Tam, Farish Gabung Tenaga


Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

ENAM tahun beza usia, namun Tam dan Farish sejiwa. Antara mereka bukan saja ’sekepala’ tetapi juga tiada jurang komunikasi.

Sememangnya dalam bersahabat perlu ada keserasian dan inilah yang menentukan sama ada seseorang itu mampu menjadi sahabat baik kepada kita atau tidak.

Mereka juga sangat rapat dengan pelakon cantik Nora Danish dan Intan Ladyana. Apa yang mengagumkan, bicara teman baik ini tidak terbatas pada hal peribadi, malah mempunyai misi untuk menjadi produser terkenal.

Tam berkata, sekian lama menceburi bidang lakonan, minatnya bercambah pula pada penulisan skrip. Langkahnya semakin meyakinkan apabila pengarah terkenal seperti Aziz M Osman dan Erma Fatima memberi kepercayaan menjadi penolong pengarah dan sekarang dia berhasrat menjadi penerbit program.

“Sampai bila hendak menjadi pelakon dan bergantung hidup dengan berlakon saja. Perlu ada peningkatan dalam hidup dan inilah yang saya usahakan.

“Dulu saya tidak percaya mampu menulis skrip tetapi kini saya yakin boleh menulis. Beberapa episod drama bersiri Puteri dan Gaia pernah menampilkan skrip hasil tulisan saya.

“Saya mensasarkan beberapa tahun lagi untuk menjadi penerbit. Bagaimanapun, sekarang ini selain sebagai permulaan saya dan Farish mahu menjual idea kami kepada stesen TV,” katanya.

Tambah Tam, mereka sudah menemui beberapa wakil stesen TV tetapi masih menantikan tawaran terbaik. Bercerita lanjut mengenai projek mereka, Farish menambah, produk sulung itu berkemungkinan sebuah program dokumentari seperti Ronda 60 darjah yang pernah dikendalikannya.

“Meskipun ramai produser menjurus kepada penerbitan drama, kami pula mahu cuba mengetengahkan program berkonsepkan dokumentari serta berkaitan dengan pelancongan.

“Kami mahu mulakan jelajah itu di Malaysia kerana saya dan Tam berpendapat masih banyak destinasi indah negara ini masih belum dibongkar dan dijelajah.

“Malah orang tempatan sendiri lebih mengenali pusat peranginan luar negara berbanding rahsia alam yang ada di negara sendiri.

“Selain itu, kami mahu menjadikan ianya satu program infomasi di mana boleh dijadikan ruang rujukan penonton. Mereka boleh melancong sendiri tanpa perlu mengikuti rombongan

“Kami akan membawa mereka mengembara ke tempat-tempat yang menarik namun berbaloi dan berpatutan untuk disinggahi,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply