Archive for August, 2008

Deja, Azfendy Berbulan Madu Di Chile


KUALA LUMPUR, 31 OGOS 2008: Seorang lagi artis selamat diijabkabulkan sebagai pengantin baru pagi semalam iaitu penyanyi Kasih Ke Syurga, Hajjah Deja Moss, 35, dan pasangannya, Azfendy Azzudin, 29.

Upacara akad nikah berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini dan mereka dinikahkan dengan sekali lafaz oleh Penolong Pendaftar Nikah di masjid berkenaan, Mohd Nazarudi Mohd Nadzir.

Deja menerima kas kahwin RM1,111 dan berwalikan ayahnya, Wan Moss Wan Hamid.

Deja yang mengenakan busana putih bertudung rekaan Albert King, menerima 7 dulang hantaran berupa wang, sebentuk cincin, tepak sireh, jam tangan, beg tangan, set wangian dan sepasang kasut. Pengantin perempuan kemudian membalas dengan 11 dulang hantaran seperti tepak sireh, set wangian, kemeja bersama tali leher, kafling, tali pinggang, kasut dan kek lapis.


Menariknya, mereka berdua bakal berbulan madu di Santiago, Chile, November depan kerana Azfendy kebetulan akan bertugas di sana. Beliau ketika ini menjawat tugas sebagai Pengurus Besar DC Industries Sdn Bhd.

Kedua-dua mereka sudah saling mengenali sejak sekian lama tetapi semakin serius menjalinkan hubungan percintaan sejak 2 tahun lalu.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, berkata, dia akan tetap meneruskan kerjaya nyanyiannya tetapi dalam keadaan lebih terbatas. Mereka berdua dijadual mengadakan majlis resepsi di Kuching, Sarawak pada 16 November depan.

Tahniah dari murai.com.my!

Murai

Kekuatan Tulang Michelle



PERGERAKAN Michelle Yeoh yang lincah ketika beraksi di layar perak menuntutnya memiliki tulang yang sihat dan kuat.

KAKI diregangkan semaksimum mungkin. Tangan didepa selurusnya. Tatkala membongkok, kemas saja tubuh dibengkokkan, menunjukkan pergerakan yang selesa.

Melompat dan melakukan pusingan di udara juga tidak menimbulkan masalah buat bekas Miss Malaysia 1983, Datuk Michelle Yeoh, 46.

Mula mempelajari tarian balet pada usia empat tahun, Michelle yang mengalami kecederaan tulang belakang, terpaksa mengalih perhatian kepada seni lain termasuk koreografi.

Penerima ijazah sarjana muda dalam seni kreatif ini menghabiskan pengajian dengan kemenangan sebagai ratu negara dan seterusnya mewakili Malaysia dalam Miss World di London. Dari situ beliau yang mula mendapat perhatian pembikin filem. Sehingga hari ini Michelle sudah membintangi 25 buah filem termasuklah Tomorrow Never Dies, berlakon di sisi James Bond.

Peranan yang paling sinonim dengannya ialah wanita yang mahir berkungfu dan sentiasa tangkas beraksi. Michelle tampak seperti benar-benar menguasai setiap pergerakannya.

Filem terbarunya, Mummy 3, yang menggandingkannya dengan pelakon Hollywood, Brendan Fraser, dan aktres Hong Kong, Isabella Leong, juga masih mengekalkan Michelle dalam watak bersifat adventur. Masih ligat dan lincah pergerakannya.

Pastinya setiap pergerakan yang dilakukannya itu memerlukan tulang yang kuat!

Kongsinya, senaman pilihan iaitu tai chi dan yang melibatkan beban adalah satu kewajipan hariannya. “Senaman seperti memberus gigi setiap pagi bagi saya,” katanya.

Pilihan Michelle ini menyokong kenyataan Universiti Arizona yang mengatakan senaman yang melibatkan beban dapat membina tulang yang lebih padat dan kuat. Malah senaman jenis itu disifatkan cara terbaik untuk membina tulang.

Menurut Michelle, sikap tidak mengambil tahu (tentang kesihatan tulang) tidak menguntungkan sesiapa. “Untuk apa hidup lama jika ia tidak berkualiti?,” katanya.

Bagaimanapun, bukan senaman saja yang menentukan kesihatan tulang seseorang. Sebaliknya, pembinaannya memerlukan nutrien yang tepat dan berterusan untuk memastikan kitaran pembentukan tulang yang melibatkan pereputan tulang lama dan pembinaan tulang baru berlaku pada kadar yang sepatutnya.

Michelle yang berasa beruntung kerana dididik ibu bapanya untuk mengambil semua jenis makanan dan memahami tentang nutrien, menjadikan sayuran hijau dan buah-buahan sebagai ambilan wajib. Untuk tulang pula, Michelle secara khususnya memilih mengambil susu setiap hari.

“Saya memang yakin dan ambil serius tentang kesihatan tulang saya. Sebagai seorang pelakon, kesuntukan masa dan jadual penggambaran yang sibuk merupakan tuntutan kerja yang tidak dapat dielakkan.

“Inilah antara sebab saya harus mengambil berat tentang pengambilan kalsium, bagi memastikan saya mendapat keperluan harian nutrisi tulang saya kerana saya gemar melakukan aksi stunt saya sendiri,” kata beliau selepas diumumkan sebagai duta susu berkalsium tinggi, Anlene di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hasil penyelidikan bersama oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Otago, New Zealand mendapati kebanyakan wanita Malaysia mengambil kurang daripada 50 peratus keperluan kalsium harian mereka.

Namun Michelle nyata tidak mahu tergolong dalam kelompok wanita yang kini berdepan dengan risiko menghidap osteoporosis berikutan masalah itu.

“Dengan Anlene Concentrate, saya mendapat empat kali kalsium berbanding susu segar biasa di dalam setiap pek.

“Ini bermakna satu pek sehari sudah dapat memenuhi keperluan harian kalsium saya,” ujarnya yang kelihatan 10 tahun lebih muda berbanding usianya yang sebenar. - FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Kosmo

Kenali Gaya: Kebaya Eksklusif Untuk Ibu Menyusu Bayi

bminggu@bharian.com.my

Sutera sifon sesuai kerana ciri lembut dan tampak mewah bagi sambutan Aidilfitri

Soalan:Saya seorang ibu, mempunyai anak berusia 12 bulan dan masih menyusu badan. Pada Aidilfitri kira-kira sebulan lagi, saya ingin kelihatan menarik dan tidak terlalu ringkas dengan hanya berbaju kurung. Apakah fesyen dan fabrik sesuai digayakan ibu yang menyusukan bayi?

Apakah yang dimaksudkan dengan fesyen ‘smoking’? Adakah ia sesuai dipakai anak kecil berusia 12 bulan yang sedang lasak?

Elly, melalui emel.

Jawapan :Kali ini, saya lakarkan baju potongan kebaya moden untuk anda. Pilihan baju potongan kebaya dengan bukaan pada bahagian depan baju memudahkan anda untuk menyusukan bayi walaupun sibuk melayan kunjungan tetamu.

Bagaimanapun kelainan dibuat pada bahagian leher baju yang dipotong tinggi serta dibuat ropol supaya gaya tampil berbeza dan tampak eksklusif pada lebaran nanti.


Calvin Thoo bergaya bersama rekaannya.

Penggunaan fabrik yang sesuai akan membuatkan persalinan kelihatan lebih indah. Jadi, saranan fabrik sesuai adalah sutera sifon kerana cirinya yang lembut dan tampak mewah sesuai untuk sambutan Aidilfitri.

Perhatikan juga pilihan baju raya musim ini, kebanyakan pereka menghasilkan rekaan yang sarat dengan sulaman sama ada sulam tebuk atau tampalan renda Perancis.

Untuk anda, saya sarankan dibuat sulaman tebuk pada bahagian hujung baju, lengan dan kaki kain. Memadai sulaman tebuk dengan hiasan jemeki ringkas tapi jika anda tidak sukakan gaya sarat, buat sulaman ringkas tapi lebihkan taburan manik pada bahagian berkenaan supaya baju tampak berseri.

Teknik potongan ‘empire line’ sesuai untuk anda kerana potongan di bahagian berkenaan mampu membuatkan potongan di bahagian dada tampak kemas kerana kebiasaan ibu menyusu mempunyai payu dara yang agak besar. Tanpa sokongan baju dalam dan cara potongan sesuai boleh mencacatkan keindahan baju.

Untuk si dara kecil, pilihan baju yang tampak sedondon membuatkan gaya lebih manis. Biasanya si kecil yang sedang lasak tidak sesuai berbaju kurung seperti ibu. Jadi saya sarankan supaya disediakan gaun ringkas berhias sulam tebuk bermotif sama seperti dibuat pada kebaya anda untuk si kecil.

Fabrik menyerap peluh dan tahan lasak seperti kain kapas dan linen boleh menjamin keselesaan serta ketahanan baju. Gaun adalah gaya mudah untuk bayi yang sedang lasak kerana ia mudah disarung dan dibuka.

Menjawab pertanyaan saudari mengenai smoking, ia adalah sejenis gaya jahitan biasanya dibuat pada bahagian dada baju kanak-kanak daripada material kain kapas. Fesyen smoking menjadi kegilaan kalangan ibu yang menggemari gaya Inggeris. Kebiasaannya gaun smoking menjadi pilihan ibu untuk si kecil berusia dari enam bulan hingga 4 tahun.

Cirinya yang selesa selain tampak berbeza menjadikan ia pilihan tepat untuk digayakan pada Aidilfitri atau majlis keraian seperti majlis ulang tahun kelahiran. Gaun smoking dijahit tangan membuatkan harganya lebih tinggi dan tidak sesuai dipakai sebagai pakaian harian.

PROFIL: Calvin Thoo

Usia : 37 tahun

Asal : Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, RMIT University of Melbourne, Australia

Mempunyai pengalaman selama 12 tahun di dalam industri fesyen tanah air malah nama besar Calvin Thoo pernah menghasilkan rekaan busana indah untuk selebriti antaranya Anita Sarawak, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Raja Azura, Sazzy Falak dan Dynas.

Kunjungi butik Calvin Thoo di P17, Tingkat 4, Lot 10, Bukit Bintang atau hubungi 03-21486862 untuk pertanyaan lanjut mengenai fesyen.

INFO:Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian