Karyawan Pantau Radio Swasta
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

MOHD ALI diiringi Freddie bertanya khabar isteri pelakon M Rajoli, Wan Chik Daud pada majlis rumah terbuka Karyawan di Istana Budaya.
Hasil kajian peratusan penyiaran lagu tempatan akan diserah kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi
SEKALIPUN sudah mula memperlihatkan kesan positif hasil desakan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) apabila stesen radio makin mengutamakan karya tempatan namun itu belum memadai buat mereka.
Bermula 1 November ini, persatuan yang diterajui Freddie Fernandez sebagai presiden itu akan melakukan pemantauan terhadap stesen radio komersial seterusnya mengemukakan laporan kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Freddie berkata, hasil pertemuan dengan menteri berkenaan, September lalu, Karyawan diusulkan supaya melakukan pemantauan terhadap peratusan lagu tempatan yang dimainkan stesen radio seterusnya membentangkan laporan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, proses pemantauan terpaksa dilakukan bermula November ini memandangkan sepanjang September dan Oktober, kebanyakan stesen radio memutarkan lagu raya justeru menyukarkan mereka untuk membuat analisa.
“Tetapi apa yang saya perhatikan sekarang ini, kecenderungan stesen radio komersial memutarkan lebih banyak karya tempatan sudah berhasil cuma kami berharap usaha itu akan berterusan demi memastikan masa industri muzik negara berkekalan.
“Karyawan tidak membantah penyiaran karya asing cuma berharap stesen radio memberikan sokongan terhadap karya kita yang juga setanding produk luar tetapi dibelakangkan atas beberapa faktor hanya kerana terlalu mengejar keuntungan jangka pendek,” katanya pada pertemuan sempena rumah terbuka Karyawan di Laman Santai, Istana Budaya, baru-baru ini.
Freddie berkata, pihaknya juga belum bercadang untuk bersemuka serta berbincang dengan Persatuan Radio Komersial Malaysia (CRM) mengenai perkara itu memandangkan belum ada sebarang keputusan dicapai.
Katanya, mereka hanya akan mengadakan pertemuan itu selepas kerajaan membentangkan satu formula atau keputusan yang memberi keadilan kepada semua pihak terhadap usul yang dicetuskan persatuan itu.
“Karyawan tidak menolak lagu luar cuma jangan terlalu banyak sangat kerana karya anak tempatan juga memerlukan ruang untuk dipromosikan,” katanya.
Kata Freddie, pemantauan yang bakal dijalankan selama sebulan itu membabitkan 30 ahli persatuan itu dan keutamaan kajian diberikan pada waktu puncak iaitu antara jam 6 hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 7 malam.
Biarpun usaha itu barangkali memakan masa tetapi Freddie yakin, untuk kesan jangka panjang ketelitian dalam kajian yang dilakukan akan memberi kesan kepada industri.
“Karyawan ingin cuba memahami apa ciri pemilihan untuk sesebuah karya dimainkan di stesen radio komersial, malah turut mengkaji apa rasional di sebalik penyiaran lagu supaya dapat dijadikan formula atau garis panduan kepada pencipta lagu supaya mendapat tempat siaran.
“Mungkin dalam dua minggu pertama, kami akan menyerahkan laporan awal dan seterusnya berbincang dengan pihak berkaitan untuk menyediakan kajian terperinci dan melakukan sesuatu bagi memperbaiki situasi itu,” katanya.
Freddie berkata, mereka yakin kajian terperinci itu akan membantu memulihkan industri muzik tempatan seterusnya memberi dorongan kepada penggiat seni terus berkarya.
“Usaha ini akan melahirkan lebih ramai pencipta yang agresif menghasilkan ciptaan kerana mereka percaya ada tempat untuk mengetengahkan lagu ciptaan walaupun tanpa sokongan syarikat rakaman. Kami dapati ramai penyanyi lebih berminat menghasilkan single tetapi tidak berani melakukannya kerana bimbang tiada ruang diketengahkan.
“Apa yang mereka lakukan ini adalah sebagai permulaan. Karyawan sedia membantu mereka untuk memulakan proses rakaman. Daripada situ, mereka akan berusaha untuk mencari produk yang memenuhi standard penerbitan seperti yang dimahukan stesen radio,” katanya.
Menongkah arus
KETIKA beberapa persatuan hiburan lain bersatu hati menyatakan pendirian mereka membantah penganugerahan gelaran Datuk kepada aktor Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK), Karyawan pula berpandangan sebaliknya.
Melihat penganugerahan itu sebagai satu langkah bijak oleh kerajaan Melaka dalam usaha mempromosikan negeri itu sebagai lokasi pelancongan dan tempat bersejarah, Freddie memberikan rasionalnya di sebalik sokongan itu.
Katanya, berdasarkan kajian yang dilakukannya kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya RM10 juta setahun bagi mendapatkan khidmat artis antarabangsa untuk menjadi duta produk.
Jumlah itu katanya, dapat dijimatkan menerusi penganugerahan gelaran Datuk kepada SRK yang secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi negeri itu kepada penduduk dunia.
“Rakyat juga akan dapat manfaatnya. Lagipun SRK bukan asing kepada penduduk negara ini, jadi tiada salahnya gelaran itu dikurniakan kepadanya. Kalau kita berasakan artis tempatan layak diberikan anugerah, mengapa persatuan hiburan selama ini berdiam diri dan tidak mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri?,” katanya.
Rumah terbuka yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga menyampaikan sumbangan RM20,000 untuk dimanfaatkan persatuan itu.
Berita Harian
November 13th, 2008 at 12:18 pm
d31ltcugor93ml89