Meriahnya Raya Di TV3
October 5th, 2008 by admin | Filed under Afdlin Shauki.SEBAGAI peneraju utama televisyen terestrial (tidak berbayar), sejak penubuhannya 24 tahun lalu, TV3 tidak pernah leka memberikan yang terbaik kepada penonton setianya. Stesen induk Kumpulan Media Prima Berhad itu, sebagai sebuah stesen yang berjaya mendekati lebih 20 juta penonton sebulan dengan menyajikan pelbagai program yang bukan sahaja menarik tetapi, lebih penting, dekat dengan jiwa setiap penonton.
Mementingkan program yang berkualiti lagi berinovasi, kebanyakan rancangannya meliputi drama, hiburan dan dokumentari berjaya menawan hati penonton. Justeru pada Syawal ini, dalam pada kita riang bergembira dan kunjung mengunjung mengeratkan silaturahim, stesen penyiaran itu terus menyediakan program yang memfokuskan hiburan untuk seisi keluarga.
Pendekatan dan konsep baru menjadi antara resipi untuk memberi nafas yang lebih segar kepada khalayak dengan kandungan yang disesuaikan mengikut cita rasa semasa dengan konsep mengikut perkembangan terkini.
Tidak hairanlah kalau tahun ini, dalam memberi satu “wajah baru yang lebih segar” kepada program gosip panas mereka, buat julung kalinya program hiburan popular Rumah Terbuka Melodi Raya mengadakan rakaman luar.
Bertemakan Perkampungan Nelayan, rakamannya berlangsung di taman tema Sunway Lagoon disiarkan dalam dua bahagian bermula hari ini (5 Oktober) dan minggu depan (12 Oktober) pukul 12.30 tengahari.
Istimewanya Melodi Raya tahun ini adalah apabila para penonton di rumah dan tetamu jemputan tidak hanya disajikan dengan persembahan lagu-lagu raya. Tetapi turut dihiburkan dengan lagu-lagu tradisional susunan komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd. Zain.
Sementara kehangatan pentas akan dimonopoli oleh gandingan serasi dua pengacara iaitu Nabil (Raja Lawak) dan Faizal Ismail (FBI) selain pengacara mingguan Melodi, Fara Fauzana dan Wahid Senario.
Biarpun programnya masih menjurus kepada kisah-kisah panas artis khususnya dalam menyambut Lebaran, mereka tetap menjalankan tanggungjawab sosial dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Pada program berkenaan, Tabung Bersamamu dengan kerjasama Converse sebagai penaja turut menyerahkan sumbangan kepada pertubuhan dan orang perseorangan yang memerlukan bantuan.
Juga kepada para pelakon veteran yang uzur seperti M. Rajoli, Kuswadinata, Yahya Sulong, Pi’e, Hamid Gurkha, Imuda dan Mat Deris.
Upacara penyampaian sumbangan ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.
Seperti kebiasaannya, Rumah Terbuka Melodi Raya disertai oleh ramai selebriti tanah air seperti Ifa Radziah, Nurul, Ajai, Aziz M. Osman, Nur Aliah Lee, Faizal Tahir dan ramai lagi.
Sementara beberapa artis jemputan juga membuat persembahan bagi menghangatkan lagi suasana majlis.
Antara artis yang menjayakan persembahan ialah Farawaheeda, Aris Ariwatan, Saleem, Noryn Aziz, Aizat, Noraniza Idris, DJ Dave, Mamat, Shahila, Zahid, Nita, M. Nasir dan Hattan.
Seperti tahun-tahun lalu yang menghimpunkan para artis tempatan, menurut penerbitnya, Jamil Hassan, konsep terbuka bertemakan perkampungan nelayan adalah untuk memberi mood dan cita rasa yang berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
l Program menarik
Bagi menepati cita rasa penonton, hanya yang terbaik sahaja yang ditayangkan sempena dengan Aidilfitri dengan kebanyakan program mempunyai keistimewaan dan mesej yang tersendiri.
Antaranya tentulah seleksi filem-filem istimewa raya sepanjang minggu ini yang bukan sahaja menarik tetapi juga pernah menjulang anugerah.
Malam ini (5 Oktober) pada pukul 9 malam, filem Cinta, arahan Kabir Bhatia yang pernah diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) akan menghiasi layar TV anda.
Cinta, jalinan lima cerita yang meraikan keajaiban cinta mengisahkan tentang Harris, lakonan Rashidi Ishak yang mempunyaisegala-galanya - isteri jelita, anak dan karier.
Dia bahagia sehinggalah isterinya, Airin (Rita Rudaini) mengakui dirinya mencintai lelaki lain. Dan, Airin tidak mahu terus hidup dalam pembohongan.
Sementara Dyan (Nanu) mengubati hati yang sepi dengan cuba merubah hidup adiknya, Dhani (Que Haidar), seorang pelukis jalanan. Ariel (Sharifah Amani) pula menjejaki cintanya, dibantu Taufiq (Pierre Andre), seorang wartawan muda. Hati Taufiq mula tertawan, namun Ariel ada rahsia tersemat.
Elyas (Datuk Rahim Razali), seorang pesara guru, menghabiskan sisa hidup yang dibelenggu penyakit Alzheimer. Pada Rubiah (Fatimah Abu Bakar), pemilik restoran, Elyas beroleh ketenangan.
Dan Azlan (Eizlan Yusof) yang menjadi buruan gadis serta seorang pemilik syarikat penerbitan tiba-tiba jatuh hati dengan Azura (Fasha Sandha), seorang pembantu kedai buku.
Filem Waris Jari Hantu yang mengangkat pengarahnya, Shuhaimi Baba sebagai Pengarah Terbaik FFM20 lalu juga menjadi sajian di Syawal ini. Ditayangkan 8 Oktober, (9 malam), ia mengisahkan tentang Tina (Maya Karin) dan Ari (Rusdi Ramli) yang berkawan baik serta bersaudara dengan Tok Wan Rimau (Azean Irdawaty).
waris
Tok Wan merupakan penjaga harimau saka keluarga Tina yang sedang mencari waris perempuan untuk menurunkan ilmu sakanya.
Sebuah filem cinta Qabil Khushry Qabil Igam yang dilakonkan pelakon terkenal tanah air seperti Erra Fazira, Ziana Zain, Hans Isaac, Rusdi Ramli dan Fauziah Nawi pula menemui penonton pada 9 Oktober (9 malam).
Ia berkenaan dua orang adik-beradik kembar bernama Qabil Khushry dan Qabil Igam, anak kepada Ismail dan Tijah. Qabil Khushry amat sayang akan adiknya semenjak dari adiknya di dalam kandungan ibunya.
Ketika dewasa, Khushry jatuh cinta dengan Rani manakala adik Rani, Karisma pula memuja Igam walaupun pada awalnya Karisma tidak dapat menerima kenakalan Igam.
Bagaimanapun, hanya kerana satu kesilapan, mereka sekeluarga tersepit lalu terpaksa membuat satu keputusan yang memerlukan satu pergorbanan yang besar.
Filem bertemakan Islam dari Indonesia, Ayat-Ayat Cinta juga menjadi pilihan untuk dipersembahkan kepada audiens pada 10 Oktober (9 malam).
Mengisahkan tentang Fahri Abdillah yang merupakan seorang pelajar pintar dari keluarga miskin yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir.
Dia seorang berdisiplin dan berdedikasi. Mengimpikan sebuah perkahwinan, Fahri yang merupakan seorang yang lurus dan suci bagaimanapun, tidak percaya pada konsep perhubungan sebelum berkahwin.
Namun, hidupnya berubah apabila dia didampingi empat gadis jelita yang berbeza.
Tidak ketinggalan sebuah telefilem, Rempit vs Impak Maksima (7 Oktober - 9 malam) lakonan Awal Ashaari, Zulhuzaimy, Fauzi Nawawi, Jue Aziz, Maimom Mutalib, Jalaluddin Hassan dan Watie Elite.
Ia mengisahkan tentang Shariman dan Bani yang berkawan baik sejak kecil. Mereka merupakan orang susah. Bagaimanapun mereka mempunyai minat yang sama iaitu berlumba motor.
Seperti remaja lain, Shariman dan Bani sering menghabiskan masa dengan berlumba haram. Satu hari, Shariman mendapat peluang yang merubah hidupnya apabila ditawarkan untuk menjadi pelumba kereta professional. Shariman berjaya dalam dunia berlumbaan manakala Bani pula masih menjadi mat rempit.
Sementara itu program berbentuk majalah pula menyajikan beberapa program menarik seperti Memo Dari Suriname (5 Oktober - 6 petang) yang memaparkan cara masyarakat Melayu di negara itu menyambut Ramadan dan Aidilfitri dan mengungkap keinginan mereka menjejak kaki di negara asal nenek moyang.
Perjalanan Kami Bersamamu (5 Oktober - 7 malam) pula memaparkan perjalanan krew Bersamamu meninjau kembali keluarga yang pernah dipaparkan sebelum ini.
Ia juga turut memaparkan penceritaan suka-duka dua pengacara sebelum ini, artis Rosyam Nor dan Nanu Baharuddin bersama Penerbit Eksekutif Mazlin Nordin semasa penggambaran Bersamamu suatu ketika dahulu. Sepanjang perjalanan ini, kita akan menyaksikan perubahan yang berlaku terhadap keluarga-keluarga berkenaan serta persiapan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri. Antara keluarga yang dikunjungi semula termasuklah keluarga Siti Rokiah di Bachok Kelantan, keluarga Noraini Ismail di Tumpat Kelantan, keluarga Maini Kudat di Kuching Sarawak dan keluarga Serinang Subi di Beranang Selangor.
Dokumentari Keringat Metropolitan (6 Oktober - 1 petang) pula mencungkil kisah suka duka pendatang asing yang memerah keringat di bumi Malaysia dengan pelbagai kerja seperti orang gaji, buruh binaan, pekerja ladang dan pengawal keselamatan untuk menyara keluarga di tanah air masing-masing.
Sementara itu Linangan Syawal (7 Oktober -1 petang) pula memaparkan individu atau keluarga yang menyambut Syawal dengan linangan air mata kerana tidak dapat menahan peristiwa yang menimpa dan terus mengharap sesuatu yang belum pasti.
Dengarkan rintihan seorang warga tua yang mengharapkan kehadiran anak lelaki yang menghantarnya ke rumah orang tua-
tua, seorang wanita yang sedang bertarung dengan penyakit barah serta keluarga Sharlinie yang masih mengharapkan kepulangannya.
Tidak ketinggalan program bercorak semi-
dokumentari, Nostalgia Lagu Raya (8 Oktober - 1 petang) yang menyusuri kisah di sebalik pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi-penyanyi lagu raya yang menjadi kegemaran dan siulan dari dulu hingga kini.
Dengarkan lagu-lagu malar segar raya serta temu bual di sebalik lagu-lagu ini dan bagaimana terciptanya ilham untuk mencipta lagu tersebut.
Para penggemar pengacara popular Fara Fauzana, jangan lupa saksikan Raya Bersama Fara yang akan disiarkan petang ini (5 Oktober - 5 petang).
Antara artis yang terlibat menjayakan program ini termasuklah Jinbara, Afdlin Shauki, Misha Omar, Datuk Aziz Satar,
Tahun ini bertemakan Kesyukuran dalam Kemeriahan, TV3 juga mengadakan beberapa kempen sebagai satu inisiatif untuk mendekati orang ramai terutama penonton setia TV3 yang telah lama menyokong stesen tersebut.
Tidak sahaja kempen balik beraya, TV3 sekali lagi menyambut para pemandu yang pulang semula dengan selamat ke Lembah Kelang di Perhentian Tol Sungei Besi (11 Oktober) dan Perhentian Tol Shah Alam (12 Oktober).
Utusan Malaysia