Janji ‘Gegar’ Planet Hollywood
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
BUKAN calang-calang penghibur berpeluang beraksi di pentas Planet Hollywood. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, bukan saja melihat sudut keuntungan tetapi mereka yang diberi mandat itu mestilah mempunyai ‘repertoire’ yang membanggakan.
Buktinya, bilangan mereka yang pernah mengemudi pentas Planet Hollywood boleh dibilang dengan jari.
Dayang Nurfaizah, Sheila Majid, Syafinaz, Hazami, Anuar Zain, kumpulan Lefthanded, Wings, Search termasuk band popular dari Indonesia antara nama sering diberi peluang.
Kini, giliran kumpulan Hujan pula menggegarkan pusat hiburan terkemuka itu dengan memperkenalkan persembahan istimewa ala konsert dinamakan Hujan Special Showcase Planet Hollywood, esok jam 3 petang.
Menurut vokalis kumpulan itu, Mohammed Noh Salleh (Noh), peluang beraksi di Planet Hollywood ibarat impian menjadi kenyataan.
“Siapa yang tidak teringin buat persembahan besar di Planet Hollywood apatah lagi ia terbukti sebagai platform terbaik dengan menampilkan hanya penghibur berkaliber. Dulu kami pernah lakukannya untuk acara Rock Malaysia tetapi ia membabitkan banyak kumpulan.
“Justeru, apabila kami memperoleh peluang ini tentunya ia satu pencapaian membanggakan. Pada mulanya kami sekadar mengemukakan idea untuk mengadakan satu showcase bertujuan meraikan semua peminat.
“Sama ada yang baru mahupun mereka yang sudah lama mengikuti perkembangan muzik Hujan dari zaman scene underground lagi. Tidak sangka mereka menerima baik idea kami itu.
“Untuk pengetahuan umum, showcase ini sepatutnya diadakan sebelum bulan puasa lalu sebagai meraikan pelancaran album pertama kami. Namun disebabkan beberapa masalah seperti bajet dan masa yang kurang sesuai ia dianjakkan ke tarikh 25 Oktober ini,” katanya.
Noh menambah, Hujan bersedia menggegarkan Planet Hollywood serta menjanjikan persembahan terbaik.
Sebanyak 20 lagu dibawakan dan ia terdiri daripada koleksi lagu-lagu terkandung dalam album Hujan termasuk lagu Inggeris pernah dipopularkan ‘band’ pujaan mereka.
“Terdapat kelainan dalam persembahan itu nanti yang tidak pernah peminat saksikannya sebelum ini. Saya akui persembahan di Planet agak luar biasa dan mengundang banyak kejutan.
“Sekarang ini, kami giat berlatih secara berterusan dan kemungkinan besar untuk sebahagian lagu kami akan bermain muzik akustik,” katanya.
Selain Noh, Hujan melonjak dengan lagu Pagi Yang Gelap dianggotai Azham Ahmad (Ambobzeela/ dram), 27, dan Mohammad Hezry (AG/gitar), 24.
Melengkapkan posisi mereka, Hujan turut memperkenalkan anggota baru kumpulan itu, Azhar Imran Ahmad Zulkiflee (Jaja), 26, yang menggantikan pemuzik undangan mereka.
“Jaja menggantikan posisi Dugong yang sebelum ini adalah sessionist kepada kumpulan kami. Dugong tidak dapat memberikan komitmen terhadap Hujan kerana dia sudah mengambil keputusan untuk bergerak sendiri dan menubuhkan kumpulannya.
“Justeru, kami menghormati 100 peratus keputusan Dugong serta tidak menafikan haknya untuk berbuat demikian memandangkan sebelum ini dia bukanlah ahli tetap Hujan.
“Untuk mengisi ruang Dugong, pada Ramadan lalu saya mengadakan sebuah uji bakat dalam jumpank.com dan memaklumkan kepada pelayar internet yang berminat untuk menjadi pemain bassist kita.
“Syarat utama mereka haruslah komited. Dalam temubual itu, saya lihat Jaja paling serius berbicara soal muzik dan dia faham hala tuju muzik kami.
“Kami pernah buat persembahan bersama dan saya lihat Jaja ada lenggok atau ‘feel’ bekas pemain bassist kami, Dimas yang juga anggota asal Hujan,” katanya.
Menariknya, pada acara itu nanti Hujan yang digelar The Strokes Malaysia ini turut mengundang Dugong dan Dimas menyertai mereka melakukan persembahan.
Harian Metro