Mesra Tapi Bukan Cinta


Oleh Nor Akmar Samudin (Yang mengikuti Percutian Spa dan Istirahat di Bali bersama Hotlink dan Gang Starz)
akmar@hmetro.com.my

Rap

KEINDAHAN pantai Kuta dengan deruan ombak tidak berhenti menghempas pasir yang memutih, menjadi saksi kemesraan dua anggota One Nation Emcee (ONE), Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), 22 dan Nur Hassan Baias, 33 (Jojoe).

Melihatkan betapa eratnya mereka berdua, pasti sesiapa pun tidak dapat menyangkal mereka berdua dilamun cinta. Apatah lagi Bali adalah pulau peranginan yang cukup romantik dan menjadi pilihan pasangan bercinta serta yang baru berumahtangga memadu kasih.

Mata yang sering kali terpandang akan kemesraan dan keakraban ‘luar biasa’ antara Mimi dan Jojoe itu sukar untuk menidakkan yang mereka berkongsi mimpi indah.

Bagaimanapun apabila pertanyaan mengenai cinta diajukan kepada mereka, pantas Mimi menepis persoalan itu dan hanya memberitahu mereka berkawan baik. Tidak lebih daripada itu kerana Mimi masih mengejar cita-citanya untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Sudah lama kenal, mestilah mesra, tetapi kami bukan bercinta. Masih banyak yang perlu saya lakukan untuk diri sendiri dan keluarga. Belum tiba masanya memikirkan soal cinta. ONE pun baru hendak membina nama. Jadi biar saya selesaikan satu persatu dulu,” katanya ketika menyertai Percutian Spa dan Istirahat di Bali bersama Hotlink dan Gang Starz, baru-baru ini.

Mimi yang baru saja menamatkan peringkat diploma jurusan Sains Farmasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Sabah, ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda pula dalam pengkhususan sama.

Katanya, dia ingin mengikuti pengajian di universiti tempatan yang menyediakan kursus berkembar dengan universiti luar negara iaitu United Kingdom (UK).

“Saya akan belajar di sini selama dua tahun dan baki dua tahun lagi akan sambung di UK. Selepas itu, saya bercadang untuk memiliki farmasi sendiri. Apapun, saya tidak akan meninggalkan ONE.

“Rakan-rakan lain, Jojoe, Zaidi (Mohd Norzaidi Edris Jekeria, 27) dan Korzae (Mohd Fareezan Mohd Murtaza, 26) tahu cita-cita saya dan mereka memberi ‘lampu hijau’.

“Dunia sudah maju dan semakin mudah untuk menghubungi rakan-rakan walau di mana saja berada. Ada cuti saya balik ke Malaysia,” katanya.

Bagi Jojoe pula, dia mengerti dalam mana-mana pertandingan realiti pasti tidak dapat dipisahkan cerita cinta sesama peserta. Tapi katanya, mereka berkawan biasa saja.

“Mungkin kerana ketika menuntut di UiTM Kota Kinabalu, Mimi berjauhan dengan keluarga. Jadi rakan-rakan menjadi sandarannya untuk menghilangkan kerinduan itu.

“Bersama-sama menjadi anggota ONE menjadikan hubungan kami tambah rapat, tetapi walau apa pun, biar kami mantapkan kedudukan ONE sebelum memikirkan perkara lain,” katanya.

Juara musim kedua Gangstarz itu bukan saja menerima hadiah lumayan AS$100,000 atau RM350,000, mereka juga mendapat hadiah sampingan RM10,000 dan pakej percutian ke Bali selama empat hari tiga malam apabila menjadi kumpulan yang paling banyak mendapat undi sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Menurut Mimi, mereka terharu dengan sokongan peminat sehingga memperoleh undian tertinggi setiap minggu.

“Kami ingatkan Paragon Child (Filipina) yang menang kerana mereka mempunyai vokal yang bagus. Tetapi, mereka hanya mendapat tempat ketiga dan D’Reborn (Indonesia) tempat kedua.

“ONE ditubuhkan enam tahun lalu oleh Zaidi dan Korzae kemudian disertai Jojoe dan saya. Jojoe juga bekas penari Adam AF.

“Saya berasal dari Petaling Jaya, Selangor sementara mereka bertiga dari Sabah. Saya mengenali Jojoe ketika saya belajar di UiTM cawangan, Sabah, selama empat tahun mengambil jurusan Sains Farmasi.

“Ketika itu tubuh saya agak berisi. Oleh itu, saya menyertai kelas tarian di sebuah studio di Kota Kinabalu dengan harapan dapat menguruskan badan. Saya berkenalan dengan Jojoe yang menjadi kreografer di situ.

“Sepatutnya ONE dianggotai empat lelaki iaitu Nas, tetapi dia sudah berkahwin dan tidak berminat untuk bersama dengan ONE lagi. Saya menganggotai ONE pun secara kebetulan iaitu ketika kumpulan ini hendak menghadiri uji bakat Gang Starz. Jojoe, Zaidi dan Korzae kata saya boleh menyanyi. Kami pun mencuba nasib dan berjaya,” katanya.

Selepas program realiti berakhir, kumpulan itu kini ada empat bulan kontrak dengan TV3. Kumpulan itu masih mendapatkan khidmat nasihat daripada bekas tenaga pengajar program itu, Azmeer dan Damian VE. Azmeer sudah dianggap seperti bapa mereka yang banyak memberikan teguran terutama dari segi vokal.

“Berikutan kemenangan itu, Jojoe, Zaidi dan Korzae menetap di KL (Kuala Lumpur). Bagaimanapun kami mendapat banyak jemputan menyanyi di Sabah kerana ONE sudah terkenal di sana. Paling kurang, sebulan sekali kami akan membuat persembahan di sana,” katanya.

Kata Jojoe pula, buat masa ini ONE bercadang menghasilkan lagu single dan mereka sedang meneliti beberapa lagu. Untuk perancangan selanjutnya mereka tidak pasti lagi kerana masih terikat dengan TV3.

“Biar kami selesaikan satu persatu dulu. Bergerak perlahan-lahan lebih baik daripada tersungkur di pertengahan jalan. Kami merancang untuk menubuhkan syarikat sendiri kerana setiap daripada kami ada kepakaran tersendiri dalam bidang muzik.

“Menyertai Gangstarz juga berjaya ‘membuka mata’ kami terhadap dunia hiburan serta banyak belajar perkara baru. Ketika kami dalam program Gangstarz, kami mencipta tarian rap sendiri. Apa yang kami persembahkan kepada penonton adalah idea asal daripada kami berempat,” katanya.

Percutian mereka ke Bali disertai enam pelanggan Hotlink, Siti Helaliana Chumiran, Halimatus Shakdiah Abd Kahar, Zaleha Ismail, Mohd Nor Jumaat Ahmad, Erni Farahidura Rosmani dan Aizasyarina Jalaluddin.

Masing-masing yang kali pertama menjejakkan kaki di Pulau Dewata itu begitu girang tatkala menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Ngurah Rai.

Mimi dan rakan-rakan tidak sabar untuk melihat keindahan pantai Kuta yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Kedatangan rombongan Hotlink itu menerima kalungan bunga cempaka pelbagai warna.

Menyandang gelaran juara, ONE menerima layanan istimewa apabila diberi kenderaan khas untuk mereka berempat yang disertakan pemandu pelancong manakala ahli rombongan lain menaiki bas berasingan.

Aktiviti hari pertama di Bali lebih kepada berehat dan bersantai sementara menunggu makan malam. Rombongan Hotlink ditempatkan di Kuta Paradiso Hotel Bali di tengah bandar pulau itu.

Keesokannya selepas bersarapan, rombongan dibawa melawat Kuil Mengwi dan selepas menikmati hidangan tengah hari di pusat peranginan Bedugul, lawatan singgah sebentar di Alas Kedaton Monkey Forest dan seterusnya ke Tanah Lot untuk melihat matahari terbenam.

Tanah Lot juga antara destinasi pelancongan tercantik di Bali dan menawarkan pelbagai barangan cenderahati. Namun, pelancong perlu bijak tawar-menawar.

Hari ketiga di Bali, rombongan ke kuil lama Uluwatu. Selepas makan tengah hari rombongan diberi peluang melakukan aktiviti bebas termasuk membeli-belah sekitar Kuta yang menyediakan pelbagai pilihan barangan.

Mimi yang diibaratkan ‘bunga’ menyerikan tiga kumbang, mengambil kesempatan itu untuk membeli-belah aneka aksesori apatah lagi artis sepertinya perlu mengambil berat penampilan diri.

Berpeluang menghirup udara pagi di pantai Kuta pada hari keempat di Bali bersama Mimi, Zaidi, Jojoe dan Korzae, mereka melahirkan kesyukuran dan gembira dengan percutian itu. Julung kali berada di pulau serba unik itu memberi pengalaman baru kepada mereka berempat yang melahirkan hasrat untuk kembali ke sana.

Dalam manisnya percutian, tercalit juga sedikit kenangan pahit buat Mimi apabila terpaksa membayar ganti rugi sejuta rupiah (RM380) kepada pihak hotel kerana dia yang mengukir tatu menggunakan inai terkena tuala dan cadar hotel itu.

“Hendak buat macam mana, bayar saja walaupun saya rasa tidak patut mereka meminta ganti rugi sebanyak itu,” katanya.

Mimi dan beberapa ahli rombongan lain melukis tatu inai itu sementara menunggu untuk makan malam di restoran Natrabu. Dengan bayaran 5 ribu rupiah mereka boleh memilih corak yang disukai.

Bukan saja Mimi, malah Penolong Penerbit Gang Starz, Mohd Azlan Abdollah juga terpaksa membayar ganti rugi 500,000 rupiah (hampir RM200) kerana sebab sama. Dek kerana geram, Azlan sanggup membawa balik cadar yang dikatakan terkena inai itu ke tanah air.

Harian Metro

Leave a Reply