Jamal Tidak Lupa Tanggungjawab


Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

KEHIDUPAN insan bernama Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 49, mungkin tidak seindah bapa lain yang selalu ada untuk mencurah kasih sayang selain berkongsi tawa serta duka si anak.

Namun, apakan daya jika sudah tertulis ‘perpisahan’ yang terbaik untuk memulihkan diri daripada kesilapan lampau.

Hanya doa dari kejauhan mengiringi anak-anak tersayang, mudah-mudahan mereka dijauhi daripada malapetaka dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan lancar tanpa sebarang tekanan.

Bagaimanapun, dalam kehidupan yang serba salah, penyanyi melonjak dengan filem Azura ini tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada dua puteranya, Osama Yamani, 7, dan Ahmad Zaki Yamani, setahun lapan bulan.

“Tanggungjawab semestinya kerana itu kewajipan saya sebagai bapa. Walaupun orang kenal saya macam ini, namun nafkah anak tidak pernah diabaikan.

“Setiap bulan saya kirim wang. Osama tinggal bersama ibu tiri saya, manakala Ahmad Zaki pula dengan ibunya.

“Jika ada kelapangan, saya akan pulang ke kampung menjenguk Osama. Manakala pada musim cuti sekolah saya akan mengambilnya untuk tinggal bersama di sini (Rumah Pengasih). Sementara Ahmad Zaki pula, saya akan menemuinya di taska.

“Kalau ikutkan memang sedih kerana terpaksa menjalani kehidupan seperti ini, berjauhan dengan anak, tetapi bagi saya ini saja jalan terbaik buat masa ini.

“Saya bimbang jika tinggal di luar kerana banyak dugaan yang akan menghasut saya untuk kembali menagih,” katanya.

Bagi membuktikan kebimbangannya, Jamal yang ditemui di Majlis Rumah Terbuka Kuzie Catering di Kompleks PKPS, Shah Alam, baru-baru ini, memaklumkan ke mana pun dia pergi pasti ditemani kaunselor, Wira Noh yang sudah dua tahun menjaganya.

“Dia guru dan teman baik yang selalu memberi kata-kata semangat kepada saya. Walaupun sekarang ini, saya bebas 100 peratus daripada dadah, namun sebenarnya masih dalam proses pemulihan.

“Khususnya dalam mengatasi ketagihan dan membina semula keyakinan diri yang sudah lama hilang,” katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan bekas isteri, Jamal mengakui, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan ibu kandung Osama Yamani iaitu Nor Aina Yusuf (Intan) dan mereka masih berbaik-baik demi anak.

Namun, dengan isteri hasil perkahwinan ketiganya, Fatimatu Zahra Samad, Jamal enggan memberi sebarang komen.

Malah, perbicaraan atas dakwaan ugutan daripada Jamal menerusi SMS yang dikemukakan Fatimatu tahun lalu ditangguhkan hingga 6 November ini berikutan peguam belanya sakit.

Merancang untuk mengusahakan perniagaan francais satu hari nanti demi jaminan masa depan anak, Jamal yang lama menyendiri dikatakan bersedia menemui peminatnya dengan album terbaru.

Sepuluh lagu dikumpul dan dua daripadanya selesai dirakamkan. Komposer yang terbabit adalah Hazami, M Nasir dan Adnan Abu Hassan termasuk Jamal sendiri mempertaruhkan enam lagu nukilan sendiri.

Berbanding deretan albumnya sebelum ini, penyanyi yang berpengalaman 30 tahun dalam arena nyanyian itu menampakkan keseriusan dalam menulis lagu.

“Tidak semestinya semua enam lagu yang saya cipta dimuatkan dalam album ini. Jika ada komposer yang memberikan lagu yang lebih baik dan sesuai dengan kehendak semasa, sudah tentu saya memilihnya.

“Kecenderungan membuat lagu sebenarnya sudah lama. Antaranya lagu popular yang pernah saya hasilkan iaitu Mati Hidup Semula, Kau Yang Ku Tunggu, Ghazal Asmara dan kalau ikutkan Ghazal Untuk Rabiah itu melodi asalnya juga idea saya.

“Namun, perlu saya akui saya tak begitu arif dalam penulisan lirik. Mengenai bila album ini akan dipasarkan, saya hanya mampu kata paling lewat pun awal tahun depan.

“Kalau ikutkan perancangan asal dengan Warner, mereka inginkan album ini berada di pasaran selewat-lewatnya Disember depan, tetapi saya tidak yakin ia boleh dilaksanakan kerana masa terlalu suntuk,” katanya.

Harian Metro

2 Responses to “Jamal Tidak Lupa Tanggungjawab”

  1. Zahar Says:

    Yesss ahir nya Jamal keluar dgn album baru.. tak sabar saya nak dengar.. Yg pasti saya akan beli yg ori pnya CD.. haha

  2. anom Says:

    yeahhhhh…
    at last jamal come up with his new album…
    hope abg jamal x pts asa…
    hdup ada psg surutnya..
    all da beshhhhh

Leave a Reply