Tidak Ada Orang Ketiga
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
SELEPAS penyanyi popular Ning Baizura (Ning) Hamzah, 33, mengumumkan membubarkan syarikat pengurusannya Ning & Associate Sdn Bhd (NASB) kelmarin, ramai bertanya bagaimana dengan nasib dua lagi artis bernaung di bawah anak syarikat ditubuhkan, Artistes United Records Sdn Bhd (AURSB) iaitu Nubhan dan Nikki.
Dalam hal yang mengejutkan ramai peminat ini, kelebihan dilihat berpihak kepada Nubhan kerana pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini mempunyai kontrak pengurusan bersama Maestro Talent And Management.
Namun bagaimana dengan Nikki yang bakal muncul dengan album terbaru, mungkinkah kerjaya seni penyanyi dari Kota Kinabalu, Sabah ini akan berkubur begitu saja?
Menjelaskan perkara ini di majlis pengumuman pembubaran NASB, Ning berkata dia melepaskan segala ekuiti dan saham perkongsian dimiliki dalam anak syarikat ditubuhkan itu kepada rakan kongsi niaga.
“Ini bermakna dua lagi rakan kongsi iaitu bekas pengurus saya, Vernon Kedit dan Michael Ang mempunyai hak sepenuhnya terhadap AURSB membabitkan produksi rakaman dan pengurusan artis
“Sebaik membuat keputusan untuk menutup syarikat pengurusan NASB, perkara itu sudah dibincangkan lebih awal dengan Vernon dan Michael dan kami sudah mencapai kata putus.
“Sehari sebelum pengumuman dibuat, saya turut menghubungi Nikki dan Nubhan untuk menjelaskan kedudukan sebenar membabitkan keputusan yang saya ambil. Mereka nampaknya faham terutama Nikki,” katanya.
Ning bagaimanapun meluahkan keyakinannya Vernon mampu menguruskan kerjaya anak didiknya itu seperti apa yang pernah dilakukan terhadap dirinya.
“Saya sendiri banyak belajar daripada Vernon dan sepanjang tempoh 10 tahun bersama dan lapan tahun NASB ditubuhkan, banyak kejayaan yang kami raih bersama termasuklah apabila album Selagi Ada mencapai kejayaan besar di majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003.
“Waktu sama, kredibiliti Vernon sudah diketahui umum. Saya cuba mengetengahkan kemampuannya dengan mengajaknya sama-sama membabitkan diri dalam rancangan Mentor dan dia turut menjadi pengkritik dalam Geng Starz musim pertama.
“Saya sangat yakin tanpa saya, Vernon mampu membawa dua artis muda ini pergi jauh dan mencapai kejayaan seperti apa yang pernah kami lakukan sebelum ini,” katanya.
Pelbagai cerita kurang senang turut tersebar apabila Ning mengambil keputusan menutup NASB dan mahu menguruskan sendiri kerjaya seninya. Paling hangat diperkatakan apabila ada pihak menghasut agar keputusan pembubaran syarikat pengurusannya dibuat.
Apabila didesak agar mendedahkan punca sebenar mengapa dia mahu membubarkan NASB, Ning sebaliknya dengan tenang berkata, biarlah ia menjadi rahsia antara dirinya dan Vernon.
“Ingin saya tegaskan di sini, tiada pihak ketiga terbabit dalam keputusan dibuat. Ini adalah kehendak saya sendiri. Apabila sudah berkahwin, pelbagai perkara bermain di fikiran termasuklah keinginan untuk menguruskan kerjaya sendiri dan bergelar usahawanita.
“Wakil media yang rapat dengan saya tahu betapa suami (Omar Sharif Christophor Layton Delton) tidak gemar mengambil tahu mengenai kerjaya seni saya secara langsung ataupun tidak langsung.
“Bagaimanapun, sebelum saya membuat keputusan ini bermula 9 Oktober lalu dia ada bertanya adakah benar saya mahu menguruskan sendiri kerjaya seni saya. Katanya, dia akan menyokong apa saja keputusan diambil dan mendoakan segalanya berjalan seperti apa yang saya rancang,” katanya.
Begitupun, timbul persoalan dengan statusnya sebagai isteri bagaimana Ning dapat memberi tumpuan untuk menguruskan kerjaya sendiri. Bukankah mempunyai pengurus seperti Vernon membolehkan segala kerja berjalan lancar.
Paling penting sebagai penghibur apabila mempunyai pengurus, dia tidak perlu memeningkan kepala untuk memikirkan hal lain sebaliknya hanya memberikan tumpuan kepada soal persembahan yang mahu dilakukan.
“Inilah cabaran yang saya cari. Kalau Anita Sarawak boleh buat mengapa tidak saya? Sebelum ini saya banyak membaca biografi penghibur terkenal dunia antaranya Madonna. Dia bagus dalam menentukan hala tuju kerjaya seninya. Itulah yang mahu saya lakukan sekarang,” katanya.
Sidang akhbar berlangsung dalam suasana cukup tenang dan tidak ada sedikitpun situasi menunjukkan Ning dan Vernon pernah berselisih faham. Waktu sama kata Ning, walaupun mereka sudah menutup NASB, tetapi kerjasama antara dia dan bekas pengurusnya itu akan berterusan.
“Industri hiburan tempatan sangat kecil. Mengapa kami harus bermusuhan. Malah siapa tahu sekiranya usaha yang saya ambil ini tidak menunjukkan kemajuan, saya boleh kembali menyertai syarikat AURSB,” katanya.
Harian Metro