Soseh Soseh: Man Bai Mahu Aktif Semula
Rap
RAMAI penyanyi yang mencipta nama pada era 80-an dan 90-an mahu aktif sebagai pelakon. Barangkali inilah satu cara mereka mengembangkan bakat di samping menambah sumber pendapatan.
Usahkan SS, peminat pun sedia maklum sebelum ini penyanyi rock, Ella muncul membintangi filem Pemburu Bayang dan Hanya Kawan kemudian diikuti Awie yang banyak berlakon filem sehingga kini.
Penyanyi Ziana Zain pula melebarkan bakat lakonannya ke drama televisyen menerusi arahan Erma Fatima, sementara Hattan, Fauziah Latiff dan Nurul mahu terus aktif bergelar pelakon.
Minggu lalu teman SS bertemu dengan penyanyi utama kumpulan Gersang, siapa lagi kalau tidak si kacak Man Bai yang kini bertukar bidang menjadi jurutera bunyi konsert dan persembahan makan malam.
Sesekali bertemu ‘geng lama’ pelbagai perkara dibualkan termasuk mengenai perkembangan rakan seangkatan yang kini sudah aktif berlakon filem mahupun drama.
Bagi peminat setia Man Bai, mereka tahu, dia juga boleh berlakon dan bakatnya sudah dibuktikan menerusi filem Layar Lara arahan Shuhaimi Baba.
Luah Man Bai kepada teman SS itu apabila melihat aksi rakan di televisyen membuatkan timbul rasa ‘gian’ mahu kembali ke lokasi penggambaran drama mahupun filem.
Namun, katanya kalau boleh dia mahu membabitkan diri dalam produksi yang benar-benar bagus. Maksudnya jalan cerita yang mahu dihasilkan itu menarik dan mampu memberikan sesuatu kepada penonton bakal menyaksikannya nanti.
Pada SS sendiri mengapa tidak semua penyanyi yang berbakat dalam bidang lakonan terutama orang lama kembali aktif.
Lagipun kebelakangan ini SS selalu mendengar rungutan daripada pengarah filem mahupun drama tempatan yang mengatakan kita kekurangan pelakon benar-benar bagus. Diharapkan apabila mereka ini kembali aktif kekurangan itu dapat diatasi.
Harian Metro