Zul Tidak ‘Perasan Bagus’


Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

PELAKON kelahiran Grik, Perak ini, Zul Huzaimy Marzuki, 29, antara generasi baru yang dikata bakal menggantikan Rosyam Nor suatu hari nanti. Malah dia sendiri begitu mengkagumi lakonan Rosyam yang sudah beberapa kali menggondol anugerah pelakon terbaik.

Lebih daripada itu, mereka juga pernah berkongsi kejayaan pada malam anugerah Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Ogos lalu apabila pada malam itu, Rosyam menang Pelakon Lelaki Terbaik dan Zul pula membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan mantapnya dalam filem Wayang.

Pun begitu dalam keghairahan Zul memburu kejayaan dan mencipta nama dalam persada seni, dia tidak terlepas daripada kontroversi. Bukan kehendak yang empunya diri namun anak seni memang begitu rentetan hidupnya.

Kebelakangan ini timbul rungutan kononnya ramai tidak senang cara Zul yang dikatakan kurang mesra media, suka berlagak pandai dan dituduh punca dua pelakon Impak Maksima The Musical (IMTM), Awal Ashaari dan Jue Aziz meninggalkan produksi itu.

Zul yang dilantik sebagai Pengarah Artistik teater muzikal itu dikatakan memberi latihan yang agak keras kepada pelakon teater itu menyebabkan mereka menarik diri.

Pertemuan dengannya di Istana Budaya (IB) baru-baru ini, merungkaikan persoalan yang bersarang di fikiran kerana Zul yang dikenali selama ini seorang yang mudah memberikan kerjasama.

Menjelas isu yang dia kurang mesra media dan sukar dihubungi, kata Zul jarang sekali dia tidak melayan wartawan kecuali jika waktu itu dia sibuk di lokasi di mana tumpuannya sudah tentu pada kerja.

“Jika saya tidak menjawab panggilan telefon, mereka boleh meninggalkan pesanan SMS dan Insya-Allah saya akan membalasnya. Jika ‘miss call’ itu tertera nama pemanggil yang nombornya ada dalam telefon bimbit saya, saya pasti akan menghubunginya semula.

“Tetapi masalahnya apabila ‘miss call’ nombor yang saya tidak kenali ataupun kelihatan seperti nombor pejabat, sudah tentu saya tidak akan menghubunginya semula kerana tidak tahu hendak bercakap dengan siapa. Saya tiada masalah memberikan kerjasama kepada sesiapa pun,” katanya.

Zul juga menafikan dia punca Awal dan Jue tidak dapat meneruskan hasrat mereka berlakon dalam IMTM yang dipentaskan di IB mulai 11 November lalu dan berakhir 22 November ini.

Menjelaskan perkara itu, kata Zul ini kali pertama dia diberi kepercayaan menjadi Pengarah Artistik teater yang dipentaskan di IB. Yang mana ia semestinya menjadi impian anak seni untuk beraksi ataupun menabur bakti di kompleks kesenian yang indah dan tersergam megah itu.

“Sebelum ini saya pernah menjadi penolong pengarah teater tetapi bukanlah pementasan besar seperti IMTM. Teater arahan Ahmad Idham ini adalah projek besar dengan kos tinggi. Justeru, amanah yang diberi beliau kepada saya amat besar untuk memastikan segalanya berjalan lancar dan berjaya serta menjadi kebanggaan industri kita.

“Saya tidak tahu sebab utama dia memilih saya menjadi Pengarah Artistik projek ini. Mungkin kerana kami selalu bekerjasama dalam drama dan filem, dia tahu saya boleh memikul amanah itu. Kami mengambil masa lama untuk berbincang termasuk membuat skrip IMTM ini.

“Tugas Pengarah Artistik termasuk memberi latihan berlakon kepada pelakon IMTM. Saya tidak boleh ambil mudah dengan tanggungjawab itu. Walaupun saya tahu mereka pelakon berpengalaman tetapi saya perlu melaksanakan kewajipan saya sebaik mungkin.

“Saya mengajar mereka teori dan praktikal. Saya susah hati memikirkan macam mana hendak berkongsi idea lakonan dengan nama besar seperti Awal, Dynas dan Zed Zaidi. Timbul rasa takut sekiranya ada yang menyalahertikan tindakan dan cara saya mengajar mereka nanti.

“Setiap pengalaman yang dilalui sebagai pelakon dan penolong pengarah teater, saya gunakan untuk mendidik mereka. Saya turut aplikasikan apa yang pensyarah saya ajar di Aswara dulu dengan menambahkan teori baru dalam aspek lakonan,” katanya.

Namun Zul mengaku dia mengajar agak ‘keras’ kerana dia bertujuan menjadikan mereka pelakon yang lebih baik. Bagi Zul, guru yang baik tidak akan membiarkan pelajarnya melakukan kesalahan sama berulang kali.

“Ketegasan itu perlu untuk melahirkan pelajar cemerlang. Saya terpaksa garang kerana saya sayangkan kawan-kawan saya dan mahu mereka menjadi yang terbaik. Pentas teater adalah medan terbaik untuk menambah ilmu lakonan.

“Jika persembahan mereka tidak bagus, saya terpaksa berterus terang dan mereka perlu menerimanya dengan hati dan minda terbuka. Saya diberi amanah supaya setiap langkah dan lakonan yang dipersembahkan kelihatan cantik di pentas.

“Dalam ketegasan memberikan didikan, saya masih ada timbang rasa terhadap mereka. Apabila ada yang datang berlatih dalam keadaan tidak sihat saya suruh mereka balik kerana tidak guna meneruskan latihan jika hanya memudaratkan keadaan. Elok balik berehat sehari dua dan datang balik dalam keadaan segar.

“Pelakon perlu faham adakala lakonan dalam drama atau filem tidak sesuai untuk pentas teater. Lontaran suara dan lenggok badan adakalanya tidak sama. Saya pernah tanya Idham adakah saya garang. Jawapnya, teruskan asal hasilnya bagus.

“Dulu saya belajar berlakon dengan mereka yang garang dan sangat tegas. Mereka tidak pernah bekerja dengan aktivis teater hebat seperti Ahmad Yatim. Bukan calang-calang orang boleh bekerja dengannya.

“Datuk Jalaluddin Hassan yang mendengar cerita ketegasan saya mengajar pelakon IMTM bertanya saya kenapa garang sangat - apa dah jadi. Selepas saya jelaskan kepada beliau barulah Datuk Jalal faham dan mengakui yang pelakon sekarang manja sangat.

“Saya tidak pernah ‘angkat tangan’ kepada mereka, marah saja. Saya minta restu dengan Datuk Jalal dengan apa yang saya lakukan dan dia kata apa yang saya buat itu betul. Saya ikhlas menurunkan ilmu kepada mereka dan kesannya jika dulu mereka tension dengan saya tetapi sekarang saya boleh peluk mereka. Kini mereka faham apa yang diajar dan dapat mempersembahkannya dengan baik,” katanya.

Tegasnya, ketiadaan Awal dan Jue dalam IMTM bukan kerananya tetapi keputusan dibuat Idham.

Menurut Zul selepas beberapa kali menjalani latihan, Idham dapati persembahan Awal tiada peningkatan. Begitu juga dengan Jue. Mereka tidak dapat memberikan apa yang Idham mahu untuk teater itu.

“Sayang melepaskan mereka pergi kerana jika diberi masa mungkin ada perubahan. Saya sanggup melatih mereka tetapi selaku pengarah dan penerbit teater itu, Idham lebih bijak menilai kemampuan mereka. Mungkin Awal belum bersedia untuk beraksi dalam sebuah pementasan teater.

“Pun begitu, ketiadaan mereka berdua dalam IMTM bukanlah masalah besar. Tetapi apabila orang luar tahu ia berubah menjadi isu besar. Dynas pun hampir keluar daripada IMTM tetapi selepas berbincang dia setuju berlakon semula.

“Dengan apa yang berlaku saya harap Awal, Jue atau sesiapa saja tidak memusuhi saya. Saya tidak berniat jahat terhadap mereka. Kalau saya ada niat macam itu, saya akan biarkan apa saja mereka buat. Hendak jadi apa, jadilah.

“Jika mereka buat yang terbaik di pentas, yang untung mereka juga. Lantaran itu, apabila Idham mengambil kata putus mengeluarkan mereka dari projek ini timbul rasa kasihan kerana mereka berpotensi menjadi pelakon yang bagus,” katanya.

Ketiadaan Awal dalam IMTM, Idham mencari pelakon baru menggantikan tempatnya tetapi tidak berjumpa. Idham mahukan pelakon yang pernah berlakon drama dan filem. Ada pelakon yang dirasakan sesuai tetapi ada komitmen lain pula.

“Akhirnya Idham pujuk saya berlakon dalam teater itu tetapi saya tidak membawakan watak dipegang Awal. Saya bukan menggantikan Awal tetapi Idham cipta watak baru untuk saya iaitu sebagai DK,” katanya.

Mengulas isu dia dikatakan ‘perasan bagus’, jelas Zul dia hanya menunjukkan perkara (berlakon) yang bagus dan bukannya dia perasan bagus.

“Dan jika mereka kata saya bagus, saya mahu mereka jadi lebih baik dari saya,” katanya.

Selama hampir tiga bulan menumpukan kepada teatar itu, Zul tidak mengambil sebarang projek drama atau filem. Dengan pengorbanannya itu, barangkali ada yang beranggapan Zul menerima bayaran lumayan.

“Saya berlakon teater sudah lama dan sejak dulu saya tidak pernah tanya pasal bayaran, terpulang kepada mereka hendak bayar berapa. Apatah lagi berlakon teater adalah perkara yang menyeronokkan dan benda yang saya suka buat,” katanya.

IMTM terbitan bersama Ahmad Idham dengan Den Wahab.

Harian Metro

Leave a Reply