Banglo Lama Markas Talentime
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
PENGARAH Yasmin Ahmad kembali berkampung di Ipoh, Perak. Begitulah ironinya filem-filem arahan pengarah kreatif itu yang sering kali menjadikan Ipoh sebagai studio menjalankan kerja-kerja kreatifnya.
Dari filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf sehinggalah yang terbaru, Talentime, lokasinya masih sama. Harian Metro turun padang meninjau lokasi Talentime untuk ruangan Borak Lokasi. Apatah lagi Yasmin berjaya melamar penyanyi Jaclyn Victor untuk menjayakan filem ini.
Selepas menempuh perjalanan hampir dua jam, akhirnya rombongan wartawan hiburan dari Kuala Lumpur tiba di Ipoh. Tidak jauh dari pusat bandar, kami menyusur pula ke satu penempatan kuaters kerajaan (dulunya didiami pembesar dan pegawai kerajaan). Salah satu daripada lot banglo lama itu dijadikan ‘markas’ penggambaran Talentime.
Timbul persoalan mengapa Ipoh jadi pilihan sedangkan terdapat banyak lagi lokasi menarik. Jawapan Yasmin mudah saja kerana dia sudah ‘masak’ dengan jalan dan kawasan di situ.
“Saya sudah biasa dengan bandaraya Ipoh dan saya tahu di mana lokasi menarik untuk mendapatkan shot yang cantik.
“Di sini juga terdapat masjid serta kuil yang besar dan cantik yang boleh digunakan bagi menggambarkan kehidupan dua kaum yang berbeza agama dalam filem ini.
“Satu lagi alasannya mengapa saya suka buat penggambaran di luar Kuala Lumpur selain kurang kesesakan lalu lintas, ia juga mengelakkan pelakon mengambil dua tawaran dalam satu masa.
“Jika di Kuala Lumpur, mereka boleh lari ke penggambaran yang lain tetapi kalau di Ipoh, larat ke mereka hendak berulang alik. Mereka juga tidak dibenarkan membawa kenderaan sendiri.
“Saya buat begini kerana mahu mereka memberikan sepenuh komitmen terhadap pembikinan filem ini. Mereka perlu bergaul dengan kru termasuk semua pelakon kerana saya mahu bekerja sebagai sebuah keluarga.
“Apa yang pelakon makan, itu jugalah yang kru makan dan begitulah sebaliknya. Tiada layanan istimewa, semuanya sama malah mereka ditempatkan di hotel yang sama,” katanya.
Beralih tumpuan pada pengisian Talentime, filem ini sedikit sebanyak merujuk kepada pengalaman hidupnya. Yasmin juga terus mengangkat kepelbagaian kaum di Malaysia dalam Talentime yang mengisahkan keperitan terpaksa dilalui peserta pertandingan bakat sekolah serta kisah percintaan membabitkan dua bangsa dan agama berbeza.
Sekali lagi Yasmin mempertaruhkan wajah baru sebagai pendukung utama filem ini sebagaimana pernah dilakukan dalam filemnya terdahulu. Kali ini Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong Ven Tee menerajui Talentime bersama pelakon berpengalaman seperti Harith Iskander, Azean Irdawaty, Adibah Noor dan bintang Mukhsin, Mohamad Syafie Naswip.
“Ada sesetengah pengarah takut ambil pelakon baru tetapi tidak dengan saya kerana pelakon muda memiliki dinamik dan mereka jujur.
“Menariknya, meskipun sudah ada pengalaman menghasilkan filem, untuk Talentime saya terpaksa memperuntukkan lebih banyak masa menyelesaikan skripnya. Lebih kurang lima hingga tujuh hari untuk menyiapkan draf skrip saja.
“Skrip Talentime mengambil masa panjang kerana saya mahu mencuba permainan baru. Terdapat 11 draf semua sekali. Ia sebagai satu usaha memberi kelainan pada filem ini.
“Saya juga tidak suka filem yang ada mesej. Siapalah saya untuk mengajar orang, sebaliknya saya sukakan sesuatu yang boleh menimbulkan tanda tanya pada penonton,” katanya.
Filem ini juga menarik kerana mengundang ramai pelakon jemputan. Antaranya Azean Irdawaty sebagai ibu Hafiz,
Jaclyn Victor (Bhavani), Harith Iskander (Ayah Melur), Elza Irdalynna Khairil Anwar (Mawar), Mislina Mustaffa (Ibu Melur), Adibah Noor (Cikgu Adibah), Ida Nerina (Datin Kalsom) dan ramai lagi pelakon lainnya, Sukania Venugopal, Sherrina L Krishnan, Mohamed Redzuan Adamshah, Howard Han Kahoe, Lok Weng Sung, Melkinn Chee Ka Sheng, Amelia Thripura Henderson, Tan Mei Ling, Susan Ann Chong, Athilia Harun, Tan Yew Leong dan Anthony Michael Savarimuthu.
>Borak Lokasi
FILEM: Talentime
PENGARAH: Yasmin Ahmad
PENERBITR: Mohd Effendy Harjoh
PENOLONG PENERBIT: Farid Yusof
Pengarah Fotografi: Low Soon Keong
PENYUNTING: Raja Affandy Raja Jamaluddin
PENOLONG PENGARAH 1: Mohd Hanafiah Abdullah
PENOLONG PENGARAH 2: Mohd Firdaus Mohamad Hanif
PENOLONG PENGARAH 3: Sharifah Amani Syed Zainal Rashid
PENGURUS PRODUKSI: Mat Nazri Ismail Hassan
PENYELARAS LOKASI: Megat Rosli Sidin
KONTI: Mohd Hashim Sakiri
PENOLONG KONTI: Mohd Sharum Kamaruddin
PENGARAH SENI: Wong Voon Leong
PROP MASTER: Soon Yong Chow
JURUSOLEK: Hathim Thai Ahmad Nordin
PENYELARAS PRODUKSI: Radiyah Mohamed Eusuff
PENYELARAS UJI BAKAT: Mohd Hafiz Mohd Shapee
JURU KAMERA: Haru Abdul Kadir
PEMBANTU JURUKAMERA: Mohd Shukor Dato Hashim
VTR OPERATOR: Ahmad Sahifudeen Mohd Noh
GAFFER: Megat Roslan Sidin
GAFFER BEST BOY: Zulkipli bin Ab.Hadi
LIGHTING GRIP: Ruddy Armizal bin Othman
PELAKON: Mohamad Syafie Naswip (Hafiz), Mahesh Jugal Kishor (Mahesh), Pamela Chong Ven Teen (Melur).
Harian Metro