Eja, Erma Berangkat Ke Tanah Suci
KUALA LUMPUR, 10 OKT 2008: Akhirnya penantian untuk sampai lagi ke Tanah Suci Makkah buat kesekian kalinya terbuka buat pelakon jelita Siti Eja, Beliau dijadual berangkat ke sana pada 17 Oktober ini.
Tidak sendirian, seruan Ilahi untuk menunaikan umrah itu, turut ditemani pengarah berkaliber Erma Fatima dan beberapa pelakon popular, Aida Radzwill, Hamidah Wahab, Datuk Rahim Razali dan Fahrin Ahmad.
Ketika dihubungi portal, murai.com.my, Eja berkata kunjungannya ke Rumah Allah itu kali bukan sekadar menunaikan ibadah umrah, malahan menjalani penggambaran drama dakwah bersiri 26 episod Tasbih Cinta arahan Erma.
“Eja belum lagi menunaikan haji, tapi masih menunaikan umrah buat kali kedua. Eja sangat bersyukur dan kali ini Eja juga ke sana untuk bekerja. Insya-Allah, Eja akan berkongsi bilik dengan Erma dan kalau tiada aral, bilik kami nanti akan menghadap dengan Kaabah yang memudahkan kami sekiranya menunaikan solat di dalam bilik,” kata Eja.
Penggambaran Tasbih Cinta akan berjalan selama 14 hari di Makkah dan akan ditayangkan di Saluran Astro Oasis tidak lama lagi. Drama yang mendapat sokongan padu Astro Oasis itu akan bakal menggandingkan Eja dan Fahrin Ahmad sebagai teraju utama. Turut berlakon Datuk Rahim, Aida Radzwill dan Hamidah Wahab.
Eja menjelaskan, penggambaran drama bersiri itu sepatutnya diadakan Julai lalu, bagaimanapun atas kesukaran mendapatkan pelepasan berada di sana, maka ia ditanggguhkan ke Oktober.
“Tak sangka kami dapat berada di sana bulan ini. Walaupun di sana sekarang sibuk dengan persiapan ibadah haji, tapi kami masih mampu ke sana menggunakan visa kerja yang diluluskan,” katanya.
Tambah Eja, selain penggambaran drama bersiri berkenaan, Erma akan turut mengarahkan beberapa drama lain yang akan dilakonkan Ziana Zain.
“Eja anggap kunjungan ini sebagai seruan Allah SWT. Bukan mudah kita untuk kita sebagai umatnya mendapat peluang berkunjung ke sana. Daripada ceramah yang Eja ikuti, Eja difahamkan, walau sebanyak mana duit seseorang itu ada, ia belum pasti lagi dia akan mendapat seru menunaikan umrah dan haji,” katanya dengan merendah diri.
Murai