Kenal Pasti Si Kecil Pintar
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
Kanak-kanak cerdas perlu sokongan ibu bapa dan guru supaya dapat kembangkan bakat
KEPINTARAN, kecerdasan dan bakat (PCB) kanak-kanak boleh mengundang prasangka. Keletah dan kebijaksanaannya boleh menyebabkan orang sekeliling menyifatkan sebagai kurang ajar dan paling menyedihkan sekiranya kepandaiannya tidak diketahui, bakat yang ada dalam dirinya dipersiakan begitu saja.
Berbanding Eropah, Australia serta Indonesia, ada program diwujudkan bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai kelebihan PCB. Di negara seperti itu kepintaran kanak-kanak tidak dianggap pelik, malah kerajaan mempunyai peruntukan khas untuk memberikan sokongan, seperti menyediakan kelas khusus di sekolah atau sekolah khas. Bagaimanapun, di sini ia masih dianggap luar biasa.
Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Akademik dan juga Pensyarah Pendidikan Khas Pintar Cerdas dan Berbakat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Rosadah Abd Majid, berkata kanak-kanak yang menunjukkan kepintaran dan kecerdasan luar biasa, perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Katanya, sekiranya dibiarkan begitu saja, bakat yang ada pada diri kanak-kanak akan menjadi sia-sia dan kemungkinan menjurus kepada perbuatan negatif kerana keinginan dan sifat ingin tahu mereka dihalang, sedangkan jiwa mereka meronta-ronta untuk tahu sesuatu perkara.
“Kanak-kanak pintar atau geliga ini perlu kepada pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berbeza daripada rakan sebayanya. Kurikulum dan pendekatan P&P perlu berbeza kerana mereka lebih cepat memahami serta mudah mengingat. Sekiranya kurikulum dan pendekatan pengajaran untuk mereka sama seperti untuk pelajar lain, dibimbangi pelajar pintar akan cuba mewujudkan suasana bilik darjah yang lebih mencabar untuk mereka, atas inisiatif mereka sendiri. Ini kadangkala tidak bertepatan dengan peraturan serta suasana di bilik darjah. Justeru mereka kadang-kadang menjadi ‘black sheep’ atau juga mungkin badut di dalam kelas.
“Mereka mungkin juga akan menjadi kanak-kanak yang dianggap degil di dalam kelas kerana mengganggu tumpuan rakan sebaya. Dicap sebagai kanak-kanak degil, memungkinkan mereka menganggap dirinya tidak berguna, sedangkan dalam sesuatu perkara boleh melakukannya dengan cemerlang berbanding rakan sekelas,” katanya.
Beliau berkata, memperlihatkan nasib kanak-kanak begini, perlu bagi kerajaan menyediakan program pendidikan khas yang sesuai dengan ciri unik yang ada pada diri mereka.
Justeru, kerjasama daripada semua ibu bapa yang mempunyai anak pintar cerdas diperlukan untuk membolehkan usaha mewujudkan program itu berjalan dengan lancar mengikut kaedah yang lebih sistematik dan profesional.
“Ia penting kerana mungkin ada segelintir ibu bapa yang sudah berputus asa dan kecewa kerana sehingga kini masih belum ada program khas untuk pelajar pintar cerdas dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun, program pendidikan yang akan dirancang perlu memastikan pelajar PCB dapat membesar dalam suasana normal tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Sebagai contoh, kebijaksanaan Adi Putra dalam Matematik dianggap luar biasa, tetapi hakikatnya bilangan anak yang pintar dalam pelbagai bidang di luar sana semakin banyak, tetapi tidak diberikan perhatian atas pelbagai sebab, antaranya kurang maklumat dan kurang keprihatinan.
Sistem pendidikan yang mementingkan pencapaian akademik memungkinkan kita menganggap hanya pencapaian akademik saja sebagai tanda kepintaran, tanpa memikirkan aspek lain seperti kepintaran kanak-kanak dalam aspek perhubungan dengan orang lain dan bidang seni, juga dianggap sebagai kanak-kanak geliga.
“Andai kanak-kanak dapat dikenal pasti seawal mungkin, usaha menyediakan pendidikan yang sesuai dengan ciri unik yang dimiliki dapat dilakukan dengan segera. Tetapi sekiranya sebaliknya, negara besar kemungkinan mengalami kerugian akibat pengabaian sumber modal insan,” katanya.
Kenali anak pintar cerdas dan berbakat
INGIN memahami kanak-kanak sedemikian, Kumpulan Penyelidikan Pendidikan Inklusif dan Pembinaan Jati Diri, Fakulti Pendidikan UKM akan menganjurkan Seminar Pendidikan Khas Pintar Cerdas Berbakat selama dua hari bermula 21 Julai ini.
Objektif seminar itu meningkatkan kefahaman dan kesedaran peserta mengenai teori dan konsep pintar cedas dan berbakat selain menyediakan ruang untuk perbincangan serta perkongsian maklumat dan ilmu berkaitan dengan pendidikan untuk pelajar PCB di kalangan pendidik serta ibu bapa.
Selain itu, ia juga membantu peserta merancang dan melaksanakan pendidikan untuk individu PCB. Antara dibincangkan dalam seminar berkenaan termasuklah ‘Focus on Giftedness and Talent Development’ dan ‘IQ 101: What Intelligence Test Really Measure and The Weakest Link’.
Seminar itu mengundang Malim Prof Francoys Gagne. Prof Gagne terkenal kerana membina dan menerangkan konsep mengenai perkembangan individu (PCB) menerusi sebuah model yang dikenali sebagai Differentiated Model of Giftedness and Talent (DMGT).
Sebagai profesor yang banyak mengkaji bidang pintar cerdas dan berbakat dan adalah ahli akademik di Universiti Quebec, Montreal, Kanada. Namanya cukup terkenal dalam bidang berkenaan, malah sering diundang menjadi penceramah untuk ucap utama di beberapa persidangan seumpama itu pada peringkat antarabangsa.
Hasil pemikiran dan kajian beliau diterbitkan dalam buku serta jurnal penulisan akademik seperti Gifted Child Quarterly, Roeper Review, dan Handbook of Gifted Education.
Dr Rosadah berkata, kehadiran beliau akan dapat membantu ahli akademik, penyelidik, pendidik dan ibu bapa untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang PCB serta kemahiran dalam penyelidikan serta dalam penulisan ilmiah. Kehadiran Prof Gagne boleh mempertingkatkan lagi prestasi penyelidikan serta penerbitan dalam bidang pendidikan khususnya pendidikan untuk individu pintar cerdas dan berbakat. Bidang pendidikan untuk golongan pintar cerdas dan berbakat yang masih baru hendak diperkenalkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
“Justeru kehadiran itu diharap dapat dimanfaatkan peserta seminar untuk perkongsian ilmu, kepakaran serta pengalaman bersama-sama dengan beliau dalam bidang berkenaan. Kita perlu memahami ciri anak pintar cerdas kerana ramai yang tidak mengenali dan memahami mereka hingga ada yang menganggap kanak-kanak pintar cerdas adalah mereka yang berjaya mendapat berbelas A saja dianggap pintar.
“Kanak-kanak PCB tidak terbatas kepada kepintaran dalam aspek akademik semata-mata, ada kanak-kanak pintar cerdas yang gagal di sekolah, tetapi cemerlang dalam bidang lain, dan ada juga yang tergolong dalam kategori kanak-kanak khas, justeru janganlah membataskan PCB hanya kepada kejayaan di sekolah atau peperiksaan saja,” katanya.
Mengulas sikap sesetengah ibu bapa kanak-kanak pintar yang gemar menonjolkan anak pintar kepada umum dan media, katanya pendedahan berlebihan dikhuatiri menjejaskan perkembangan mereka selain menerbitkan pandangan negatif orang ramai.
“Tidak mustahil kanak-kanak sebegini menjadi bahan atau alat kepada ibu bapa meraih keuntungan, sekali gus boleh menyumbang kepada masalah keruntuhan akhlak akibat terlalu ditekan atau dipaksa untuk menyerlahkan kelebihan mereka,” katanya.
Individu berminat menghadiri seminar berkenaan boleh berhubung penganjur di talian 03-8921 3858.
Berita Harian