Anak Halal Mewah Pencalonan FFM21
KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2008 : Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Anak Halal menguasai pencalonan akhir Festival Filem Malaysia Ke-21 apabila karya Osman Ali itu tersenarai dalam 12 kategori yang dipertandingkan.
Malam kemuncak anugerah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Sabtu ini, 9 Ogos, menyaksikan filem berkenaan tercalon dalam kategori utama iaitu Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik untuk Osman, Pelakon Lelaki Terbaik (Farid Kamil), Pelakon Wanita Terbaik (Maya Karin), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Fauzi Nawawi) dan Sinematografi Terbaik (Khalid Zakaria).
Anak Halal muncul sebagai filem paling banyak mendapat pencalonan Top 5 pada FFM21, mengenepikan Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) arahan Mamat Khalid dan Wayang arahan Hatta Azad Khan.
Anak Halal yang mengisahkan tentang masalah sosial di kalangan remaja yang menemui penonton pada Disember tahun lalu turut dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pereka Kostum Terbaik dan Poster Terbaik Terbaik.
Antara filem lain yang turut memberikan saingan pada festival kali ini adalah 1957: Hati Malaya, Susuk, Congkak, Sepi, Duyung dan Evolusi KL Drift.
Pelancaran FFM21 akan berlangsung malam ini, Khamis, di GSC, Alamanda Putrajaya serentak dengan Tayangan Perdana 2 filem iaitu Wayang dan Kami manakala simposium perfileman sudah pun dianjurkan di Balai Seni Lukis Negara, KL pagi tadi yang dihadiri beberapa karyawan seni terkenal.
Klik di sini untuk melihat jadual tayangan filem percuma FFM21
Murai