Cicak-Man 2 Cabar Kreativiti Yusry


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


BARISAN pelakon yang
membintangi Cicak-Man 2
- Planet Hitam bersama
pengarah, Yusry dan Norman.

Hasilkan skrip dulu sebelum masukkan elemen lain sebagai perencah

TIDAK dinafikan, menghasilkan filem sekuel kepada filem Cicak-Man 1 yang menerima sambutan menggalakkan ketika ditayangkan sekitar 2006 sebenarnya memberi sedikit tekanan kepada pengarahnya, Yusry Abdul Halim.

Bukan saja perlu memikirkan idea untuk mencari jalan cerita yang sesuai, malah kreativiti Yusry juga turut dicabar kerana sudah pasti penonton akan tercari-cari kehebatan filem ini berbanding filem pertamanya.

Justeru, menurut Yusry formula yang mereka guna pakai untuk menghasilkan filem ini adalah dengan menulis skrip terlebih dulu sebelum memasukkan elemen lain sebagai perencah.

“Jika sebelum ini kami mengutamakan elemen teknikal dan kreativiti yang perlu ada dalam filem Cicak-Man 1 namun kali ini kami perlu hasilkan jalan cerita terlebih dulu sebelum kami pergi kepada bahagian yang lebih sukar.

“Bagi saya, ini lagi mencabar kerana kami perlu menghasilkan filem ini mengikut apa yang sudah ditulis dalam skrip. Walau sukar macam manapun bahagian atau adegan itu, kami perlu melakukannya,” jelas Yusry ketika ditemui pada majlis pratonton filem Cicakman 2-Planet Hitam di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Tegas Yusry, bukan mudah untuk menghasilkan sebuah filem berkonsepkan superhero seperti Cicak-Man 2 kerana dari segi teknikal saja begitu merumitkan.

“Agak sukar untuk menghasilkan shot aksi dalam filem superhero kerana kita menggunakan teknik khas ke atas manusia dan bukannya watak yang tidak bernyawa seperti animasi.

“Untuk filem ini saja pihak produksi menghasilkan 800 shot aksi menggunakan teknik janaan komputer (CGI) bagi memperlihatkan unsur realistik sama seperti filem superhero sedia ada,” cerita Yusry lagi.

Katanya, bukan saja shot untuk teknik CGI, malah shot untuk babak aksi juga ditambah.

“Kami cuba mengambil formula yang diguna pakai filem asing dan diterapkan dalam filem Cicak-Man 2 supaya setiap babak itu nampak lebih hidup dan dramatik. Akibatnya kos pembikinan filem meningkat dengan begitu drastik,” dedah Yusry mengenai filem yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta ini.

Ditanya mengapakah babak aksi dan pertarungan tidak begitu banyak dalam filem ini, Yusry menjadikan bajet sebagai alasan utama.

“Filem ini tidak boleh dipenuhi dengan aksi dari awal hingga akhir kerana masalah bajet. Kita juga perlu jadi realistik dan jangan bandingkan filem kita dengan filem superhero dari Barat.

“Kita baru hendak belajar, masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Dan apa yang ingin kami ketengahkan di sini adalah walaupun kita tak sehebat Barat namun sekurang-kurangnya kita ada idea dan kepakaran untuk menghasilkan sebuah filem bergenre sedemikian,” tegasnya.

Sebagai contoh, untuk sehelai kostum sekuel Cicak-Man ini saja KRU Studios membelanjakan RM50 ribu.

“Jika sebelum ini kostum Cicak-Man 1 hanyalah RM20 ribu tapi kali ini meningkat sekali ganda. Itu tidak termasuk kos kostum Rrama. Seperti yang ditegaskan, kami akan cuba sedaya upaya menghasilkan filem berdasarkan skrip yang ditulis.

“Ini bukan filem tangkap muat dan setiap apa yang kami lakukan, semuanya dibuat dengan penuh teliti dan terperinci kerana mahu penonton puas apabila menonton filem ini,” katanya,

Sekuel ketiga bergantung sambutan penonton

LAZIMNYA kalau ada yang kedua, pastinya sekuel yang ketiga akan menyusul. Apatah lagi di penghujung filem ini bagai membayangkan akan berlaku episod penyambungan.

Mengulas perkara itu, Yusry berkata segala keputusan terletak di tangan penonton.

“Sekuel filem ini dibuat selepas filem pertamanya mendapat sambutan hangat daripada penonton. Malah kutipan RM6.7 juta yang diterima menambahkan lagi keyakinan kami.

“Jadi berkenaan soalan akan ada sambungan atau tidak, semuanya bergantung kepada sambutan penonton. Kalau penonton tak suka, kami tidak mahu menanggung risiko di belakang hari,” jelas Yusry lagi.

Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim turut memberikan jawapan yang serupa.

“Sebenarnya, sewaktu kami menghasilkan sekuel ini, kami sudah pun membayangkan memang akan ada sehingga sekuel ketiga. Tapi semuanya bergantung kepada penerimaan penonton serta pulangan yang diterima daripada filem ini apabila ia ditayangkan kelak,” kata Norman.

Positif dengan apa yang dilakukannya, Norman mensasarkan kira-kira sejuta penonton akan menyaksikan sekuel terbaru terbitan syarikatnya itu.

”Jika dalam Cicak-Man 1 kira-kira 700,000 penonton telah menyaksikannya, kami berharap sekuel terbaru ini mampu menarik lebih satu juta penonton di pawagam di keempat-empat negara yang akan ditayangkan kelak,” katanya penuh yakin.

Selain Malaysia yang akan menemui penontonnya 11 Disember depan, tiga negara Asia Tenggara lain yang turut menayangkan Cicak-Man 2-Planet Hitam adalah Brunei, Singapura dan Indonesia.

Selain pelakon asal seperti Saiful Apek dan Aznil Nawawi, filem ini juga masih mengekalkan watak Ginger Ghost 1 dan 2 lakonan AC Mizal dan Adlin Aman Ramli serta Sharifah Amani (Iman), Tamara Blaszenky (Rrama) dan Louisa Chong yang memegang watak (Miss Cheef).

Berita Harian

Leave a Reply