Kasih Abadi
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari.
Cinta jarak jauh Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari berakhir di jenjang pelamin
TIADA pelamin indah dibina khas buat pasangan mempelai yang diraikan. Hanya gazebo dihiasi bungaan dan daunan segar tersergam megah di atas pentas Saujana Ballroom, The Saujana. Di tengahnya diletakkan kek setinggi tiga tingkat untuk dipotong pasangan Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari sejurus melangkah masuk ke ruang dewan.
Pada majlis lebih seminggu lalu di Jakarta, Bunga memilih adat Padang. Sementara majlis berunsur Inggeris - Melayu dipilih keluarga Ashraf memandangkan pelakon dan pengacara itu berdarah kacukan Melayu-Inggeris.
Justeru tiada pelamin mahupun kompang yang dipalu, sebaliknya Ashraf yang segak dengan sut dari rona kelabu dan Bunga yang tampak anggun dengan gaun putih diarak masuk menaiki ‘buggy’ dan diiringi pancaragam ala Scotish.
Malah acara memotong kek juga dilakukan di awal majlis kerana mengikut tradisi masyarakat British. Tiada yang ekstravaganza sebaliknya majlis persandingan mereka berlangsung cukup ringkas dan pantas.
Namun celoteh Sazzy dan teman baik Ashraf yang bertindak sebagai pengacara majlis mencuit hati kira-kira 500 tetamu yang hadir terdiri daripada sanak saudara kedua-dua belah pihak dan rakan terdekat apabila mereka menyingkap kembali detik percintaan jarak jauh pasangan itu.
Telefon bimbit usik Sazzy tidak pernah lekang di tangan Ashraf. Jarak beribu batu juga tidak pernah menghalang mereka untuk sentiasa berhubung. Malah, ungkapan sayang pula tidak lekang di bibir Ashraf setiap minit meskipun cuma di corong telefon.
Menurut mereka, itulah kali pertama mereka melihat Ashraf benar-benar dilamun cinta. Kata-kata Sazzy nyata ada benarnya, sinar kebahagiaan begitu jelas terpancar di wajah Ashraf dan Bunga tatkala lensa kamera dipacukan ke wajah pasangan pengantin baru itu.
Tangan mereka sentiasa berpegangan, tenungan mereka begitu jelas menggambarkan bunga-bunga bahagia yang sedang dikecapi pasangan yang dinikahkan 8 November lalu di Senayan, Jakarta.
Selain acara makan-makan yang bercirikan masakan Melayu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tiga artis iaitu Ilyka serta dua penyanyi dari Singapura, Syed Azmir dan Ferhad.
MEMPELAI ceria di samping ibu dan bapa.
Sakinah, Mawadah dan Warahmah, itulah janji yang dipatri pasangan ini. Mereka mahu perkahwinan yang dibina atas dasar cinta lebih setahun yang lalu berkekalan hingga ke hujung hayat masing-masing.
Ashraf yang ditemui sebaik majlis selesai berkata, perkahwinan adalah satu tanggungjawab yang besar buatnya. Sebaik ijab kabul dilafazkan, dia menyedari tanggungjawabnya semakin bertambah.
“Bahagian paling besar dalam perkahwinan adalah ijab kabul. Sebaik ijab kabul dilafazkan, saya menyedari tanggungjawab saya bukan lagi kecil. Saya bukan setakat melafazkan janji ketika itu saja tetapi sepanjang hayat kami.
“Tanggungjawab saya pada Bunga tidak akan berakhir sehinggalah hari tua. Setiap kali tetamu mengucapkan selamat untuk perkahwinan kami, setiap kali itu juga saya sedar betapa besarnya tanggungjawab saya untuk memastikan perkahwinan ini kekal selamanya.
“Saya sedar banyak cabaran perlu kami hadapi apabila bergelar pasangan selebriti. Biarlah apa yang ingin diperkatakan media kelak, yang penting kami tahu kejujuran masing-masing,” kata Ashraf.
Kehadiran Bunga dalam hidupnya kata Ashraf melengkapkan hidupnya. Bunga ibarat cermin dirinya, kebijaksanaan dan keterbukaan Bunga menyebabkan dia terpikat kepada wanita lincah itu. Kekosongan serta kekurangan dirinya kini sempurna dengan kehadiran Bunga.
Bunga pula berkata, Ashraf adalah segala-gala dalam hidupnya kini. Sebagai isteri, dia berjanji akan sentiasa berada di sisi Ashraf dalam susah mahu pun senang.
“Seandainya karier Ashraf di Indonesia menghadapi kebuntuan sehingga memaksanya kembali semula ke Kuala Lumpur, saya tidak ada masalah mengikutnya. Tempat seorang isteri letaknya di sisi suami, justeru saya harus berada di sisinya dalam apa juga keadaan.
“Walaupun akan menetap di Jakarta, kami sudah berjanji untuk pulang ke sini sekerap mungkin. Mengikut perancangan, sebulan sekali kami akan pulang menziarah keluarga Ashraf di sini. Saya seronok menjadi sebahagian daripada keluarga Ashraf yang besar,” katanya.
Pasangan ini akan berada di Kuala Lumpur sehingga Khamis ini untuk menziarah sanak-saudara Ashraf yang besar sebelum ke Maldives untuk berbulan madu.
Ditanya mengenai cahaya mata pasangan ini selesa dengan dua cahaya mata sebagaimana disarankan kerajaan Indonesia dengan konsep keluarga berencana. Mereka menyerahkan soal jodoh pada takdir, sekiranya dikurniakan cepat mereka akan menerimanya dengan hati yang terbuka.
Berita Harian