yang mati, apa perkara-perkara baik yang telah saya lakukan sepanjang hidup,” katanya.
Ditanya apakah sukar baginya berhenti daripada mengambil dadah, Ari ringkas memberitahu, usaha itu penuh dengan keperitan.
“Sebaik berhenti, selama tiga hari hidup saya sakit tetapi syukur kerana selepas itu, saya baik seperti sedia kala,” katanya.
Cerita soal karier dan album Sementara itu, Ari ketika menceritakan soal kelangsungan kariernya sebagai penyanyi berkata, tiga buah lagu baru yang dimuatkan dalam The Best Of Ari Lasso merupakan gambaran akan datang tentang penghasilan albumnya.
“Ia lebih ringkas, rock dan mudah dihayati. Untuk album seterusnya juga, saya mungkin akan menyelitkan beberapa tema seperti tema soal keyakinan, kematian dan bentuk rasa syukur saya.
“Mungkin juga saya akan berduet dengan penyanyi-penyanyi lelaki yang punyai nama besar dalam industri muzik,” jelasnya yang amat mengagumi Sheila Majid dan Datuk Siti Nurhaliza.
Dalam pada itu, selain mempromosikan The Best Of Ari Lasso, Ari turut mengadakan persembahan mininya di Planet Hollywood.
Meskipun tidak ramai yang datang menyaksikan, persembahan Ari sememangnya cukup bertenaga dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
Utusan Malaysia