Nabila Terkilan Keseronokan Dipertikai
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@yahoo.com.my
TIDAK putus-putus cerita kurang enak diperkatakan terhadap anak gadis legenda rock terkemuka, Amy Search ini. Terbaru, Nabila Huda Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Nabila dikritik hebat kerana bergambar dengan aksi melompat ketika mengerjakan umrah bersama keluarganya sekitar Mei lalu.
Gambar tersebut pada asalnya diserahkan kepada salah sebuah majalah hiburan tempatan, sebagai tatapan para peminatnya.
Bagaimanapun, entah di mana silapnya, tiba-tiba sahaja aksinya dalam gambar tersebut mencetuskan isu setelah tersiarnya artikel dalam salah sebuah akhbar baru-baru ini.
Bagi Nabila, aksi itu sekadar melontarkan perasaan gembiranya pada hari-hari terakhir berada di Madinah.
Ketika ditemui pada majlis sidang media drama bersiri Sari Maya baru-baru ini, pelakon berusia 24 tahun itu lebih selesa mengambil sikap untuk tidak mengulas lanjut tentang isu tersebut.
Katanya, ketika ini bapanya masih lagi dalam proses berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang dan tidak membenarkan dirinya membuat sebarang kenyataan kepada pihak media.
“Seluruh keluarga memang berasa sedih sangat sebab tajuk dan artikel tersebut mengandungi banyak fakta yang salah.
“Sebenarnya tempat itu merupakan salah satu tempat rekreasi di Madinah. Bukannya tempat beribadat seperti yang dilaporkan. Memang menjadi kunjungan penduduk di sana yang mahu beriadah serta menunggang motor besar,” jelas Nabila.
Menurut Nabila, kini dia menyerahkan perkara tersebut kepada ayah dan peguamnya untuk mencari jalan penyelesaian.
“Kita ini orang Malaysia, kena ada budi bahasa. Sebelum tulis sesuatu cerita kenalah bertanya dahulu supaya tidak tersalah menyampaikan sesuatu cerita yang boleh memalukan,” kata Nabila lagi.
Seronok mengerjakan umrah
Menceritakan pengalaman mengerjakan umrah, menurut Nabila dia dan keluarganya menghabiskan masa selama dua minggu di sana.
Sebelum ke Madinah, dia dan keluarganya menunaikan tuntutan ibadat di tanah suci Mekah terlebih dahulu selama lima hari sebelum berangkat ke Madinah.
“Seronok sangat di sana sebab semua ahli keluarga termasuk tiga nenek dan datuk ada bersama. Ini merupakan pengalaman pertama saya ke sana, lagipun sambil bercuti kita boleh beribadat.
“Insya-Allah, kalau tiada apa-apa halangan, papa merancang untuk pergi menunaikan umrah sekali lagi pada bulan Ramadan nanti,” katanya.
Tambah Nabila, kesempatan mengerjakan umrah memberi makna tersendiri buatnya kerana ketika itu dia berpeluang berehat panjang dari aktiviti lakonan.
“Sekarang ini hidup lebih banyak tertumpu kepada kerjaya berbanding hal-hal peribadi. Hari-hari biasa yang saya tempuhi sama sahaja dengan hari bekerja saya.
“Jadi, peluang mengerjakan umrah selama dua minggu tempoh hari terasa begitu nikmat untuk meredakan sedikit kepenatan bekerja,” jelasnya.
Ditanya tentang perubahan yang bakal dilakukannya setelah kembali dari tanah suci, kata Nabila sesuatu perubahan dalam hidup bergantung kepada individu itu sendiri.
“Kalau boleh, janganlah terlalu letak harapan yang tinggi untuk menyuruh seseorang individu itu berubah. Saya tidak boleh sesuka hati keluarkan kenyataan untuk berubah sebab kalau tak menjadi takut keluar cerita lain pula nanti.
“Saya masih muda, rasanya Nabila yang berumur 24 tahun ini adalah yang paling okey kalau dibandingkan dengan yang sebelumnya. Semua orang nak berubah, ia akan datang dengan sendirinya nanti,” jelasnya lagi.
Rezeki semakin mencurah
Berbicara tentang perihal kerjaya lakonan, Nabila kini muncul dengan drama terbaru Sari Maya yang disiarkan di TV9 menerusi slot Mahsuri setiap Isnin hingga Khamis bermula pukul 7.30 malam.
Drama 26 episod berdurasi selama 30 minit itu diarahkan oleh Fairuz Loy dan turut membariskan pelakon-pelakon ternama seperti Fauzi Nawawi, Zizie Ezette, Kuza dan Liyana Jasmay.
Kata Nabila, dia kini sedang sibuk menjalani pengambaran drama 40 episod iaitu Dari Mata Arisa arahan Meor Hashim Manap yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi.
Ternyata rezekinya tidak hanya tertumpu kepada lakonan drama sahaja tetapi juga dalam lakonan filem.
Nabila bakal muncul dalam filem berunsurkan fantasi remaja dan kanak-kanak dalam filem Duhai Si Pari-Pari arahan Azmi Mohd. Hatta dan filem Bohsia, arahan Syamsul Yusof.
Kelibat Nabila dalam kebanyakan drama mahupun filem sememangnya begitu sinonim dengan watak ‘jahat’.
Mengulas tentang penerimaan watak jahat, kata Nabila, dia cuba memberikan yang terbaik kerana pengarah dan penulis skrip percaya pada kebolehan dirinya.
“Mungkin mereka rasa saya boleh pegang peranan seperti itu. Lagipun saya jenis pelakon yang tidak fikirkan tentang kecantikan sebab saya boleh berlakon comot, buat mimik muka garang dan sebagainya.
“Watak jahat yang saya lakonkan adalah pelbagai. Dulu orang tidak berapa nampak kebolehan saya tetapi bila mula melakonkan watak jahat orang dah mula nampak kebolehan saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Utusan Malaysia