Apa Dah Jadi Dengan Stacy?


Foto: Celebrity News

KUALA LUMPUR, 11 OGOS 2008:   Berjuta-juta peminat hiburan telah menyaksikan bagaimana Juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Stacy, tiba-tiba gagal menyampaikan permulaan lagu Wajah Rahsia Hati pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Sabtu lalu.

Dalam insiden itu, Stacy diberi peluang menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh Sheila Majid dan Fauziah Datuk Ahmad Daud tetapi dia tersalah masuk sebanyak tiga kali pada bahagian intronya.

Ternyata ribuan tetamu di Dewan Planetary tergamam dengan apa yang berlaku dan Stacy juga kelihatan gelabah,. Namun Stacy kemudian menjadi tenang dan hadirin memberikan tepukan. Keadaan ini sungguh menghairankan kerana sepanjang AF6, Stacy begitu cemerlang malah mampu membawa lagu baru dan lama seperti Rela, Don’t Speak, Beat It dan Makhluk Tuhan Paling Seksi dengan sempurna. 

Menjawab perkara ini, Ketua Pengurusan Artis dan Bakat, Maestro Talent & Management, Liza Ilias, berkata kejadian itu sama sekali di luar jangkaan pihaknya kerana Stacy tidak menunjukkan sebarang masalah ketika sesi raptai penuh dan sound check FFM21. 

“Stacy tiada masalah langsung tetapi ada memberitahu saya bahawa lagu Wajah Rahsia Hati bernada tinggi. Stacy memang terkilan dan sedih dengan kejadian itu. Mungkin juga emosi dia ketika itu masih terganggu kerana neneknya  meninggal dunia beberapa hari sebelum FFM21.

“Dia juga kepenatan selepas pulang dari membuat persembahan rakaman hari raya di Pulau Pangkor,” kata Liza.

Sementara itu  produser FFM21 untuk Astro Ria, Ahmad Budiman Sidek, turut terkejut dengan kesilapan Stacy sedangkan dia membuat latihan sejak Jumaat dan Sabtu lalu. 

Katanya, tidak wujud kesilapan pada bahagian teknikal dan persembahan muzik kerana segala-galanya seperti yang dirancangkan.

“Memang Stacy datang rehearsal dan sound check cuma apa yang saya nampak, Stacy begitu gementar pada malam itu. Mungkin ia disebabkan festival filem itu cukup gah dengan dihadiri ribuan tetamu VIP dan keadaan dewan pula sungguh besar.

“Entahlah, saya nampak sejak latihan lagi, Stacy macam OK saja,” kata Budiman. 

Murai

Leave a Reply