Atas Nama Cinta
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima&bharian.com.my

SAMA cantik sama padan, Intan dan Iskandar kelihatan anggun dengan persalinan
nikah rona sedondon.
Intan Sarafina dan Iskandar Ezzahuddin sah bergelar suami isteri pada Jumaat lalu
HANYA dengan satu kali lafaz, penyanyi yang pernah dikenali dengan lagu Kembali, Intan Sarafina atau nama sebenarnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 27, tidak lagi berstatus solo.
Bekas peserta program realiti musim kedua One In A Million (OIAM) itu kini sah bergelar isteri kepada jejaka kacak berasal dari Petaling Jaya, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli, 32.
Kelembutan, keperibadian mulia serta kejelitaan dimiliki wanita berasal dari Stulang Darat, Johor itu membuatkan hati Iskandar tertambat untuk memperisterikannya. Setelah mengenali hati budi masing-masing lebih setahun, dua insan ini mencapai kata sepakat untuk disatukan.
Memilih 17 Oktober lalu untuk disatukan, kata Intan tiada sebab musabab istimewa kenapa tarikh itu dipilih. Kata sepakat itu dicapai hasil perbincangan dua keluarga lalu tepat jam 9.40 malam, Jumaat lalu dua hati ini kini menjadi satu.
Majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman keluarga Intan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras berlangsung cukup pantas dan lancar. Tiada air mata yang tumpah malam itu, malah Intan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang kelihatan cukup tenang. Sementara Iskandar pula kelihatan sedikit gugup sehingga mengundang tawa tetamu apabila melafazkan nikah dengan cukup laju.

ISKANDAR mengucup dahi Intan pada majlis pembatalan air sembahyang.
Suami Intan yang bertugas di sebuah syarikat kewangan ketika ditemui meluahkan kelegaan selesai dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang juga Iman Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, Mohamad Afandi Che Haron.
Dedah Iskandar, kebimbangan menghadapi saat untuk dinikahkan menyebabkan dia berlatih melafazkan nikah sejak Selasa lalu. Selain itu, dia turut melayari Youtube sebagai persediaan lebih rapi.
“Alhamdulillah, lega kerana semuanya sudah berakhir. Sejak awal minggu saya sibuk berlatih sendiri untuk memastikan tidak gugup pada hari pernikahan,” katanya yang mengenakan baju Melayu warna putih sedondon dengan Intan.
Pada majlis pernikahan itu, Iskandar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran bernilai RM15,000 berserta tujuh dulang hantaran dibawa tujuh hulu balang yang segak dengan baju Melayu warna hitam. Antara yang terisi di dalam dulang untuk diserahkan kepada Intan adalah sirih junjung, beg tangan jenama Fendi, wangian, sejadah serta telekung, coklat serta manisan, cincin dan juga cek.

INTAN bersama ayah dan ibu serta lima adik beradiknya.
Manakala pihak perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran yang dihias cukup indah dengan bunga ros dari rona putih berupa sirih junjung, kek, kemeja serta kasut, sejadah, coklat, telur pindang dan wangian.
Mengenai perancangan perkahwinan, ujar Iskandar mereka tidak mempercepatkan majlis perkahwinan ini. Sebaliknya kata sepakat sudah dicapai sejak pertengahan tahun ini sebelum mereka akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang pada 31 Ogos yang lalu.
“Memang sejak awal lagi keluarga sudah menetapkan tarikh 17 Oktober. Tarikh itu tidak dipercepat mahupun diperlambatkan. Pada mulanya kami tidak bercadang untuk bertunang tetapi demi mengikut adat, diadakan juga majlis pertunangan pada Ogos lalu,” katanya.
Menyingkap detik perkenalan mereka, Intan ternyata tidak begitu banyak bercerita berbanding suaminya yang lebih ramah. Kata Intan, mereka berkenalan sekitar April 2007 melalui seorang rakan. Pada mulanya dia tidak begitu tertarik kepada Iskandar, namun kesungguhan ditunjukkan Iskandar lama-lama memikat hati Intan.
Sementara itu, kata Iskandar pula, Intan pada mulanya agak sombong. Namun tidak mengenal erti putus asa, Iskandar berusaha bersungguh-sungguh untuk menambat hati Intan. Setelah hampir setahun berkenalan, dua insan ini kemudian mengambil keputusan untuk berkahwin.
Lagipun kata Iskandar, tiada apa yang perlu ditunggu. Dia tidak mahu berkawan terlalu lama, apatah lagi usia mereka bukan lagi muda. Justeru, sebaik bertemu wanita diidamkan lebih baik ia diakhiri dengan sebuah ikatan sah dan suci.
Bercerita soal cahaya mata, Intan mahukan empat cahaya mata. Manakala soal bulan madu pula, pasangan itu akan berbulan madu selesai majlis resepsi pihak lelaki yang dijadualkan berlangsung Januari tahun depan. Destinasi bulan madu pula, pasangan ini bercadang memilih pulau Bali.
Majlis resepsi keluarga Intan pula diadakan di kawasan rumah Intan sehari selepas majlis pernikahan mereka. Menurut Iskandar, dia terpaksa memilih bulan Januari kerana ramai saudara maranya akan berkahwin dalam waktu terdekat ini. Mereka sudah melakukan perancangan lebih awal daripadanya, justeru dia perlu memberi laluan kepada mereka terlebih dulu.
Bercerita soal karier pula, Intan berkata Iskandar tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam bidang seni. Selain nyanyian, Intan juga kini turut bergelar pelakon. Dia bakal muncul dengan sebuah drama yang bakal disiarkan di Astro berjudul Suara Hati. Dalam drama berkenaan, Intan turut menyumbangkan suaranya untuk tiga buah lagu yang dijadikan soundtrack drama bersiri berkenaan. Lagu ciptaan Azmeer itu juga akan dijadikan singlenya.
Berita Harian