Motif Sebenar Anugerah Skrin 2008
Teks & Foto Oleh Thani Hasbullah
KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2008: Penganjuran Anugerah berprestij, Anugerah Skrin 2008 yang dijangka berlangsung pada November depan menyaksikan 2 lagi kategori diperkenalkan bagi kategori filem iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Perubahan pada tahun ini juga menyaksikan kategori Anugerah Sinema Alternatif Filem telah digugurkan.
Ia menjadikan Anugerah Skrin 2008 bakal mempertandingkan 22 kategori berbanding 21 pada tahun lalu merangkumi 9 kategori bagi kategori drama, 7 kategori filem, manakala 6 kategori penerbitan dalaman.
Seperti tahun lepas, semua stesen TV tempatan termasuk RTM, ASTRO, TV3, NTV7, 8TV dan TV9 layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan produksi terbitan dalaman yang pernah ke udara di stesen penyiaran masing-masing.
“Anugerah Skrin 2008 bukanlah pertandingan stesen televisyen terbaik, tetapi menilai kualiti drama dan produksi yang disiarkan melalui semua stesen TV tempatan selain filem yang ditayangkan di pawagam. Setakat ini. kerjasama dan sokongan positif daripada rakan-rakan pengendali stesen TV adalah baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima, Datuk Amrin Awaludin.
Sebanyak 37 buah drama termasuk 18 telemovie, 13 drama bersiri serta 6 drama komedi telah dicalonkan bagi merebut 9 anugerah dalam kategori drama. Sebanyak 22 filem cereka akan bertanding menerusi 7 kategori.
Bagi kategori produksi terbitan dalaman pula, pihak penganjur masih menunggu lagi senarai pencalonan dan mengalu-alukan sebarang penyertaan yang sesuai.
Murai